
Seorang wanita tidak menyangka panggilan telefon yang berulang kali tidak dijawab akhirnya membawa kepada berita menyedihkan apabila ibu saudaranya bersama anak perempuannya ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Proton Exora.
Dua Beranak Ditemui Maut Dalam MPV, Disyaki Lemas Akibat Karbon Monoksida
Mangsa, Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25, dipercayai dalam perjalanan singgah ke rumah kakak Zabanah yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, sebelum pulang ke kediaman mereka di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah.

Menurut anak saudara mangsa, Khadijah Abu Bakar, 37, sudah menjadi kebiasaan dua beranak itu untuk berhenti di rumah ibunya selepas selesai bekerja di sebuah kedai makan di Cheng.
“Malam tadi kami dah siap masak, tapi berasa pelik mereka tak sampai-sampai dan telah hubungi telefon arwah 20 kali tapi tak berjawab, WhatsApp pun tak dapat.

“Namun kira-kira jam 11 malam, saya terima panggilan daripada abang yang memaklumkan penemuan ibu dan anak itu tidak sedarkan diri dalam kenderaan yang diparkir di tepi jalan, kira-kira 50 meter dari rumah mak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, pada Khamis.
Khadijah berkata, mereka sekeluarga segera bergegas ke lokasi dan cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun kedua-dua mangsa sudah tidak bernyawa.

“Ketika itu bau gas memang kuat dalam kereta dan ada penduduk kampung yang beritahu nampak kereta mangsa diparkir di kawasan itu sejak jam 9 malam,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Zabanah sebelum ini ada memaklumkan kenderaan yang sering digunakan mereka mengalami kerosakan, namun baru sahaja dibaiki sehari sebelum tragedi berlaku.


Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan penemuan tersebut dan berkata siasatan awal mendapati ibu tunggal bersama anaknya itu dipercayai lemas selepas terhidu gas karbon monoksida.
Beliau menjelaskan, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu hasil siasatan penuh, selain menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.
Sumber: Sinar Harian
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




