Eda Ezrin mohon ruang nak berehat, tidak mahu diganggu. Penyanyi terkenal asal Kelantan, Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, memohon agar diberikan ruang sementara menunggu kepulangan suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35.
Eda Ezrin Mohon Ruang Nak Berehat, Tidak Mahu Diganggu
Difahamkan, Mohd Affendi kini masih ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Golok bagi melengkapkan proses dokumentasi sebelum dibenarkan pulang. Sumber terdekat memaklumkan, Eda memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan awam buat masa ini.
“DIA TUNGGU SUAMI PULANG KE SINI (KELANTAN). KEMUDIAN AKAN BINCANG DENGAN SUAMINYA, BILA SELESAI SEMUA ITU BARULAH KUMPUL KELUARGA PULA.”
Buat masa sekarang Eda Ezrin mohon jangan diganggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Kredit foto: Bernama
Menurut laporan Sinar Harian Khamis lalu, Eda pulang ke pangkuan keluarga pada jam 11.40 malam selepas menjalani hukuman sembilan bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Ibu kepada dua anak berusia lima dan sembilan tahun itu dibawa pulang setelah selesai memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang selama lebih tiga jam bersama rakannya, Nur Aida Mamat, 33.
Ads
Pada Rabu, Eda dan Nur Aida dibebaskan sepenuhnya dari tahanan penjara berkenaan sebelum berlepas ke Kelantan pada jam 6 petang hari yang sama. Namun, suami Eda bersama tiga individu lain iaitu Eridieka Mohd Noor, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Mohamad Alif Deraman, 33, masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok bagi urusan dokumentasi sebelum dibolehkan pulang.
Keluarga Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan yang lain mula berkumpul di luar perkarangan Balai Polis Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Difahamkan, setibanya di Kelantan, Eda memilih untuk menetap sementara di kediaman ibu mentuanya di Kota Bharu.
Ads
Terdahulu, Eda, suami dan empat rakannya dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu lalu.
Hafiz cilik, Ahmad Ziyyad, 10 tahun, hafal 30 juzuk dalam tempoh 4 bulan. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, mengukir pencapaian luar biasa dengan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam hanya empat bulan 10 hari.
Dalam suasana tenang di sebuah kediaman di Bukit Payung, Marang, Terengganu, lantunan ayat-ayat suci al-Quran kedengaran jelas tanpa gangguan televisyen atau gajet.
Ahmad Ziyyad, yang memiliki memori luar biasa serta minat mendalam terhadap al-Quran, menamatkan hafazannya pada 23 Mac lalu melalui program hafazan pantas (fast track) yang ditawarkan oleh Akademi Al-Quran Amalillah, sebuah pusat tahfiz di Terengganu yang menyediakan program intensif khas bagi pelajar berpotensi tinggi.
Ibunya, Nurul Shahida Lukman, 35, berkongsi bahawa anak sulungnya itu telah menunjukkan kecenderungan terhadap al-Quran sejak bayi lagi. Pada usia dua tahun lapan bulan, Ahmad Ziyyad sudah mampu menghafal sebanyak 42 surah, termasuk surah panjang seperti al-Baqarah dan al-A’raf, hanya dengan mendengar bacaan.
Menurut beliau, sejak kecil lagi Ahmad Ziyyad menunjukkan reaksi sensitif terhadap bacaan al-Quran. “Saya selalu mendodoikannya dengan al-Quran. Jika saya berhenti membaca pada ayat tertentu, dia akan menangis dan hanya tenang bila saya mula semula dari awal surah,” katanya kepada Bernama.
Disebabkan minat yang luar biasa itu, Nurul Shahida dan suaminya, Mohd Zahir Mohammad Noor Sabri, 38, mengambil keputusan untuk berpindah dari Kota Bharu ke Marang bagi membolehkan anak mereka menghadiri kelas hafazan di akademi tersebut setiap hari. Sebelum ini, Ahmad Ziyyad bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh di Kota Bharu, tetapi masa yang terhad menyukarkan hafazan al-Quran dijalankan secara konsisten.
Keluarga ini kemudiannya menemukan Akademi Al-Quran Amalillah pada tahun 2024. Walaupun akademi itu hanya menerima pelajar berumur antara 10 hingga 15 tahun, Ahmad Ziyyad diterima masuk ketika baru berusia sembilan tahun berkat keupayaannya menghafal beberapa potong ayat dalam masa 10 minit – satu pencapaian luar biasa yang tidak dimiliki kebanyakan pelajar lain.
Nurul Shahida juga menjelaskan bahawa anaknya mempunyai keistimewaan iaitu hyperlexia dan hypernumeric, yang membolehkannya mengenal huruf dan nombor pada usia lebih awal dari biasa – ciri yang sering dikaitkan dengan spektrum autisme. “Dia tahu surah, ayat dan muka surat setiap kali membaca al-Quran. Dia suka mendalami nama-nama Allah dan mampu menjawab jika ditanya. Mungkin kerana semuanya berkait dengan nombor, yang memang menjadi minatnya,” jelas beliau.
Walaupun kadang-kala emosinya tidak stabil dan mudah menangis, Ahmad Ziyyad tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam meneruskan hafazan selepas episod sebegitu. Kini setelah bergelar hafiz, beliau kembali ke SRITI Al-Fateh untuk menyambung persekolahan hingga ke darjah enam sebelum memasuki fasa syahadah – peringkat pengesahan hafazan di hadapan panel.
Apa yang lebih menggembirakan ibunya ialah perubahan positif dalam sikap dan peribadi Ahmad Ziyyad. “Dia kini solat di awal waktu tanpa disuruh, rajin melakukan amalan sunat seperti tahajud, dan semakin matang. Perangai autistiknya juga lebih terkawal dan dia jadi teladan baik buat adik-adiknya,” ujar Nurul Shahida.
Guru hafazannya, Nurfatihar Riduan, turut mengakui kehebatan Ahmad Ziyyad yang mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam masa 15 hingga 30 minit, bergantung pada kesukaran ayat. Beliau menyatakan, “Ada hari dia boleh tasmi’ satu juzuk sehari, dan ulangkaji pula sampai dua hingga empat juzuk. Fokus dan disiplin Ahmad Ziyyad sangat tinggi.”
Guru itu turut memuji komitmen ibu bapa Ahmad Ziyyad yang sanggup berpindah negeri demi menyokong impian anak mereka menjadi hafiz, satu pengorbanan yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Tak semua orang mampu, tapi bila ada hati yang ikhlas namun segalanya jadi mungkin. Seorang wanita, Nadiah, buat ramai netizen sebak bila dia sanggup rancang kejutan besar untuk pembantu rumahnya, Mala dengan membawa dua anak dan ibu bibik dari Indonesia sempena Aidilfitri!
Video kejutan tu dimuat naik kat TikTok @nadiahmdin, dan capai lebih 200,000 tontonan! Bukan sebab drama, tapi sebab kasih sayang dan kemanusiaan yang tulus.
Menurut wanita berkenaan, perancangan dibuat secara rahsia malah untuk mengelak rahsia ‘bocor’ dia meminta pembantu bernama Mala itu menyediakan makanan untuk tetamu dari Perancis yang menetap di Indonesia.
Namun siapa sangka, kejadian itu merupakan hadiah Aidilfiteri yang penuh bermakna buat bibiknya.
“Alhamdulillah, Bibik bertemu semula dengan dua anak dan ibu pada raya kali ini. Ia adalah penerbangan pertama anak-anaknya.
“Kejutan besar ini dirancang sejak empat bulan lalu. Saya suruh dia masak lauk raya dan sambal balado sebab ‘tetamu’ ini suka makanan Indonesia.” Kongsi Nadiah
PANGGILAN TELEFON UNDANG SEBAK
Dedahnya lagi, beliau terpanggil menemukan Mala dan dua anaknya selepas terdengar perbualan telefon yang menyentuh hati.
“Apa yang mendorong saya melakukan ini? Saya mendengar panggilan itu.
“Selepas terdengar perbualan Bibik dan anak-anak. Kata anaknya, “rindu sama masakan mama, boleh tak kalau kita bersatu seperti dahulu? Zarah rindu masakan mama.”
“Apabila saya bangun keesokan hari dan saya melihat matanya bengkak. Saya tanya, ” Mala kenapa kamu?”
“Dia jawab, “Tiada apa-apa, perkara biasa rindu anak anak.”
“Saya benar-benar memahami perasaan itu. Mereka kini akan bersama kami selama kira-kira 12 hari! Doakan semuanya akan baik,” kongsi Nadiah.
Difahamkan Nadiah telah membuat perancangan rapi dengan kakak Mala di Indonesia termasuk proses menyediakan pasport untuk ketiga-tiga mereka.
Memakan masa beberapa bulan, ia bukan mudah kerana dua anak Mala masih di bawah umur namun segalanya berjaya dengan bantuan suami Mala dan ahli keluarga.
Menerusi klip yang dikongsikan, Mala langsung tidak menjangka kehadiran tiga insan tersayang dan benar-benar terkesima melihat sosok mereka di depan mata.
Mala yang sebak dilihat menerpa dan memeluk kedua-dua anaknya serta si ibu. Dia cukup terharu dengan kejutan itu dan berterima kasih atas kebaikan Nadiah.
WARGAMATA SEBAK
Warganet tersentuh dengan kejutan yang cukup bermakna tersebut, ramai mendoakan majikan yang baik hati itu diberikan balasan oleh ALLAH. Tidak kurang memuji sifat insani dalam diri Nadiah tang sanggup menghilangkan kerinduan pembantunya.
“Sedih, baik majikannya. Moga sentiasa dirahmati oleh ALLAH aamiin.”
“Kenapa kau terlalu baik nadiah. Moga dgn ini, perjalanan ke Jannah dipermudahkan insha Allah
“tq puan sebab jadi cth majikan yg baik.. semoga jasa puan sekeluarga Allah swt limpahkan rezeki yg melimpah ruah… kesihatan yg baik”
Empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah menengah di daerah Baling ditahan pihak polis selepas disyaki terbabit dalam satu kes serius melibatkan pelajar sekolah serta penularan video tidak senonoh di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun pada Ahad lalu kira-kira jam 11 pagi selepas guru disiplin sekolah memaklumkan tentang video tular membabitkan anak pengadu.
Menurut beliau, hasil siasatan awal membawa kepada penahanan empat individu terbabit, termasuk tiga pelajar sekolah berkenaan dan seorang bekas pelajar. Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku antara Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi dalam kawasan sekolah. Pihak kami telah menahan suspek dan merampas enam telefon bimbit bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan berhubung kesalahan jenayah berkaitan dan seksyen berkaitan penyebaran bahan lucah membabitkan individu bawah umur.
Dalam masa sama, Ahmad Salimi menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kejadian seperti ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam perbuatan tidak bermoral, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau turut menyeru ibu bapa serta penjaga agar lebih peka dan memantau aktiviti harian anak-anak termasuk penggunaan media sosial. Pengaruh negatif di dunia maya boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan remaja jika tidak dikawal sejak awal.
Kes ini menjadi pengajaran kepada semua pihak tentang kepentingan pendidikan moral dan pengawasan berterusan terhadap anak-anak. Pihak berkuasa berharap masyarakat dapat memainkan peranan dalam menasihati generasi muda agar tidak terlibat dalam tingkah laku berisiko yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.