Ucapan ‘terima kasih’ sering kita lafazkan bila kita mendapat bantuan dan pertolongan daripada orang lain.

Pun begitu mungkin ada yang terlupa mengucapkan kata-kata penghargaan ini kepada ahli keluarga sendiri yang sebenarnya telah banyak membantu memudahkan kita dalam pelbagai urusan harian.

Paling jelas bila melihat apa yang telah dilakukan oleh isteri sepanjang  bulan Ramadan di musim PKP ini.

Ianya bolehlah disifatkan sebagai frontliners di rumah sendiri sebagaimana perkongsian  oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini.

Apa yang pasti, begitu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh insan bernama isteri dan ibu.


Kita sering mengucapkan terima kasih atas pengorbanan barisan frontliners diluar sana. Memang jasa mereka tidak terhitung banyaknya.

Namun jangan dilupa ‘frontliner’ dalam rumah kita yakni isteri dan ibu pada anak-anak kita.

‘Frontliner’ Di Rumah, Begitu Besar Jasa & Pengorbanan Isteri!

Merekalah berada di barisan hadapan berperang didapur dari lepas Zohor hingga menjelang azan waktu berbuka.

Habis sahaja berbuka, tugasan mereka belum selesai. Mengemas dan membasuh pinggan mangkuk pula. Dan seawal jam 4 pagi mereka sudah bangkit menyiapkan makanan sahur pula.

Saat lepas makan kita boleh menyambung lena atau bermain phone menanti azan Subuh, mereka masih didapur membersihkan segala.

Mereka juga berperang dengan anak-anak yang kelaparan minta disuap, minta dimandi, minta ditukar pampers dan minta didodoikan.

Tidak dilupa mereka juga menjadi guru serba boleh membantu anak menggunakan telefon pintar dan menyiapkan kerja.

Kain berbakul yang perlu dilipat, yang perlu dibasuh, yang perlu disidai. Karpet berhabuk perlu di’vacum’, cadar bilik tidur perlu ditegangkan dan ruang tamu juga perlu sentiasa kemas dan teratur.

Besar jasa dan pengorbanan seorang isteri dan ibu ini.

Maka kita sebagai suami dan orang lelaki, bantulah mana yang boleh. Walau cuma bantuan kecil, ia sangat bermakna buat mereka.

Dan usah pelik jika kesalahan yang sedikit tapi mereka membebel panjang. Atau marah sampai mencekak pinggang.

Mereka kepenatan dan ada yang tertekan. Tambahan pula di bulan Ramadan.

Usah dilawan jika mereka marah-marah. Diamkan diri atau pura-pura pengsan saja.

Kebanyakan amarah mereka sementara. Dan amarah itu bukan marah yang sebenarnya, mereka hanya ingin melepaskan tekanan yang kadangkala timbul bila pelbagai benda perlu diurus serentak.

Apa lagi anak merengek dan buat hal. Minta tolong suami, suami pula buat tidak dengar. Bercampur dengan sakit orang perempuan jika datang bulan, bercampur dengan lapar jika berpuasa Ramadan.

‘Frontliner’ Di Rumah, Begitu Besar Jasa & Pengorbanan Isteri!

Maka kadangkala, tindakan itu luar jangka. Bukan niat dari lubuk hati mereka.

Sebab itu lelaki kena banyak mengalah. Bukan kerana takutkan isteri, tapi kerana isteri itu menakutkan bila mereka tertekan.

Dan jika… Jika ada seduit lebih, belikan apa-apa untuk menghargai mereka. Cuba tunaikan permintaan sehelai tudung bawal contohnya, atau cincin emas jika itu dalam kemampuan kita.

‘Frontliner’ Di Rumah, Begitu Besar Jasa & Pengorbanan Isteri!

Tanpa wanita, huru hara keluarga. Sungguh!

3 point simple untuk kawan-kawan lelaki dalam status kali ini :

1. Bantu mereka semampu kita.
2. Mengalah dan usah bertengkar walau mereka mulakan pertengkaran itu.
3. Hargai mereka dengan kata pujian, hadiah atau tunaikan hajat mereka semampu kita.

Moga dalam tempoh PKP ini hubungan kita semua dengan ahli keluarga kita makin merapat dan bahagia.

#StayAtHome
#MFS
– Status penghargaan buat semua kaum hawa –
sumber : Mohd Fadli Salleh

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI