Halang air banjir masuk rumah, wanita kongsi idea guna papan dan tanah liat. Musim banjir merupakan satu fenomena tahunan yang sering melanda negara-negara yang mempunyai musim hujan yang ketara, termasuk Malaysia.
Halang Air Banjir Masuk Rumah
Bagi mereka yang biasa mengalami banjir, ramailah yang kreatif membuat persediaan agar rumah tidak dimasuki air. Dalam satu hantaran di TikTok, seorang wanita, Nurul Atyra yang menggunakan teknik mudah menghalang air banjir memasuki ruang rumah.
“Dengan rumah saya ok. Anda cubalah, harap membantu.” – tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam keadaan semasa banjir kilat yang kerap terjadi akhir-akhir ini, tip yang dikongsikan ini mungkin dapat membantu.
Wanita Kongsi Idea Guna Papan & Tanah Liat
Menerusi video tersebut, sekeping papan digunakan sebagai penghadang air banjir separas buku lali.
Penghadang banjir itu adalah idea wanita itu sendiri dan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa ketika air banjir belum memenuhi pekarangan rumah.
“Rumah saya selalu dimasuki air (banjir). (Untuk mengelakkan ia berulang), saya lekatkan papan yang sama saiz dengan pintu dan dilekatkan dengan menggunakan tanah liat permainan kanak-kanak (plastisin).
“Jadi, air tidak masuk ke dalam rumah, selamatlah sofa dan perabot semua.
“Untuk pintu gelangsar (sliding door) pun boleh. Jadi anda semua boleh cuba. saya ok, air tak masuk ke dalam rumah.
Perkongsian wanita itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya. Rata-rata tertarik dengan kreativiti wanita itu dan mengakui keberkesanannya untuk menghalang air masuk ke rumah semasa banjir.
Sebelum ini ada yang berkongsi idea mengelak limpahan air banjir masuk ke dalam ruang kediaman.
Tegur remaja main motosikal, warga emas maut dipukul besi cota. Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun maut selepas dipercayai dipukul dengan sebatang besi cota dalam kejadian di Kampung Buluh, Gual Ipoh pada petang Khamis.
Mangsa, Shamsuddin Mohamad, mengalami kecederaan parah pada wajah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 5.30 petang. Suspek dipercayai seorang remaja lelaki berumur 18 tahun, yang dikatakan berdendam kerana pernah ditegur oleh mangsa berhubung cara menunggang motosikal secara merbahaya di kampung tersebut.
MENURUT ADIK TIRI MANGSA, HASNAH GHAZALI, 40, KETIKA KEJADIAN ABANGNYA SEDANG BERBUAL DENGAN SEORANG RAKAN DI BANGSAL BERSEBELAHAN SEBUAH KEDAI RUNCIT. SUSPEK KEMUDIANNYA DATANG DAN MENGAJAK MANGSA KE BAHAGIAN BELAKANG PREMIS TERSEBUT SEBELUM MEMUKULNYA.
“Abang saya rebah dan tidak sedarkan diri selepas dipukul,” katanya kepada media pada Jumaat.
Hasnah memaklumkan kejadian disedari oleh seorang lelaki yang kebetulan berada di kawasan itu. Beliau dimaklumkan mengenai insiden berkenaan sekitar jam 5.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Waktu saya sampai, abang sudah berlumuran darah,” ujarnya lagi.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.
Tambah Hasnah, kali terakhir beliau bertemu abangnya adalah pada Rabu lalu semasa berada di rumah ibu mereka. Katanya, mereka ada mendengar cakap-cakap mengenai rasa tidak puas hati suspek kerana pernah ditegur oleh mangsa sebelum ini.
Jenazah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang, Gual Ipoh selepas solat Asar pada hari Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah turut mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Proses gali semula kubur Syamsul Haris hari ini, tanah perkuburan mula dipenuhi orang ramai. Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, dijadualkan bermula sekitar jam 8.30 pagi ini bagi tujuan bedah siasat kedua.
Seawal jam 7 pagi, suasana di luar pintu utama Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, sudah mula dipenuhi ahli keluarga dan penduduk setempat yang hadir untuk mengikuti perkembangan.
Pihak polis turut mengawal ketat kawasan berkenaan bagi memastikan hanya individu berkaitan dibenarkan masuk, selain menjaga kelancaran proses penggalian semula dan mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Sekitar jam 7.45 pagi, ibu kepada Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilihat tiba di lokasi dan masuk ke kawasan tanah perkuburan untuk menyaksikan proses berkenaan.
Difahamkan, kerja penggalian itu akan dipantau oleh pegawai Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam keluarga, pegawai serta anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan wakil daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Selesai sahaja proses penggalian, jasad Allahyarham Syamsul Haris akan dibawa terus ke HKL untuk tujuan bedah siasat.
Terdahulu, pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan kubur pelatih PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu digali semula. Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan perkara tersebut selepas menerima permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee.
Menurut keputusan mahkamah, proses penggalian perlu dilakukan bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas mengikuti latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram. Jenazah beliau kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.
28 Julai 2025
Syamsul Haris, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
29 Julai 2025
Jenazah Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Rinching Hulu, Semenyih.
1 Ogos 2025
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris berdasarkan hasil bedah siasat awal yang tidak menemui kecederaan mencurigakan dan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menolak penjelasan awal bahawa anaknya meninggal dunia kerana sawan dan menuntut siasatan menyeluruh termasuk bedah siasat kedua.
2 Ogos 2025
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Kementerian Pertahanan (Mindef) menubuhkan jawatankuasa yang turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kematian Syamsul Haris.
11 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Permohonan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui KPT bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.
13 Ogos 2025
Polis mengesahkan seramai 22 saksi sudah dirakam keterangan termasuk doktor (rawatan awal), doktor (bedah siasat), rakan sepelatih, jurulatih selain ahli keluarga mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Mohamed Khaled memaklumkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan dalam insiden berkenaan.
5 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya bagi membolehkan proses bedah siasat kedua.
19 Ogos 2025
Pendengaran hujahan permohonan notis usul supaya kubur Syamsul Haris digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
25 Ogos 2025
Ibu Allahyarham Syamsul Haris memfailkan afidavit baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyokong permohonan notis usul supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
26 Ogos 2025
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham.
29 Ogos 2025
Kerja penggalian semula kubur Allahyarham dilaksanakan hari ini bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dilaksanakan di HKL.