Perkongsian daripada Ustazah Asma Harun ini cukup menjentik hati kita sebagai hamba Allah. Semoga ianya juga menjadi satu asbab untuk kita perbetulkan hati dan kembali yakin dengannya apatah lagi saat kita diberi ujian.

Yakinlah itu semua ada hikmahnya dan bila kita kembalikan semula pada Allah, mengadu padanya hati menjadi lebih tenang.

Ini sebagaimana kisah benar yang diceritakan ini. Jom semak.

KEMBALI DAN YAKINLAH PADA ALLAH

Sahabat, fahami dan yakini beberapa hal yang sangat penting ini, ia boleh mengubah diri dan seluruh hidup kita.

Allah SWT sesekali tidak menzalimi atau membebani dengan ujian dan dugaan melebihi batas kemampuan kita. Kembalilah kepada Allah, patuhi perintah dan tinggalkan larangan-Nya, lalu berusaha dan berdoa kepada-Nya. Dialah ya ‘Alim ya Hakim yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, akan memberikan jalan keluar dengan tepat dan sempurna.

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya … . (Al-Baqarah 2: 286)

Sesungguhnya kita hanyalah hamba yang tiada daya dan upaya, kita lemah dengan kemampuan yang terbatas. Menyedari hakikat ini, maka kembalilah kepada Allah SWT, kerana Dialah Allah ya Qawiy ya Aziz ya Matin, Yang Maha Kuat Maha Perkasa dan Maha teguh. Berterusan merintih dengan kalimah zikir,

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيم
(Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.)

IKLAN

Percayalah bahawa hati sangat rindukan saat kita kembali yakin sepenuhnya tanpa ragu pada Allah. Hikmah terbesar apabila kita mengadukan kelukaan, kesedihan, kepedihan dan kesakitan dengan penyerahan bulat-bulat kepada-Nya, Allah ya Mu’min ya Wasit akan memberikan ketenangan dan kelapangan kepada hati. Saat ini kita tidak lagi terikat dengan mengharapkan permohonan maaf, penghargaan atau balasan manusia, kerana kita sudah dapat apa yang kita perlu, iaitu tenang dan rasa cukup dengan Allah SWT,

حَسْبِي رَبِّيْ جَلَّ الله، مَافِي قَلْبِي غَيْرُ الله
(Cukuplah Allah bagiku, Allah yang Maha Agung. Tiada di dalam hatiku selain Allah.)

Untuk merasai nikmat hidup yang tenang dan bahagia secara hakiki, tiada cara lain yang lebih selamat di Dunia dan Akhirat, melainkan kita kembali kepada-Nya. Dalam erti kata lain, selalu rasa bersyukur atas nikmat, sabar dan redha atas ujian. Lalu kita mula sentiasa memerlukan Allah SWT dalam setiap suka dan duka, bahagia dan derita, lapang dan sempit, sihat atau sakit, susah atau senang.

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram. (Al-Ra’d 13: 28)

Saya ingin kongsikan satu kisah benar yang telah diolah dan diringkaskan.

IKLAN

Satu hari seusai ceramah di satu tempat, ada seorang wanita memberhentikan perjalanan saya menuju ke kereta, dalam keadaan yang bersungguh beliau minta izin untuk bercerita satu perkara penting.

"Ustazah, sebelum ini saya diuji dengan sakit depression dan anxiety disorder yang agak kritikal. Saya telah menghantar surat perletakan jawatan untuk meninggalkan pekerjaan saya. Saya juga telah mengabaikan suami dan 7 orang ANAK".

"Saya hidup dalam ketakutan, kekecewaan dan kebencian pada orang lain dan diri sendiri, bahkan satu peringkat ingin sekali membunuh diri kerana tidak lagi mampu untuk menanggung derita".

"Bagi saya tiada siapa yang faham dan sentiasa kecewa dengan cara semua orang melayani saya. Makan ubat, jumpa pakar psikiatri, amalkan istighfar dan selawat beribu kali sehari, juga pelbagai usaha lain. Namun, penyakit saya semakin kronik dan berlarutan".

"Sehinggalah satu hari, Allah mengizinkan saya mendengar satu sedutan ceramah ustazah tentang ayat 44 surah Ghafir".

IKLAN

"Saya cuba sedaya upaya hafal berserta maksudnya, baca dengan tenang dan menghayatinya, beberapa ketika tanpa sedar saya mengalirkan air mata semahunya. Namun, kali ini seperti satu beban yang sangat berat di angkat daripada bahu. Air mata yang keluar bukanlah kerana kesakitan atau ketakutan, tetapi air mata ketenangan dan kedamaian yang telah lama saya rindukan".

"Subhanallah.. Ayat tersebut membantu saya untuk menyerahkan pengharapan semata-mata kepada Allah, semakin diulang ia umpama seperti memahat kuat ke dasar hati, bahawa hanya Allah yang memahami saya, hanya Allah yang mampu menyembuhkan saya, hanya Allah segala-galanya".

Dalam keadaan sedu sedan dia menyambung, “Ustazah, sekarang saya sudah sihat, bahkan lebih baik daripada sebelum sakit, saya jalani kehidupan dengan lebih tenang dan yakin untuk hadapi apa sahaja ujian Allah, kerana saya tahu tiada kesukaran yang tidak boleh diatasi jika kita yakin dengan Allah. Barulah saya faham, selama ini bukanlah selawat dan istighfar itu tidak mujarab, tetapi kerana hati ada ragu-ragu dengan kekuasaan Allah SWT.”

وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ
Daku sentiasa menyerahkan urusanku (kesakitan, kebimbangan, ketakutan, keresahan, kesempitan, dan lain-lain) bulat-bulat kepada Allah(untuk memeliharaku), sesungguhnya Allah Maha melihat keadaan hamba-Nya. (Ghafir 40: 44)

Moga bermanfaat dan terus bertahan hidup bertuhan dalam setiap ujian.

Asma' binti Harun

sumber : Asma Harun

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI