Ads

“Tak Boleh Bezakan Ibu Kandung Dan Mentua”, Ikhlas Jaga Mentua Lumpuh, Abdul Rahman Percaya Rezeki Allah Sentiasa Ada

Kasih seorang menantu terhadap ibu mentua wajar dijadikan contoh apabila sanggup menjaga wanita itu yang menghidap angin ahmar seperti ibu kandung sendiri. Kisah pengorbanan ini membuktikan bahawa kasih sayang dalam sesebuah keluarga tidak terhad kepada pertalian darah, sebaliknya lahir daripada keikhlasan, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap ibu bapa pasangan.

Abdul Rahman Abdul Rahim, 34, menawarkan diri untuk menjaga ibu mentuanya, Puziyah Darus, 66, selepas berbincang bersama isterinya, Siti Norfaseha Samsudin, 31.

Walaupun baru dua bulan mendapat pekerjaan tetap sebagai penghantar atau runner dan bukan daripada keluarga berada, keadaan itu tidak menghalangnya daripada terus berbakti.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memahami bahawa menjaga warga emas yang sakit memerlukan keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang yang tinggi.

Lebih-lebih lagi, ibu kandungnya sendiri, Noor Rugaiyah Abdullah Hussain, 63, turut menghidap penyakit autoimun kronik, Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

“Tak Boleh Bezakan Ibu Kandung Dan Mentua”, Ikhlas Jaga Mentua Lumpuh, Abdul Rahman Percaya Rezeki Allah Sentiasa Ada

Anggap Mentua Seperti Ibu Sendiri

Bagi Abdul Rahman, perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua individu, tetapi turut mengikat hubungan dengan seluruh keluarga pasangan. Baginya, menjaga ibu mentua angin ahmar adalah tanggungjawab yang sama seperti menjaga ibu kandung sendiri.

“Apabila sudah berkahwin, kita sebenarnya berkahwin dengan seluruh keluarga pasangan. Jadi tidak boleh ada perbezaan layanan terhadap emak mentua mahupun ibu kandung.

“Sebab itu saya ambil tanggungjawab menjaga mama sejak dua tahun lalu walaupun sebelum ini dia dijaga dengan baik oleh abang ipar di Pulau Pinang,” katanya.

Puziyah yang mengalami lumpuh pada bahagian kanan badan memerlukan bantuan dalam menjalani rutin harian. Abdul Rahman berkata, isterinya yang merupakan suri rumah banyak membantu menguruskan ibunya, selain menjaga anak bongsu mereka yang masih aktif.

Cabaran Menjaga Ibu Mentua Angin Ahmar

Mengakui tanggungjawab itu bukan mudah, Abdul Rahman berkata antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi adalah daripada segi kewangan dan ketahanan mental.

Ads

“Jujurnya berat pada awalnya sebab kena bersedia daripada segi kewangan, tetapi saya percaya rezeki itu Allah SWT yang bagi.

“Memang betul ada rezeki kerana sejak jaga mama, ada saja rezeki yang datang,” katanya.

Sebagai ketua keluarga, Abdul Rahman perlu menyediakan keperluan anak-anak, isteri dan ibu mentuanya.

Bagi menambah pendapatan, dia turut melakukan kerja sambilan sebagai penunggang p-hailing demi memastikan keperluan keluarga sentiasa mencukupi.

Menurutnya, menjaga orang tua yang sakit ibarat menguruskan bayi yang baru dilahirkan kerana memerlukan perhatian, kesabaran dan emosi yang kuat.

Antara kenangan paling sukar dilupakan adalah ketika ibu mentuanya menangis tanpa henti kerana teringatkan anak perempuannya yang telah meninggal dunia.

Lebih menyedihkan, pemergian kakak iparnya itu berlaku hanya dua minggu selepas bapa mentuanya meninggal dunia.

Kekuatan Menghadapi Ujian

Sebagai manusia biasa, Abdul Rahman tidak menafikan pernah melalui fasa patah semangat apabila berdepan ujian yang berat.

Ads

Namun, dia memilih untuk tidak menunjukkan kesedihannya di hadapan keluarga kerana mahu terus menjadi sumber kekuatan buat mereka.

“Kalau boleh, saya mahu tunjuk yang saya kuat walaupun dalam hati pernah terfikir kenapa berat sangat ujian buat saya.

“Tetapi kalau saya patah semangat, siapa lagi boleh diharapkan kerana saya pejuang rezeki buat keluarga,” katanya.

Abdul Rahman turut berpesan kepada isterinya supaya terus menjaga ibu mereka dengan penuh kasih sayang kerana peluang berbakti kepada orang tua merupakan antara jalan mudah menuju syurga.

“Ada waktunya memang penat, tetapi pasti ada sebab Allah SWT hantar mama kepada kami. Jadi fikir positif saja dan saya tidak pernah berasa terbeban.

“Ujian ini diberi supaya saya tidak lupa diri dan insya-Allah akan ada pelangi selepas ini,” katanya.

Harapan Buat Ibu Mentua Angin Ahmar

Selagi diberikan kudrat, Abdul Rahman bertekad untuk terus membantu isterinya menjaga ibu mentua dan memenuhi segala keperluan wanita itu.

Ads

Dia juga tidak sampai hati untuk menghantar Puziyah kembali tinggal bersama abang iparnya di Pulau Pinang.

“Biarlah mama tinggal bersama saya dan isteri. Kalau mama dapat bercakap dan bangun seperti dulu, Alhamdulillah.

“Walaupun nampak mustahil, kita tidak tahu jika ia boleh terjadi dengan kuasa Allah dan berkat doa anak serta cucunya,” katanya.

Dalam kesibukan menjaga ibu mentua, Abdul Rahman tetap menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung dengan menziarahi ibu kandungnya yang tinggal bersama adiknya di tingkat atas kediaman mereka.

Kisah Abdul Rahman membuktikan bahawa kasih sayang seorang menantu tidak seharusnya terbatas pada hubungan perkahwinan semata-mata. Sebaliknya, keikhlasan menjaga ibu mentua angin ahmar mampu mengeratkan ikatan kekeluargaan, mengukuhkan institusi keluarga serta membuka pintu rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka. Kisah ini turut menjadi inspirasi kepada masyarakat agar menghargai ibu bapa dan mentua selagi mereka masih ada.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 162179801399 atas nama Abdul Rahman Abdul Rahim.

BACA LAGI : Layanan Ibu Mertua Yang Baik Itu Juga Rezeki, ‘Jackpot’ Besar Seumur Hidup!

Sumber : Harian Metro

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Keluarga Lain

Nurulhidayah Zahid Syukur Suami Terima Gelaran Datuk Seri, Anggap Satu Amanah...

Suami Nurulhidayah Ahmad Zahid terima Datuk Seri sempena Hari Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Nurulhidayah menyifatkan pengiktirafan itu sebagai amanah besar untuk terus berbakti.