Ibu Sedih Anak Maut Kemalangan “Malam Tadi Hantar Fatin Naik Bas, Pagi Ini Dapat Berita Dia Meninggal Dunia. “Baru malam tadi kami sekeluarga menghantar anak sulung menaiki bas, namun pagi ini saya dapat berita dia meninggal dunia dalam kemalangan,” kata Fieza iaitu ibu kepada Fatin Nasrin Fadli, 22, salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Lebuhraya Timur Barat berdekatan Tasik Banding, Perak pada jam 1 pagi tadi.
Ibu Sedih Anak Maut Kemalangan “Malam Tadi Hantar Fatin Naik Bas, Pagi Ini Dapat Berita Dia Meninggal Dunia”
Kemalangan tragis itu melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan jenis PERODUA Alza, mengakibatkan 15 nyawa pelajar melayang manakala tujuh lagi mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Gerik.
Menurut Fieza, keluarganya hanya mengetahui tentang kemalangan tersebut kira-kira jam 6 pagi selepas terbaca maklumat mengenainya di Facebook.
“WAKTU ITU SAYA CUMA TAHU ANAK TERLIBAT DALAM KEMALANGAN, TAPI SAYA TIDAK PASTI KEADAANNYA, SAMA ADA CEDERA ATAU TELAH TIADA. KAMI TERUS BERTOLAK DARI JERTIH, DAN DALAM PERJALANAN, PIHAK HOSPITAL MENGHUBUNGI MEMBERITAHU ANAK SAYA TELAH MENINGGAL DUNIA,” KATANYA SEBAK.
Fieza memaklumkan, setakat jam 10.50 pagi, beliau masih berada di Tanah Merah, Kelantan akibat kesesakan jalan raya dan tidak pasti berapa lama lagi akan tiba di Hospital Gerik.
Ads
“Allahuakbar… sedih sangat sebab dia baru balik beraya dan malam tadi, kami menghantarnya dengan gembira kerana sepatutnya anak ada kelas hari ini,” katanya.
“Kami masih terkejut. Arwah anak sulung daripada lima beradik dan sepanjang berada di rumah untuk sambutan Hari Raya, dia nampak sangat ceria,” katanya lagi.
Ads
Dalam kejadian tragis itu, kesemua 15 pelajar UPSI disahkan maut apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan sebelum terbalik di Jalan Jeli – Gerik, berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Hafiz cilik, Ahmad Ziyyad, 10 tahun, hafal 30 juzuk dalam tempoh 4 bulan. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, mengukir pencapaian luar biasa dengan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam hanya empat bulan 10 hari.
Dalam suasana tenang di sebuah kediaman di Bukit Payung, Marang, Terengganu, lantunan ayat-ayat suci al-Quran kedengaran jelas tanpa gangguan televisyen atau gajet.
Ahmad Ziyyad, yang memiliki memori luar biasa serta minat mendalam terhadap al-Quran, menamatkan hafazannya pada 23 Mac lalu melalui program hafazan pantas (fast track) yang ditawarkan oleh Akademi Al-Quran Amalillah, sebuah pusat tahfiz di Terengganu yang menyediakan program intensif khas bagi pelajar berpotensi tinggi.
Ibunya, Nurul Shahida Lukman, 35, berkongsi bahawa anak sulungnya itu telah menunjukkan kecenderungan terhadap al-Quran sejak bayi lagi. Pada usia dua tahun lapan bulan, Ahmad Ziyyad sudah mampu menghafal sebanyak 42 surah, termasuk surah panjang seperti al-Baqarah dan al-A’raf, hanya dengan mendengar bacaan.
Menurut beliau, sejak kecil lagi Ahmad Ziyyad menunjukkan reaksi sensitif terhadap bacaan al-Quran. “Saya selalu mendodoikannya dengan al-Quran. Jika saya berhenti membaca pada ayat tertentu, dia akan menangis dan hanya tenang bila saya mula semula dari awal surah,” katanya kepada Bernama.
Disebabkan minat yang luar biasa itu, Nurul Shahida dan suaminya, Mohd Zahir Mohammad Noor Sabri, 38, mengambil keputusan untuk berpindah dari Kota Bharu ke Marang bagi membolehkan anak mereka menghadiri kelas hafazan di akademi tersebut setiap hari. Sebelum ini, Ahmad Ziyyad bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh di Kota Bharu, tetapi masa yang terhad menyukarkan hafazan al-Quran dijalankan secara konsisten.
Keluarga ini kemudiannya menemukan Akademi Al-Quran Amalillah pada tahun 2024. Walaupun akademi itu hanya menerima pelajar berumur antara 10 hingga 15 tahun, Ahmad Ziyyad diterima masuk ketika baru berusia sembilan tahun berkat keupayaannya menghafal beberapa potong ayat dalam masa 10 minit – satu pencapaian luar biasa yang tidak dimiliki kebanyakan pelajar lain.
Nurul Shahida juga menjelaskan bahawa anaknya mempunyai keistimewaan iaitu hyperlexia dan hypernumeric, yang membolehkannya mengenal huruf dan nombor pada usia lebih awal dari biasa – ciri yang sering dikaitkan dengan spektrum autisme. “Dia tahu surah, ayat dan muka surat setiap kali membaca al-Quran. Dia suka mendalami nama-nama Allah dan mampu menjawab jika ditanya. Mungkin kerana semuanya berkait dengan nombor, yang memang menjadi minatnya,” jelas beliau.
Walaupun kadang-kala emosinya tidak stabil dan mudah menangis, Ahmad Ziyyad tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam meneruskan hafazan selepas episod sebegitu. Kini setelah bergelar hafiz, beliau kembali ke SRITI Al-Fateh untuk menyambung persekolahan hingga ke darjah enam sebelum memasuki fasa syahadah – peringkat pengesahan hafazan di hadapan panel.
Apa yang lebih menggembirakan ibunya ialah perubahan positif dalam sikap dan peribadi Ahmad Ziyyad. “Dia kini solat di awal waktu tanpa disuruh, rajin melakukan amalan sunat seperti tahajud, dan semakin matang. Perangai autistiknya juga lebih terkawal dan dia jadi teladan baik buat adik-adiknya,” ujar Nurul Shahida.
Guru hafazannya, Nurfatihar Riduan, turut mengakui kehebatan Ahmad Ziyyad yang mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam masa 15 hingga 30 minit, bergantung pada kesukaran ayat. Beliau menyatakan, “Ada hari dia boleh tasmi’ satu juzuk sehari, dan ulangkaji pula sampai dua hingga empat juzuk. Fokus dan disiplin Ahmad Ziyyad sangat tinggi.”
Guru itu turut memuji komitmen ibu bapa Ahmad Ziyyad yang sanggup berpindah negeri demi menyokong impian anak mereka menjadi hafiz, satu pengorbanan yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Kemalangan di Mesir, 8 pelajar Malaysia cedera, Wisma Putra beri bantuan. Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt (EME) sedang memantau rapi situasi membabitkan lapan pelajar Malaysia dari Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.
“Pegawai Education Malaysia Egypt segera melawat pelajar itu di Hospital As Salam Port Said untuk memberikan bantuan dan menilai keadaan mereka,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, lima daripada pelajar itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Tiga lagi yang sedang dalam pemerhatian akan dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Wisma Putra memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sudah memberikan sokongan kepada pelajar itu dan akan terus memantau keadaan dengan teliti mereka bagi memastikan kesejahteraan mereka.
Bagi bantuan konsular, pihak terbabit boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah di 10, Street 261, Maadi, Kaherah, Mesir.
Selain itu, pihak kedutaan boleh dihubungi melalui talian +20 225174210 dan kecemasan (selepas waktu pejabat) di +201 200276388 atau melalui e-mel mwcairo@kln.gov.my.
“Kementerian akan terus menyediakan maklumat terkini sekiranya perlu,” menurut Wisma Putra.
Education Malaysia Egypt dalam satu catatan di akaun Facebook miliknya menyatakan kemalangan kereta yang menimpa lapan orang pelajar Malaysia itu berlaku kira-kira 12 tengah hari semalam.
Lima pelajar itu ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Selain itu, tiga lagi pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi telah dibawa ke hospital Sayed Galal untuk rawatan lanjut.
Susulan penemuan tiga mayat reput di rumah, jiran sangka pergi bercuti. Misteri bau busuk yang terhidu dari sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, Seremban, akhirnya membawa kepada penemuan tiga mayat dalam keadaan reput, petang semalam.
Seorang jiran wanita, berusia lingkungan 60-an, memaklumkan dia menyangka penghuni rumah tersebut keluar kawasan kerana kali terakhir dia melihat salah seorang ahli keluarga itu adalah pada Jumaat lalu.
“Anak lelaki mereka ada datang ke rumah saya beri makan anjing, itu kali terakhir saya nampak dia. Saya sangka mereka sekeluarga keluar atau bercuti,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, rumah itu dihuni tiga sekeluarga iaitu pasangan suami isteri serta anak lelaki mereka yang difahamkan menghidap autisme dan berusia sekitar 30-an.
Namun, petang semalam seorang jiran yang tinggal berhampiran menghubungi pihak berkuasa selepas terhidu bau busuk yang datang dari rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 5 petang.
“Hasil pemeriksaan selepas memotong kunci pagar rumah itu, pasukan polis menemui tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik berasingan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mayat adalah ahli keluarga warga tempatan terdiri daripada lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun.
Tambahnya, siasatan forensik turut menemukan kesan torehan di lengan kanan anak lelaki pasangan itu, manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.
“Empat bilah pisau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut ditemui, selain kesan darah pada senjata berkenaan,” ujarnya.
Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan dan laporan lanjut.
Kanak-kanak jatuh flat di Johor Bahru dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkap rumah tingkat lima. Ibu ayah diingatkan utamakan keselamatan rumah.