Ads

Kerja Tukang Cuci, Jual Kuih Demi Sara Hidup, Kini Nur Zahirah Bergelar Peguam Di New Zealand

Bukan semua kejayaan hadir melalui jalan yang mudah. Ada yang perlu bekerja sambil belajar, berkorban masa dan tenaga, malah menahan penat demi mengejar sebuah impian.

Itulah perjalanan Nur Zahirah Khairudin, 25, anak Malaysia yang kini mencipta pencapaian membanggakan apabila secara rasmi bergelar peguam di New Zealand.

Lebih menginspirasikan, sebelum sampai ke tahap ini, Nur Zahirah pernah bekerja sambilan melakukan kerja pembersihan di motel, selain membantu keluarganya membuat dan menjual kuih-muih pada hujung minggu demi menampung kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.

Minat Nur Zahirah Khairudin Bermula Sejak Sekolah

Nur Zahirah Khairudin yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik mula menyedari minatnya terhadap bidang undang-undang ketika masih bersekolah di Malaysia.

Kerja Tukang Cuci, Jual Kuih Demi Sara Hidup, Kini Nur Zahirah Bergelar Peguam Di New Zealand
NUR Zahirah (tengah) bersama ibu bapanya selepas mengangkat sumpah sebagai peguam di New Zealand. FOTO ihsan Nur Zahirah

Menurutnya, penglibatan dalam sesi debat bahasa Inggeris membuka ruang untuk mengenali potensi diri, selain menyedari kecenderungannya terhadap dunia guaman.

“Ketika di sekolah menengah, saya menyertai sesi debat bahasa Inggeris dan dari situ saya sedar minat memang cenderung ke arah guaman.

“Didorong dengan personaliti yang suka membaca dan menyiasat, saya bertekad melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” katanya.

Nur Zahirah sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebelum berhijrah bersama ibu bapanya, Khairudin Mohamed dan Zarita Abdul Razak, serta keluarga ke New Zealand kira-kira lapan tahun lalu.

Belajar Sambil Bekerja Demi Mengejar Impian

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di University of Canterbury, Christchurch dan berjaya memperoleh ijazah berkembar dalam bidang Undang-Undang dan Sastera, dengan pengkhususan Bahasa dan Kebudayaan Jepun serta Linguistik.

Namun, perjalanan itu bukan mudah.

Ads

Bagi menampung kos sara hidup, Nur Zahirah Khairudin perlu membahagikan masa antara kuliah, tugasan akademik dan pekerjaan sambilan.

“Hujung minggu dipenuhi dengan jadual padat membantu keluarga membuat dan menjual kuih-muih, selain bekerja sambilan melakukan kerja pembersihan di motel.

“Pada masa sama, saya perlu menumpukan masa sepenuhnya untuk kuliah, tugasan akademik dan persediaan peperiksaan kelayakan peguam,” katanya.

Beban yang dipikul juga pernah menyebabkan dirinya mengalami keletihan melampau, namun keadaan itu tidak membuatkannya berputus asa.

“Bukan mudah untuk membahagikan masa antara kerja fizikal dan tuntutan akademik yang amat padat.

Ads

“Namun saya berpegang pada satu prinsip bahawa tiada laluan mudah untuk berjaya tanpa usaha sendiri,” katanya.

Kerja Tukang Cuci, Jual Kuih Demi Sara Hidup, Kini Nur Zahirah Bergelar Peguam Di New Zealand
Nur Zahirah Khairudin, 25, kini diterima sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara di Mahkamah Tinggi New Zealand (Barrister and Solicitor of the High Court of New Zealand).

Keluarga Dan Agama Jadi Kekuatan Nur Zahirah Khairudin

Bagi Nur Zahirah Khairudin, latar belakang keluarga yang sederhana bukan penghalang untuk mencapai impian.

Sebaliknya, beliau menjadikan disiplin, pegangan agama dan pengorbanan ibu bapa sebagai sumber kekuatan sepanjang berada di bumi asing.

“Saya hanya ada ilmu, usaha, doa dan pengorbanan mak ayah yang sentiasa yakin pendidikan mampu mengubah nasib keluarga.

“Saya juga tidak lupa dengan tunjuk ajar ibu bapa yang sentiasa terapkan nilai seperti mengutamakan solat berjemaah dan kekal rendah hati sepanjang menempuh pengajian enam tahun di sini,” katanya.

Ads

Nur Zahirah Khairudin Kini Bergelar Peguam Di New Zealand

Segala pengorbanan itu akhirnya berbaloi apabila Nur Zahirah Khairudin secara rasmi mengangkat sumpah sebagai pengamal undang-undang bertauliah di Mahkamah Tinggi New Zealand.

Beliau juga bakal memulakan kerjaya di sebuah firma guaman di Auckland dan bercadang memberi tumpuan kepada bidang undang-undang keluarga, koroner dan imigresen.

Kejayaan Nur Zahirah membuktikan bahawa pekerjaan sambilan yang dilakukan demi kelangsungan hidup tidak sesekali menentukan masa depan seseorang.

Daripada membersihkan motel, membantu keluarga menjual kuih hingga akhirnya bergelar peguam, perjalanan anak muda ini menjadi inspirasi bahawa usaha, disiplin, doa dan sokongan keluarga mampu membawa seseorang jauh lebih tinggi daripada apa yang pernah dibayangkan.

Buat ibu bapa, kisah Nur Zahirah Khairudin juga menjadi peringatan bahawa sokongan dan kepercayaan terhadap impian anak-anak boleh menjadi antara kekuatan terbesar dalam perjalanan mereka menuju kejayaan.

BACA LAGI : Pengorbanan Ayah, Inspirasi Muhammad Salim Jadi Peguam Walaupun Hidap Cerebral Palsy

Sumber : Harian Metro

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Keluarga Lain

Black Hanifah Rai 14 Tahun Perkahwinan, “Kita Dua Yang Hadap Macam-Macam...

Black Hanifah berkongsi kisah menyentuh di sebalik 14 tahun perkahwinan bersama Naquia Yasirah serta cabaran susah senang yang dilalui bersama.