
Kasih seorang ayah kadangkala tidak terluah dengan kata-kata, namun cukup jelas terlihat melalui pengorbanan dan perbuatannya.
Itulah yang dirasai Muhammad Salim Harmanain, 36, seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat Cerebral Palsy yang kini berjaya bergelar peguam.
Di sebalik kejayaannya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Salim tidak pernah melupakan jasa besar kedua ibu bapanya, Fatimah, 60, dan Harmanain Arshad, 65, yang menjadi tulang belakang sejak kecil hingga dewasa.
Baru-baru ini, perkongsian Muhammad Salim di Threads sempena Hari Bapa meraih perhatian ramai apabila beliau berkongsi kisah pengorbanan bapanya yang banyak membantu perjalanan hidup dan pendidikannya.

Pengorbanan Ayah Muhammad Salim Sejak Awal Pengajian
Menurut Muhammad Salim yang menetap di Telok Panglima Garang, dia merupakan anak tunggal dalam keluarga. Walaupun tidak terlalu rapat dengan bapanya, beliau tetap mengakui kasih sayang ayahnya hadir dalam bentuk perbuatan, bukan kata-kata manis.
“Ayah pun garang orangnya dan tak berlembut walaupun saya OKU. Ayah pun tak tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata.
Sebaliknya ayah tunjukkan dengan perbuatan dan sebagai anak, itu lebih membuatkan saya tersentuh, juga terkesan di hati ini.”
Antara pengorbanan yang paling diingati ialah kesungguhan bapanya berulang-alik setiap minggu dari tempat kerja di Shah Alam ke kampus di Nilai, Negeri Sembilan untuk mengambilnya pulang ketika Muhammad Salim menyambung pengajian di peringkat asasi.
Bukan itu sahaja, bapanya juga sentiasa hadir ketika diperlukan tanpa mengira masa. Pernah suatu ketika kerusi rodanya rosak, Muhammad Salim menghubungi ayahnya pada waktu Maghrib. Selepas Isyak, bapanya sudah tiba untuk menghantar kerusi roda tersebut.
“Boleh dikatakan, ayah sanggup datang ke kampus bila-bila masa diperlukan kemudian bawa saya pulang ke rumah setiap minggu.”
View on Threads
Muhammad Salim Tidak Pernah Lupa Jasa Ayah
Pengorbanan itu berterusan ketika Muhammad Salim menjalani latihan amali atau chambering di sebuah firma guaman. Antara detik paling tidak dapat dilupakan ialah apabila bapanya mengambil cuti selama 14 minggu semata-mata untuk menghantarnya menjalankan tugas di Biro Bantuan Guaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Lebih menyentuh hati, bapanya juga pernah berjalan beberapa kilometer ketika Ramadan sambil menolak kerusi roda Muhammad Salim bagi membolehkan anaknya menjalani peperiksaan dan latihan dalam kamar.
Bagi Muhammad Salim, perkongsian kisah tersebut bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, ia menjadi peringatan buat dirinya agar tidak pernah lupa dari mana dia bermula dan siapa yang banyak berkorban di sebalik kejayaannya.
“Sebagai anak, saya tak mungkin dapat membalas jasa ayah dan emak sampai bila-bila tapi akan cuba penuhi impian mereka selagi hayat dikandung badan.
Kalau boleh, nak habiskan masa bersama emak dan ayah kerana semakin meningkat umur, waktu dengan orang tua lebih penting daripada yang lain.”
Perjalanan Menjadi Peguam
Menyentuh mengenai kerjaya, Muhammad Salim berkata, dia sebenarnya tidak pernah bercita-cita menjadi peguam. Namun apabila diberi peluang menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, dia berusaha melakukan yang terbaik kerana mendapat sokongan penuh daripada ibu dan bapanya.
Sebagai anak tunggal dan satu-satunya harapan keluarga, Muhammad Salim tidak mahu menghampakan kedua-dua orang tuanya. Antara detik paling bermakna dalam hidupnya adalah apabila berjaya menamatkan pengajian dan menyarung robe sebagai peguam.
Bagaimanapun, Muhammad Salim tidak menafikan masih ada cabaran yang perlu dilalui sebagai OKU. Stigma, diskriminasi dan pandangan rendah segelintir masyarakat terhadap golongan OKU tetap wujud walaupun beliau kini sudah bergelar peguam dan hampir empat tahun berkhidmat di sebuah firma guaman.
Inspirasi Buat Semua
Kisah Muhammad Salim turut menjadi peringatan bahawa kejayaan seorang anak bukan hanya datang daripada usaha sendiri, tetapi juga hasil doa ibu, pengorbanan ayah serta sokongan keluarga yang sentiasa percaya kepada kebolehannya. Semoga perjalanan hidup beliau menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk terus berusaha mengejar impian tanpa menjadikan kekurangan sebagai alasan untuk berhenti melangkah.
BACA LAGI : “Bangun 5 Pagi Urus Ayah”, Hafizah 30 Juzuk Raih PNGK 4.0 STPM
Sumber : Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




