
Kasih sayang 10 beradik diterjemahkan menerusi nota-nota kecil buat ibu tersayang yang berangkat menunaikan haji seorang diri.
Kerisauan terhadap ibu yang tidak pernah berjauhan dan kurang mahir menggunakan teknologi mendorong 10 beradik menghasilkan nota-nota kreatif pada setiap barangan kelengkapan menunaikan haji. Inisiatif itu dilakukan demi memudahkan urusan ibu mereka, Umi Kalsum Abd Rahiman, 68, yang berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima baru-baru ini.
Antara nota yang diletakkan termasuk panduan penggunaan barangan keperluan harian serta label khusus pada setiap bungkusan makanan. Nota-nota itu ditulis dengan ayat yang ringkas, lembut dan mudah difahami agar ibu mereka boleh terus menggunakannya tanpa rasa keliru.
Antara nota yang mencuri perhatian ramai ialah, “Mak, ini coklat makan untuk lapik perut tau.”
Selain itu, ada juga pesanan berbunyi, “Mak, dalam ini ada ubat-ubatan untuk mak tau. Semoga mak sihat selalu.”
Walaupun ayat-ayat itu nampak sederhana, ia sangat besar maknanya. Dalam setiap tulisan kecil tersebut, tersimpan rasa bimbang anak-anak yang mahu memastikan ibu mereka sentiasa makan, menjaga kesihatan dan tidak terlepas pandang keperluan penting sepanjang perjalanan ibadah.
Menurut salah seorang anaknya, Ainun Aniyah Azeme, 27, keputusan meletakkan nota dan pelekat pada setiap beg serta bungkusan pakaian dibuat memandangkan ibu mereka sebelum ini sentiasa ditemani anak-anak setiap kali mengembara.
“Mak saya tak pernah berjauhan dengan anak-anak. Selalunya kalau melancong, anak-anak yang akan uruskan semuanya dari A sampai Z.
“Jadi bila kali ini mak kena pergi haji seorang diri tanpa teman, kami semua bimbang bagaimana keadaan mak di sana nanti. Itulah tercetusnya idea nota-nota itu, harapnya dapat membantu memudahkan urusan mak,” katanya.
Tambah Ainun, faktor usia dan kekangan dalam mengendalikan peranti pintar juga menjadi punca utama mereka menyediakan nota fizikal tersebut. Mereka bimbang jika terdapat urusan yang memerlukan penggunaan telefon, ibunya mungkin mengalami kesulitan kerana tidak mahir dengan teknologi moden.
Disebabkan itu, nota fizikal dilihat sebagai cara paling praktikal dan paling dekat dengan keperluan ibu mereka. Setiap beg, pakaian dan makanan ditandakan dengan jelas supaya mudah dikenal pasti. Dalam situasi ibu tunai haji sendirian
, perkara-perkara kecil seperti ini boleh menjadi sangat besar nilainya.Perkongsian ini bukan sahaja menarik perhatian kerana keunikan nota-nota tersebut, tetapi juga kerana ia menggambarkan hubungan erat antara seorang ibu dan anak-anak. Ramai yang memahami bahawa apabila ibu tunai haji sendirian, kebimbangan keluarga pasti lebih terasa, lebih-lebih lagi jika ibu itu sebelum ini sentiasa diuruskan oleh anak-anak dalam setiap perjalanan.
Namun, di sebalik keterujaan dan persiapan rapi tersebut, terselit kisah hiba apabila perjalanan haji kali ini sepatutnya disertai oleh bapa mereka, Allahyarham Azeme. Bagaimanapun, takdir mengatasi segalanya apabila bapa mereka dijemput Ilahi dua tahun lalu, sebelum sempat pasangan itu menunaikan ibadah haji bersama-sama.
“Sebenarnya perjalanan haji ini sepatutnya berdua dengan ayah. Tapi takdir Allah, ayah meninggal dunia dua tahun lepas.
“Jadi tahun ini mak berangkat sendirian bagi menunaikan hajat tersebut,” kongsi Ainun lagi.
Semoga Umi Kalsum dapat menunaikan haji yang mabrur dan segala urusannya dipermudahkan di Tanah Suci, sekali gus melunaskan impian arwah suaminya yang belum kesampaian. Semoga perjalanan ibu tunai haji sendirian
ini dipelihara Allah dari awal hingga akhir dan dikurniakan ketenangan sepanjang beribadah.Terdahulu, perkongsian Ainun di Threads mendapat reaksi ramai yang rata-ratanya terharu dan memuji kasih sayang adik-beradik tersebut dalam memastikan keselesaan serta keselamatan ibu mereka. Ramai menyifatkan usaha itu sebagai bukti bahawa perhatian anak-anak terhadap ibu bapa boleh hadir dalam bentuk yang sangat sederhana, tetapi meninggalkan kesan yang mendalam.
BACA LAGI : Dua Beradik Beri Duit Raya RM7 Kepada PMX, Terima iPad Sebagai Penghargaan
Sumber : Thread Ainunaiyah, Kosmo