Menjadi ibu bapa yang mempunyai anak kembar pastinya mencabar. Ini kerana kasih sayang terbahagia dua atau berganda. Bukan mudah untuk disiplin anak kembar terutamanya jika mempunyai kembar tiga atau empat. Selidiki informasi oleh Dr Abdul Halim Masnan, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak,untuk ibu bapa mengenali karektor anak kembar supaya dapat mendidik dan mendisplin anak kembar dengan cara yang berhemah.
Kajian G Thomas Couser pada tahun 2003 telah membuat bancian di seluruh dunia dengan menunjukkan berlakunya kelahiran anak kembar bagi setiap 1000 kelahiran. Ini menunjukkan bahawa kadar kelahiran anak kembar yang agak kurang ini seringkali menjadi perhatian umum. Oleh itu, penting bagi keluarga yang mempunyai anak kembar ini mempunyai persediaan keibubapaan.
Tingkah laku yang baik atau buruk yang ditunjukkan anak kembar ini sebenarnya memerlukan tindakan yang berhemah daripada ibu bapa untuk memastikan mereka adalah pasangan adik beradik yang baik sampai akhir hayat. Kenali lima karektor si kembar untuk anda melakukan tindakan yang betul apabila menghadapi situasi seumpanya.
1.Tidak mahu berkongsi barang
Perkara ini bukan setakat berlaku kepada anak kembar, malahan kepada anak-anak yang mempunyai jarak umur yang rapat antara umur setahun sehingga empat tahun. Kanak-kanak dipengaruhi kecenderungan emosi mahu dimiliki seorang diri dan tidak mahu bermain bersama. Sebab itu, apabila anak kembar yang seiras ini bermain, pastinya akan memiliki perasaan tidak mahu berkongsi dalam aktiviti pembelajaran atau permainan tertentu di sebabkan ciri perkembangan emosi dan tahap tingkah laku yang boleh berubah-ubah pada setiap masa.
Tindakan ibu bapa:
Penting untuk mereka mengenali diri mereka yang unik ini, dilahirkan pada hari dan tempat yang sama, dengan ciri rupa serta anggotabadan yang hampir sama, dalam tempoh waktu kelahiran yang agak rapat. Ibu bapa perlu bijak dalam mengendalikan aktiviti bermain secara perkongsian berhemah ini dengan menjadikan mereka sebagai sahabat sejati. Penjelasan kepada anak mengenai keistimewaan diri mereka, sama ada memperkenalkan abang yang lahir dulu, atau adik yang lahir kemudian, perasaan mesra dan kasih sayang perlu disemai selalu. Ini adalah penting pada awal perkembangan mereka supaya mereka mempunyai sifat adik beradik atau sahabat karib yang mempunyai nilai bertolak ansur dan berkongsi barangan bersama antara abang atau kakak dengan adik kembarnya.
2.Cemburu
Memang diakui cemburu antara sifat normal bagi kebanyakan kanak-kanak dalam apa jua keadaan. Lebih-lebih lagi bila cemburu itu melibatkan kasih sayang ibu bapa dan perhatian anak-anak kembarnya. Kadang kala dalam keadaan yang tidak disengajakan, ibu bapa melebihkan abang atau kakak daripada adiknya. Juga berlaku adik dilebihkan daripada abang atau kakaknya. Perhatian pula lebih kepada kehendak seseorang anak kembar yang inginkan sesuatu atau dihargai. Bila perkara tersebut tidak dipenuhi, perasaan cemburu semakin menjadi-jadi.
Tindakan ibu bapa:
Cemburu boleh dikawal. Seperti juga situasi berkongsi barang, cemburu juga perlukan perhatian dan kebijaksanaan ibu bapa mengendalikan aktiviti di rumah. Sebagai contoh, ibu yang melihat abangnya mendapat hadiah dalam pertandingan mewarna, tidak lupa juga menghargai bersama adik kembarnya itu. Menganggap bahawa usaha telah dilaksanakan, cuma nasib tidak menyebelahi adiknya, peranan ibu bapa menghargai segala usaha anak-anak kembar ini secara bersama adalah amat digalakkan. Seperti nasihat orang dulu-dulu, hari ini hari abang, esok mungkin hari adik pula. Kejayaan dirai, kegagalan harap dapat mencuba lagi.
- Krisis identiti
Krisis identiti boleh berlaku dalam kalangan anak kembar jika mereka tidak didedahkan dengan mengenal diri mereka sendiri. Mereka beranggapan pasangan kembarnya adalah pesaing yang boleh memenangkan hati kedua ibu bapanya. Konflik ini akan menyebabkan mereka merasa tidak dihargai, kurang penghargaan kendiri, sering murung atau memberontak pada bila-bila masa jika tidak ditanggani dengan sebaiknya. Walaupun ada sesetengah pihak beranggapan kembar seiras ini mempunyai sifat atau perwatakan yang hamper sama, tetapi mereka tetap manusia yang perlukan perhatian seadilnya.
Tindakan ibu bapa:
Ibu bapa perlu bijak melihat sesuatu situasi yang kurang baik atau tegang. Jika salah seorang daripada kembar tersebut dalam keadaan murung atau marah, pengendalian situasi tenang perlu diadakan. Mereka perlu bekerjasama, bermain bersama, ke padang bersama dengan pengawasan kita. Jadikan mereka sebagai partnership yang bertanggungjawab, dalam apa jua tugasan yang kita atau mereka tentukan. Sebab mereka mempunyai kelebihan kecenderungan minat yang sama atas dasar jantina dan umur untuk melakukan aktiviti secara bekerjasama dengan lebih baik dan sempurna. Bila perasaan tanggungjawab dan ambil berat berlaku sesama adik beradik, apa juga yang melibatkan masalah dalam diri adik atau abang dapat diselesaikan bersama tanpa bantuan ibu bapa. Sikap ambil berat juga menjadi kunci kepada mengelakkan dari berlakunya krisis identiti bila mana masalah boleh diatasi secara bersama.
- Sikap berbeza
Tingkah laku adik beradik kembar ini selalunya dikatakan mempunyai sikap yang hamper sama. Ada pihak yang menyatakan mereka ini mempunyai sikap dan minat yang sama. Seperti cerminan diri antara satu sama lain. Persepsi ini sebenarnya kurang tepat, kerana walaupun mempunyai paras rupa dan anggota yang sama, tingkah laku sebenar tidak secara langsung mempengaruhi tindakan mereka yang sama pada setiap saat dan ketika. Sebab itu, bila adik atau si kakak berpelakuan negatif, sikap tersebut tidak mempengaruhi kembarnya secara langsung. Faktor persekitaran yang bersifat individual memungkinkan tingkahlaku yang berbeza boleh ditunjukkan oleh kembar seiras ini. Contohnya, pengaruh gadget, media massa, rakan sebaya dan tindakan ibu bapa atau penjaga yang boleh menyebabkan sikap yang ditunjukkan oleh anak kembar ini boleh jadi berbeza.
Tindakan ibu bapa:
Penting untuk menjadikan mereka sebagai role model yang baik bagi setiap pasangan ini. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Perlakuan yang baik yang dilakukan oleh salah seorang adik kembar, diterangkan kepada pasangannya. Biar meraka memahami bahawa perbuatan baik sangat disukai orang dan Tuhan. Sikap buruk yang dilakukan oleh pasangan perlu ditegah dan ditegur cara berhemah, dan dijelaskan bersama-sama. Perbanyakkan cerita berkaitan kisah tauladan yang baik supaya mereka sedar akan kepentingan berakhlak mulia.
- Persaingan dalam pelajaran
Persaingan boleh berlaku dalam setiap adik beradik, sama ada mempunyai jantina yang sama atau sebaliknya. Bagi anak kembar pula, disebabkan faKtor belajar di tempat yang sama, persaingan pasti akan wujud. Apabila salah seorang kembar mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran tertentu, sudah pasti pasangannya terasa tercabar atau tidak berpuas hati. Walau bagaimanapun, ada juga pasangan kembar yang tiada masalah berkaitan persaingan pelajaran, malah merasa bangga dengan pencapaian pasangannya disebabkan ikatan adik beradik yang baik.
Tindakan ibu bapa:
Seperti yang telah diterangkan berkaitan emosi kanak-kanak yang berbeza-beza walaupun kembar seiras, kebijaksanaan ibu bapa dan guru yang mengendalikan aktiviti mereka sangat dititikberatkan. Sebagai penjaga dan pendidik kepada aktiviti anak kembar ini, faKtor kelebihan yang dimiliki oleh salah seorang mereka, perlu dijelaskan dengan sebaiknya. Anugerah tuhan kepada setiap orang adalah berbeza. Mereka perlu diberikan kefahaman yang sebaiknya berkaitan pelajaran yang perlu dilakukan bersama-sama untuk memastikan kejayaan yang cemerlang dapat diraih. Sifat mengambil berat berdasarkan role adik atau abang, menjadikan keunikan yang mereka miliki ini dapat diperbaiki bersama sama ada di rumah atau di prasekolah
TAHUKAH ANDA
Kembar seiras
Tahukah anda, kembar seiras diibaratkan cerminan diri antara satu sama lain. Secara umumnya, faktor fizikal dan psikomotor yang dimiliki kembar seiras yang hampir sama ini menunjukkan kehebatan yang Maha Kuasa menciptakan makhluknya. Mereka juga akan menunjukkan kecenderungan berpakaian atau fesyen yang sama, minat terhadap permainan yang sama, cerita kartun yang sama dan makan kegemaran yang sama. Tetapi apa yang lebih menakjubkan ada dalam kalangan kembar seiras ini mempunyai faktor kognitif atau pemikiran yang hampir sama. Ramai dalam kalangan anak kembar mempunyai faktor kecenderungan minat terhadap aktiviti yang sama, mencapai keputusan pelajaran yang hampir sama sehingga ke peringkat pengajian tinggi serta bidang kerjaya yang sama!