Berita

“Doa Ibu Sentiasa Iringi Isabella” Baru 14 Tahun, Anak Serina Bangga Sarung Jersi Malaysia

Share

Bukan sedikit rasa bangga seorang ibu apabila melihat anak yang dibesarkan kini melangkah jauh membawa nama negara. Itulah perasaan pelakon Serina Redzuawan apabila anak keduanya, Isabella Saffiya wakil Malaysia dalam sukan bola sepak pada usia 14 tahun.

Lebih membanggakan, Isabella kini menggalas tanggungjawab sebagai pemain tengah skuad Malayan Tigress dengan menyarung jersi nombor 11.

Menerusi perkongsian di Instagram, Serina menitipkan ucapan tahniah buat anak perempuannya selain memohon doa agar Isabella bersama pasukannya diberikan kejayaan dalam saingan Srikandi Merdeka Cup yang berlangsung di Indonesia.

“Doa Ibu Sentiasa Iringi Isabella Saffiya Wakil Malaysia”

Bagi Serina, pencapaian tersebut cukup istimewa memandangkan Isabella sememangnya seorang anak yang aktif dan gemar melakukan aktiviti lasak.

Malah, minat terhadap sukan itu seakan-akan mengikut jejak langkah Serina yang turut aktif bersukan sejak zaman persekolahan.

“Congratulations my baby princess Isabella Saffiya terpilih jadi atlet wakil Negara Malaysia untuk bola sepak. Doakan Isabella dan pasukannya berjaya di Indonesia. Now ada match Srikandi Merdeka Cup.

“Semalam skuad Malaysia menang 9-0 lawan Arab Saudi.

“Ibu always proud of you Bella. Anak yang berani, aktif, suka sukan lasak macam ibu dia. Saya sejak dari zaman sekolah lagi ratu sukan.

“Tak sangka my daughter pun sama tapi lebih hebat jadi wakil Malaysia! Doa ibu always mengiringi Isabella berjaya jadi juara. Amin,” tulisnya.

Luahan itu jelas menggambarkan betapa besarnya rasa syukur dan bangga Serina melihat anaknya mampu menyarung jersi negara pada usia yang masih muda.

Chef Wan Turut Tumpah Rasa Bangga

Kejayaan Isabella Saffiya wakil Malaysia bukan sahaja menggembirakan Serina, malah turut mendapat perhatian datuknya, cef terkenal Datuk Chef Wan.

Chef Wan turut berkongsi rasa bangga apabila cucunya kini menjadi salah seorang pemain skuad bola sepak kebangsaan yang mewakili negara.

“Cucu perempuan saya, Isabella Saffiya, kini merupakan salah seorang pemain skuad bola sepak kebangsaan kita yang mewakili negara.

“Beberapa hari lalu di Indonesia, pasukan mereka telah menjaringkan sembilan gol menentang Arab Saudi mengikut anak perempuan saya, Serina, yang menghantar semua gambar ini kepada saya,” katanya.

Walaupun mengakui dirinya bukan peminat bola sepak dan kurang arif mengenai sukan tersebut, Chef Wan tetap menzahirkan rasa gembira dengan pencapaian cucunya.

“Tahniah kepada Isabella dan pasukannya atas pencapaian mereka. Sangat berbangga dengan dirinya. Alhamdulillah,” ujarnya.

Skuad Malaysia Mara Ke Separuh Akhir

Dalam saingan berkenaan, skuad Malayan Tigress yang dibimbing Fairuz Montana Zainal Abidin berjaya mempamerkan aksi meyakinkan.

Malaysia turut mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas Arab Saudi walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dishanna Pillay dilayangkan kad merah pada minit ke-21.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, terikat dengan Hong Kong.

Bagaimanapun, skuad negara berjaya melangkah ke separuh akhir menerusi kelebihan perbezaan gol.

Isabella Saffiya dan abangnya

Isabella Saffiya Wakil Malaysia, Pencapaian Manis Pada Usia 14 Tahun

Sekadar info, Isabella merupakan anak daripada perkahwinan pertama Serina. Pelakon Mr. Cinderella dan Potret Mistik itu turut mempunyai seorang anak lelaki, Tristan Tareef, yang kini berusia 15 tahun.

Kejayaan Isabella Saffiya wakil Malaysia pada usia yang masih muda juga boleh menjadi inspirasi kepada remaja lain, khususnya anak-anak perempuan yang mempunyai minat dalam sukan bola sepak.

Semoga Isabella terus melangkah maju dalam arena bola sepak dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai remaja perempuan untuk berani mengejar impian.

Syabas Isabella! Semoga terus cemerlang dan membanggakan keluarga serta negara.

BACA LAGI : Doa Ibu Mustajab! Pesanan Menyentuh Hati Syatilla Melvin Buat Anak-Anak

Sumber : IG Serina