“Jangan Salahkan Mak Saya.” Gelaran Dewi Remaja 2018/19 Ditarik, Haneesya Akui Kesilapan & Mohon Peluang Kedua.

Share

Kontroversi yang membabitkan juara Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee minum arak di sebuah kelab malam baru-baru ini akhirnya menemui noktah.

Gelaran Dewi Remaja 2018/2019 yang disandang oleh Hanee atau nama sebenarnya, Sharifah Haneesya Sayed Sahlan telah ditarik semula.

 

Kes seperti ini merupakan kejadian kali pertama dalam sejarah pencarian Dewi Remaja selama 10 edisi ia dianjurkan. Nu Ideaktiv Sdn Bhd selaku pemilik jenama Dewi Remaja, telah mengadakan satu sidang akhbar tengah hari tadi.

Menurut Editor Majalah Remaja, Faiz Aimman, penarikan gelaran Dewi Remaja 2018/2019 daripada Haneesya Hanee dibuat selepas pihak pengurusan melakukan siasatan mendalam dan mendapati pemenang ini telah melanggar syarat penyertaaan.

“Sebagai pemilik dan penganjur, kami menzahirkan rasa sedih atas apa yang telah terjadi. Namun pada masa yang sama, para peserta Dewi Remaja sudah sedia maklum akan syarat penyertaan seperti yang telah dinyatakan di dalam kontrak yang mereka tanda tangani” di mana mereka tidak boleh mempamerkan perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai,” katanya semasa sidang akhbar.

Menurut Faiz Aimman lagi, dengan penarikan gelaran tersebut, Haneesya Hanee bersama dua lagi finalis pencarian Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Faizni Fazreen Fazeera Faizul dan Erni Nurshahira Khairul Nizam tidak dibenarkan menggunakan gelaran ‘finalis Dewi Remaja’ bagi sebarang aktiviti seni mereka pada masa akan datang.

Dengan penarikan gelaran ini bermakna tahun ini tiada gelaran bagi Dewi Remaja 2018/2019 dan Tia Sarah kekal di kedudukan kedua bagi pertandingan berprestij ini dan akan mewakili nama Dewi Remaja bagi sebarang aktiviti bersama pemenang lain seperti Aween Ismail, Arena Iman dan lain lagi.

Di sebalik isu yang terpalit ini, tidak dinafikan manusia sering melakukan kesilapan dan tiada yang sempurna. Begitu pun, Haneesya Hanee telah memberikan komitmen dan persembahan terbaik sehingga melayakkan dirinya bergelar Dewi Remaja 2018/2019.

 

Bahkan, gadis yang baru berusia 19 tahun ini juga mempamerkan bakat dan potensi yang luas sepanjang pencarian tersebut.

Menjawab isu kontroversi ini, jelas pelakon drama Cik Reen Ngok Ngek,  dia akui berasa kesal dengan tindakan dan meminta agar netizen tidak mengecam ibunya yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Saya minta maaf sangat dan ini memang kesilapan bodoh saya. Saya terima dengan keputusan penarikan balik gelaran. Memang ini sewajarnya memandangkan perbuatan saya salah kerana merosakkan nama Dewi Remaja.

“Saya hanya minta orang berhenti cakap ini salah mak tak pandai jaga saya. Ini adalah perbuatan dan pilihan saya sendiri dan mak saya tak ada kaitan.

“Saya juga harap kemaafan dari semua. Sebagai manusia memang kita tak lari dari buat salah. Jadi, saya pohon diberikan peluang ke dua.

“Sekarang saya kena perbaiki diri . Selepas ini saya akan teruskan apa yang saya lakukan sebelum ini. Saya takkan give up.

Keberanian gadis hitam manis ini untuk memikul tanggungjawab membuatkan dia dilihat seorang yang cekal dalam menghadapi cabaran dan dugaan.

Dia dalam pada itu turut menitipkan nasihat buat remaja di luar sana agar berhati-hati dalam berkawan supaya tidak tersalah langkah.

“Saya ambil ini sebagai pengajaran terbesar. Tolong jangan nilai peribadi saya atau membuat perbandingan kesilapan dengan bakat sedia ada.

“Kepada remaja di luar sana, inilah apa yang awak akan dapat jika salah langkah. Jangan buat kerana tak ada sebarang faedah. Seronok hanya seketika, tapi sakitnya anda sendiri akan tahu.

“Terpulang pada anda sama ada nak bangun atau jatuh, tapi saya pilih untuk bangkit dan kuatkan diri untuk berhadapan dengan semua orang. Saya ambil ini sebagai pengajaran.

“Buat masa sekarang saya hanya mahu rehat tapi takkan lama. Hanya beberapa hari sahaja kemudian akan kembali semula bekerja macam sebelum ini,” ujar Hanee.

Pemenang tempat kedua, Tia Sarah turut hadir memberi sokongan kepada Hanee.

Ditanya kekuatan dalam beliau menghadapi saat-saat sukar ini, akui Hanee semuanya datang dalam diri serta sokongan sekeliling.

“Ramai yang cuba menjatuhkan saya tetapi apabila lihat ramai kawan-kawan yang bagi sokongan, baca di twitter yang membantu dan bagi nasihat, jadi saya rasa bersyukur kerana masih ramai yang bersama saya.

“Walaupun ibu sangat sedih tapi dia masih mahu datang dengan saya hari ini. Inilah yang membuatkan saya rasa memang patut berhadapan dengan semua orang,” ujarnya sambil menutup perbualan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKLAN