Jari kanak-kanak lelaki, 10 tahun hampir putus, selamatkan anak kucing. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berdepan risiko kehilangan jari tangan selepas terlibat dalam insiden di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, ketika cuba menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap dalam longkang.
Jari Kanak-kanak Lelaki, 10 Tahun Hampir Putus, Selamatkan Anak Kucing
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang Rabu lalu, Muhammad Aiman Haziq Mohd Raffizi, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran, mengalami kecederaan serius apabila tangan kanannya dihimpit penutup longkang konkrit.
Menurut ibunya, Sharifah Nurul Fatihah Sayed Saiful Amizat, 37, anak ketiganya itu keluar bermain bersama kakak dan seorang rakannya sekitar jam 3 petang sebelum insiden berlaku.
“Saya terkejut apabila Afrida pulang memberitahu jari Haziq hampir putus akibat terkena penutup longkang. Ketika itu saya bersama anak sulung dan anak bongsu di rumah,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka pada Isnin.
Beliau berkata, sebaik menerima berita itu, beliau bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati darah menitis banyak di lantai, manakala jari anaknya dalam keadaan terkulai.
Ads
Suaminya, Mohd Raffizi Abd Rashid, 40, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, segera pulang ke rumah dan membawa Haziq ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan di zon kritikal.
“Doktor maklumkan bahawa jari manis tangan kanan Haziq mungkin perlu dipotong jika usaha menyambung urat dan tulangnya tidak berjaya,” katanya.
Ads
Bagaimanapun, Haziq kini dalam pemantauan rapi dan diberikan cuti sakit selama 22 hari.
Menceritakan kembali kejadian tersebut, Muhammad Aiman Haziq berkata dia terdengar bunyi anak kucing sebelum berusaha menyelamatkannya dengan membuka penutup longkang.
“Saya turun ke dalam longkang untuk mengambil anak kucing. Selepas berjaya mengeluarkannya, penutup simen itu terjatuh dan terkena jari saya,” katanya.
Pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans berkongsi khabar gembira apabila mengesahkan dirinya kini sedang hamil cahaya mata ketiga.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh pemilik nama penuh Juliana Sophie Johari Evans, 37, menerusi satu hantaran di Threads. Perkongsian tersebut nyata mencuri perhatian ramai peminat yang teruja mendengar khabar bahagia daripada pelakon berkenaan.
BAKAL BERGELAR IBU TIGA ANAK
Dalam hantaran tersebut, Juliana sempat berseloroh mengenai perjalanan kehidupannya sebagai seorang ibu yang bakal mempunyai tiga cahaya mata tidak lama lagi.
“Nampaknya saya tidak belajar daripada pengalaman sebelum ini! Saya cuma bergurau.
“Saya memang tahu yang saya akan menambah sekurang-kurangnya seorang lagi anak dan tahun ini adalah waktu yang sangat sesuai,” kongsinya.
Luahan itu memperlihatkan keterujaan Juliana menerima rezeki kehamilan kali ini. Malah, kehadiran cahaya mata ketiga pastinya bakal menambah seri dan keceriaan dalam keluarga kecilnya.
MASIH CUBA HADAM BERITA GEMBIRA
Dalam nada teruja, Juliana turut mengakui dirinya masih cuba untuk menghadam kenyataan bahawa tidak lama lagi dia bakal bergelar ibu kepada tiga orang anak.
“Saya? Ibu kepada 3 anak? Masih cuba untuk menghadam perkara ini,” tulisnya lagi.
Perkongsian bersahaja itu turut membuatkan ramai peminat tersenyum. Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah, selain menitipkan doa agar segala urusan kehamilan dan kelahiran Juliana dipermudahkan.
RUMAH TANGGA DIBINA SEJAK 2017
Untuk rekod, Juliana mendirikan rumah tangga bersama Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada April 2017.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini telah dikurniakan dua cahaya mata dan kini bakal menerima kehadiran seorang lagi penyeri keluarga.
Tahniah diucapkan buat Che Puan Juliana Evans dan suami atas berita gembira ini. Semoga kehamilan kali ini berjalan lancar, diberikan kesihatan yang baik serta dipermudahkan sehingga selamat melahirkan cahaya mata ketiga kelak.
Rasanya baru sahaja kita berhabis duit untuk membuat tempahan baju sekolah anak-anak dan baju raya sedondon untuk seisi keluarga.
Meskipun begitu, untung juga ada jarak waktu antara keduanya. Dapatlah kita kumpul duit serba sedikit untuk pastikan semuanya mencukupi.
Namun perkongsian seorang wanita di facebook baru-baru ini cukup membuatkan ramai buka mata dan tersedar.
Apa tidaknya, bulan Mac 2023 adalah tarikh anak-anak memulakan persekolahan dan pada bulan tersebut juga kita umat Islam berpuasa.
Jadi mahu atau tidak, pada bulan tersebut benar-benar memerlukan kebijaksanaan kita dalam mengurus kewangan.
Bukan itu sahaja, menurut Nor Faizah lagi, tailor juga perlu bersiap sedia.
Puasa bulan 3 … Naik sekolah bulan 3… Makanya tahun depan tailor kena susun jadual bagi molek la ya.
Bukan tailor ja… Mak ayah kena bijak berbelanja… Sebab dalam bulan berturut ada 2 perbelanjaan besar.. susun jadual perbelanjaan bagi elok ya. Kalau boleh hujung taun prepare siap-siap baju sekolah kasut sekolah buku sekolah… Atau hujung tahun prepare siap-siap baju raya duit raya..duit balik kampung.
Tailor pun kena atuq jadual bagi molek. Sat gi tempahan raya kelaut tempahan baju sekolah tenggelam. Hampa yang nak jait baju sekolah tu tempah awal-awal. Jangan sat gi kata maafla kami ambik baju sekolah dulu bayaq kendian..jangan dok buat muka kesianla… Sebab kesian jugak kat kami kalau kerja penat-penat tak dapat gaji. Tailor… Pakat belajaq dari kesilapanla na.
Dan yang penting jahit bagi ikhlasla kot mana pun. Jangan dok main asal boleh ja… Jahitan macam budak baru belajaq. Upah mahai tahap pro… 😁
Dia punya aura tersendiri. Kelembutan bual bicara ditambah dengan personalitinya yang penyayang antara sebab kenapa dia mudah diterima oleh anak-anak tirinya. Namun, akui pemilik nama Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, bergelar ‘ibu segera’ bukan sesuatu yang mudah.
Sementelah anak-anak tirinya ketika itu masih kecil. Tetapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, dorongan dan sokongan sang suami banyak membantu memainkan peranan dalam membolehkan hubungan Lisdawati dan anak-anak tirinya menjadi akrab.
“Berkahwin dengan lelaki yang mempunyai anak, secara automatik saya perlu menerima kehadiran mereka seperti anak sendiri. Alhamdulillah, sejak bergelar isteri kepada fauzi Nawawi sehingga kini, hubungan saya dengan anak-anak tiri cukup rapat.
“Malah, selepas mempunyai anak sendiri, hubungan kami tidak renggang. Saya bersyukur kerana mereka dapat menerima saya sebagai ibu baru dan mungkin pendekatan yang saya gunakan melalui kasih sayang menjadi.
“Biasanya kalau mereka buat salah saya akan terangkan dan lama-kelamaan mereka faham. Saya tidak suka marah tanpa sebab kerana anak-anak makin membesar. Jadi saya suka buat mereka seperti kawan.
Tidak berat sebelah
“Saya tidak mahu apabila mereka ada masalah, orang pertama yang mereka cari untuk luahkan perasaan adalah kawan. sebaliknya saya mahu mereka cari saya atau ayah mereka terlebih dahulu.
“Dalam mendidik juga, saya tidak bersikap berat sebelah. Baik anak kandung mahupun tiri semuanya saya anggap seperti anak-anak sendiri. Jadi layanan sama rata. Kalau buat salah tetap kena marah atau denda.
“Kalau marah, saya akan terangkan bukan sebab saya benci tetapi saya sayang. Saya lakukan semua itu dengan tujuan untuk mendidik mereka. Jujurnya saya memang garang dan lebih tegas dengan anak-anak berbanding suami.
‘Tetapi dalam masa yang sama saya sangat ‘open minded’ dan anak-anak bebas meluahkan apa jua masalah dan saya akan membantu sekadar yang boleh,” ujar Lisdawati yang mengakui tiada istilah ibu tiri dalam kamus hidupnya malah dia adalah mama kepada semua anak-anaknya.
Tegur kerana sayang
Memerhatikan hubungan di antara ibu dan anak tiri ini, memang terbukti apa diperkatakan orang selama ini bahawa Lis memang rapat dengan anak-anak tirinya adalah benar.
Dalam mendidik anak-anak, saya tetap tegas sama ada dengan anak kandung mahu pun anak tiri. Saya selalu memberitahu mereka, saya marah atau tegur kerana sayang. Bukan kerana benci. Saya lakukan semua itu dengan tujuan nak didik mereka. Saya juga mama mereka, selain ibu kandung mereka. Saya dah anggap seperti anak. Jadi, takkan saya tak boleh tegur atau marah anak sendiri? Biasanya saya akan terangkan apa sebabnya saya marah. Saya takkan marah tanpa sebab.
“Kalau di rumah, saya akan ajar anak-anak untuk buat kerja-kerja rumah sama-sama terutama anak-anak perempuan. Bagi saya anak perempuan kena tahu dan rajin buat kerja rumah. Saya perhatikan anak remaja sekarang terlalu asyik dengan telefon bimbit hingga jadi malas. Bila disuruh buat kerja rumah pun tak diendahkan. Saya tak nak anak-anak saya macam itu.” Luah Lis yang memberitahu semua anak memanggilnya mama.
“Ada juga yang tak percaya saya boleh baik dengan anak-anak tiri. Tapi saya tak kisah apa orang nak cakap. Saya juga akan layan anak-anak tiri macam kawan-kawan. Ada masa kami bersembang dan keluar bersama seperti menonton wayang. Saya nak mereka rasa mereka boleh berkongsi apa saja dengan kami, berbanding rakan-rakan. Saya juga selalu tekankan pada mereka, hubungan kekeluargaan dan sesama adik-beradik kena sentiasa dijaga
“Dan si ayah pun kena faham jika kita marah anak-anak dia. Jangan pula sokong mereka jika mereka buat salah. Itu pun penting juga agar tidak timbul konflik. Selebihnya, kena banyak berdoa agar hubungan itu kekal harmoni,” Tambah Lis lagi.
Memiliki anak perempuan ramai, akui Lisda bukan satu perkara yang mudah. Sementelah zaman sekarang yang serba mencabar. Justeru, dia banyak mengikut ajaran ibunya dalam mendidik anak-anak.
“Walaupun nampak saya moden, tetapi sebenarnya sangat konservatif terutama kepada didikan anak-anak. Kalau di rumah, saya akan ajar anak-anak untuk buat kerja-kerja rumah sama-sama terutama anak-anak perempuan.
“Bagi saya anak perempuan kena tahu dan rajin buat kerja rumah. Kena bangun awal pagi, kemas tempat tidur dan bantu buat kerja rumah kerana senang apabila ke rumah mentua kelak. Saya tidak suka cakap kosong, sebaliknya praktik kan ajaran orang lama kepada anak-anak. Itulah ajaran ibu saya yang kini saya turunkan pula kepada anak-anak.
“Mungkin orang beranggapan ibu tiri sukar untuk berbaik dengan anak-anak tiri. Tapi saya tak kisah apa orang nak cakap. Yang penting anak-anak percayakan dan boleh terima saya seadanya.
“Ada masanya kami keluar bersama sama ada makan-makan atau menonton wayang. Saya nak mereka rasa mereka boleh berkongsi apa saja dengan kami, berbanding rakan-rakan.
“Saya juga selalu tekankan pada mereka, hubungan kekeluargaan dan sesama adik-beradik kena sentiasa dijaga,”tegas Lisdawati lagi.
Pelukan kukuh hubungan
Lisdawati mengakui tidak suka ada sempadan antaranya dengan anak-anak tiri. Pelukan kasih sayang antara yang dipraktikkan biarpun mereka kini sudah besar kerana baginya itu adalah satu cara untuk mengukuhkan perhubungan.
“Untuk memastikan hubungan menjadi erat kena ada ‘give and take’ tidak boleh sebelah pihak sahaja memberi. Kena kedua-duanya memainkan peranan. Barulah Berjaya sesebuah hubungan itu.
“Saya jenis yang suka suasana harmoni dan itu semua kena bermula di rumah dan orang yang paling penting memainkan peranan tersebut sudah semestinya ibu. Jadi, saya kena beri lebih ‘drama kasih sayang’ kepada anak-anak. Bermula dengan ‘drama’ barulah dapat mencambahkan kasih sayang.
“Yang lebih penting, tidak sekadar mengambil berat semata-mata, ibu dan ayah kena selalu beri pelukan, kata-kata nasihat, kasih sayang dan sebagainya.
“Ada keluarga yang tidak suka memberi pelukan dengan alasan anak-anak segan sudah besar.
“Tetapi berbeza dengan saya kerana pelukan itu ibarat pelengkap dalam rumah tangga dan mengeratkan hubungan. Anak-anak akan rasa lebih dekat dengan kita.