
Jodoh beza umur 18 tahun – “Ada yang kata saya ‘gilakan’ harta sebab kahwin wanita berusia.” Apatah lagi isteri seorang doktor dan juga anak orang berada.
“Dituduh kahwin sebab harta, tapi saya pilih kerana keperibadiannya. Hakikatnya, saya tak cari pasangan berdasarkan rupa atau harta tapi semua aspek, paling penting keperibadiannya,” kata usahawan tudung, Mohd Shahril Tuah atau lebih dikenali sebagai Aril.
Nama Aril, 38, menjadi sebutan ramai di TikTok apabila sering memuat naik video siaran langsung bersama isteri tersayang, Dr Zahida Datuk Mohamad Zahudi, 56. Aksi spontan mereka yang santai dan mesra sebagai pasangan suami isteri sering membuatkan ramai penonton tersentuh dan kagum, lebih-lebih lagi dengan perbezaan usia yang agak ketara iaitu 18 tahun.
@ariltuahscarves Replying to @🍉🍉shimshimae🍉🍉 ♬ Mozart Minuet with violin(815356) – 松本一策
Menurut Aril, dia dan isterinya sudah 11 tahun mendirikan rumah tangga dan bersyukur kerana ikatan perkahwinan itu kekal utuh hingga hari ini. Bekas wardar penjara dan pramugara ini berkata, pertemuan mereka bermula secara tidak dirancang ketika dia menemani ibunya mendapatkan rawatan di klinik milik Dr Zahida.
“Kami masih ‘old school’ (cara lama) iaitu kenal secara fizikal selepas jumpa depan-depan.
“Kali pertama jumpa isteri waktu bawa emak datang berubat di kliniknya, di situlah permulaan kami berkenalan.
“Saya nampak kelembutannya (isteri) selepas lihat cara dia terangkan dan beri nasihat kepada emak mengenai kesihatan jadi itu yang membuatkan saya tertarik,” katanya.
Dari situlah bibit perkenalan bermula. Ketika itu, masing-masing membawa kisah luka – Aril baru putus tunang, manakala Dr Zahida pula kehilangan suami tersayang.
“Waktu itu, dia baru kehilangan suami yang kembali ke Rahmatullah manakala saya pula baru putus tunang.
“Bila berkawan, nampak peribadi isteri yang baik, matang, kemas dan disiplin… paling suka dan banyak belajar dengannya adalah sikapnya yang tidak berprasangka buruk dengan orang lain.
“Dalam tempoh perkenalan, kami tunjukkan keikhlasan dalam perhubungan dengan ahli keluarga masing-masing dan syukur dapat restu kedua belah keluarga untuk berkahwin selepas tiga tahun berkawan,” ujar Aril yang berasal dari Kuching, Sarawak.
Bagi Aril, apa yang paling dihargainya sepanjang lebih sedekad hidup bersama isterinya adalah ketenangan yang wujud dalam rumah tangga mereka.
“Nikmat yang saya syukuri sejak berkahwin dengan isteri adalah ketenangan dalam rumah tangga disebabkan keperibadiannya.
“Terima kasih banyak sebab ada dengan honey (nama panggilan) waktu susah senang dan jatuh bangun termasuk ketika fasa tak diterima orang luar hingga masuk ke dunia ‘content creator’ (pencipta kandungan).
“Kalau ada pun yang kata tak baik, saya maafkan dan doakan semoga Allah SWT buka hati untuk terima dengan tenang. Semoga mereka jadi husnudzon,” katanya lagi.
Sementara itu, Dr Zahida mengakui tidak pernah menyangka akan kembali berkahwin selepas hidup sendirian selama tiga tahun. Sebelum itu, beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang lebih tua enam tahun, namun menjadi balu selepas sembilan tahun perkahwinan.
“Waktu kahwin, saya berusia 45 tahun dan dia (suami) 27, tapi fikirannya tak macam budak-budak kerana saya yang lebih kebudak-budakan.
“Cara dia cakap pun teratur, tak ada borak kosong dan boleh diajak bersembang. Kami berdua tak terlalu mencuba nak tarik perhatian satu sama lain tapi cuba cari titik tengah supaya dapat bertolak ansur.
“Walaupun dia lebih muda, saya tetap anggap dia suami, kena hormat, terima apa dia tegur dan bukan fikir nak menang kerana saya pun ada banyak kekurangan.
“Tapi suami banyak bimbing terutama dalam soal agama kerana dia lebih arif.
“Apa yang penting kena jujur dengan satu sama lain dan semoga kami berbahagia di dunia hingga akhirat,” katanya yang sudah hampir tiga dekad berkhidmat sebagai doktor.
Pasangan ini membuktikan bahawa perbezaan usia bukanlah penghalang kepada kebahagiaan jika ada keikhlasan, saling menghormati dan pengertian dalam rumah tangga.
Sumber: Harian Metro dan TikTok Aril Tuah Scarves
Baca artikel lain juga: Cinta Tak Perlu Kaya, Cukup Dia Baik Untuk Kita & Anak Beza Usia 19 Tahun Dengan Suami Tak Halang Wanita Ni Cipta Bahagia!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my