Jom Mewarna, Astro Home of Kids 2025 Serlah Bakat & Kreativiti Si Cilik!

Share

Sabtu yang lalu, ruang legar Pavilion Damansara Heights bertukar wajah penuh ceria dengan gelak ketawa apabila lebih 100 orang kanak-kanak dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk menyertai Pertandingan Jom Mewarna Home of Kids 2025.

Acara yang berlangsung dalam suasana yang meriah, dipenuhi dengan semangat kekeluargaan dan keterujaan anak-anak kecil yang tidak sabar untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni mewarna.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori melibatkan kanak-kanak berusia 4 hingga 5 tahun, manakala kategori kedua dibuka kepada mereka yang berumur 6 hingga 8 tahun.

Seawal jam 10 pagi, suasana sudah mulai riuh dengan kehadiran para peserta bersama ibu bapa masing-masing yang begitu bersemangat menyokong anak-anak mereka. Ada yang hadir lengkap dengan peralatan mewarna tersendiri, malah ada juga yang tampil dalam pakaian bertemakan watak kartun kegemaran mereka, menambahkan lagi warna dalam acara yang sudah sedia ceria ini.

Setiap peserta diberikan helaian mewarna khas yang direka eksklusif untuk pertandingan ini. Pertandingan mewarna ini dimulai dengan kemunculan Didi & Friends sebaik acara bermula. Sambil mewarna, anak-anak juga dapat berhibur dengan Didi dan kawan-kawan.

Kemuncak acara menjadi lebih meriah apabila beberapa maskot kartun popular muncul secara mengejut di lokasi acara! Kehadiran ikon kesayangan kanak-kanak lain seperti Bluey, Cocomelon, Baby Shark, Upin & Ipin dan ramai lagi benar-benar mencetuskan kegembiraan luar biasa.

Suasana bertukar menjadi pesta mini apabila para peserta melompat gembira, memeluk maskot, dan berebut untuk bergambar bersama watak kegemaran mereka. Sorakan, gelak tawa dan jeritan manja memenuhi ruang, menjadikan Pavilion Damansara Heights hidup dengan suasana yang sukar dilupakan.

Jom Mewarna Home of Kids 2025 dimenangi oleh adik-adik comel, Nur Qaleesya Humaira, Izzayda, Eva Radhiya Inara, Nur Falisya Naira dan Ellie Zulfa dari Kategori A (4-5 tahun).

Manakala untuk kategori B (6-8 tahun) pula dimenangi oleh adik
Mohamad Zairy Ikhwan, Tan Xin Yue, Jocelyn Ho, Yara Nurqaisrra dan adik Nur Hayfa.

Kesemua mereka menampilkan bakat mewarna yang cukup kreatif dan berseni. Tahniah buat semua pemenang.

Jom Mewarna, Astro, Home Of Kids ini bukan sahaja sekadar sebuah pertandingan, tetapi juga satu acara penuh makna yang menggabungkan elemen hiburan, pendidikan, dan pembentukan sahsiah diri.

Dalam dunia digital yang semakin mendominasi masa lapang anak-anak, acara seperti ini menjadi sangat penting untuk membawa mereka kembali kepada aktiviti fizikal dan seni yang merangsang perkembangan motor halus dan daya imaginasi.

Astro Home of Kids September Ini!

Tidak hanya di sini bahkan Astro bakal menghidupkan semula dunia magis kanak-kanak menerusi acara paling dinantikan tahun ini iaitu Astro Home of Kids 2025 yang akan berlangsung dari 12 hingga 15 September 2025 di Pavilion Bukit Jalil Convention Centre.

Dibuka kepada umum dari jam 10.30 pagi hingga 9.00 malam dan yang paling menarik kemasukan adalah percuma untuk semua.

Paling menarik pastinya dengan kehadiran lebih 15 maskot kegemaran dari dalam dan luar negara bakal menghiburkan anak-anak kecil dalam suasana penuh imaginasi dan interaktif.

Home of Kids menampilkan pertemuan eksklusif bersama maskot paling ikonik yang menjadi kegilaan anak-anak termasuk Didi & Friends, Omar & Hana, Bluey, Pinkfong, Cocomelon, Doo Doo & Tong Tong dan ramai lagi.

Pa&Ma juga tidak ketinggalan untuk turut sama memeriahkan Astro Home of Kids ini dengan pelbagai aktiviti menarik termasuklah pemeriksaan gigi dan mata. Tidak ketinggalan juga sesi meet and greet bersama selebriti. Paling menarik, 20 pengunjung terawal untuk melakukan kedua pemeriksaan ini bakal menerima 20 goodies istimewa dari Pa&Ma!

Jumpa nanti di sana!