
Jus tembikai tanpa air tular, peniaga asal berlapang dada bila idea ditiru – “Tak perlu minta izin.” Itulah reaksi penuh tenang daripada pasangan suami isteri yang menjadi pencetus kepada jualan jus tembikai ‘piyor’ sehingga mencetuskan fenomena di media sosial.
Selepas perniagaan kecil mereka mendapat perhatian dan sambutan luar biasa, timbul pula beberapa peniaga lain yang mula menjalankan konsep serupa. Ada yang menggunakan ais kiub daripada buah, malah ada juga yang terus menjual jus tembikai tanpa campuran air seperti yang diperkenalkan pasangan ini.
Namun berbeza dengan tanggapan ramai, mereka tidak sedikit pun meluahkan rasa marah atau kecewa.
Menerusi perkongsian di Threads, Aida Yasmin yang merupakan isteri kepada peniaga asal tampil bersuara secara terbuka. Katanya, dia mendapat maklumat ada penjual lain mula meniru konsep jualan mereka selepas jus tembikai tanpa air tular di media sosial.
“Dapat info ada seller lain dah mula tiru kami jual air guna ice cube buah. Ada penjual yang baik sikit siap DM minta izin buat benda sama.
“Kepada penjual-penjual itu, tidak mengapa. Awak bukan tiru, awak cuma pinjam idea sahaja,” tulisnya.
Kenyataan itu nyata mengundang pujian ramai. Dalam suasana persaingan perniagaan yang semakin sengit, sikap berlapang dada seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurut Aida lagi, idea tersebut bukanlah hak mutlak mereka. Segala ilham yang hadir juga atas izin dan kurniaan Allah. Baginya, apabila jus tembikai tanpa air tular, ia adalah aturan rezeki yang telah ditentukan.
“Idea kami ini pun bukan hak kami. Kalau Allah tak bagi ilham, kami pun tak dapat juga. Kami berlapang dada, teruskan apa yang awak buat, tak perlu minta izin.”
Suaminya juga berkongsi pendirian sama. Bagi mereka, apa yang lebih penting adalah doa agar perniagaan kecil yang diusahakan di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur itu terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.
Terdahulu, jus tembikai tanpa air tular kerana konsepnya yang 100 peratus menggunakan isi buah segar tanpa campuran air, gula atau bahan tambahan. Konsep yang ringkas tetapi menepati citarasa pengguna masa kini yang lebih mementingkan kesihatan.
Dengan harga RM4 untuk saiz kecil dan RM6 untuk saiz besar, ia dianggap berbaloi serta lebih sihat berbanding minuman manis lain di pasaran.
Menariknya, di ruangan komen media sosial, ada peniaga lain berkongsi bahawa mereka menukar jualan daripada aiskrim kepada jus tembikai tanpa air selepas perniagaan terdahulu kurang mendapat sambutan.
“11 hari tak ada duit masuk sebab aiskrim tak laku. Bila air tembikai viral, terus terjaga dari lena,” kongsi seorang netizen.
Kisah jus tembikai tanpa air tular ini sebenarnya lebih daripada sekadar cerita bisnes viral. Ia tentang sikap, tentang kepercayaan kepada rezeki dan tentang hati yang tidak sempit apabila melihat orang lain turut sama mencari nafkah.
Dalam kehidupan berkeluarga, nilai seperti ini sangat besar maknanya. Anak-anak belajar daripada contoh ibu bapa. Apabila melihat ibu ayah berniaga dengan jujur, tidak berdendam dan percaya bahawa rezeki tidak pernah salah alamat, di situlah lahirnya keberkatan.
Fenomena ini juga membuktikan bahawa dalam dunia keusahawanan, persaingan tidak semestinya membawa permusuhan. Kadangkala, ia membuka ruang kolaborasi, inspirasi dan peluang yang lebih luas untuk semua pihak.
Semoga kisah pasangan ini menjadi inspirasi buat lebih ramai usahawan kecil. Berniagalah dengan ikhlas, bersaing secara sihat dan jangan lupa, doa adalah senjata paling ampuh dalam mencari rezeki.
BACA LAGI : Air Tembikai Lemon Laici, Minum Waktu Berbuka, Rasa Segar Lalu Ditekak