Kanak-kanak tercekik ‘gummy mata’ meninggal dunia. Kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik mata meninggal dunia. Murid Tahun 4 yang dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy’ mata dalam kejadian pada petang Selasa menghembuskan nafas terakhir pada malam Khamis.
Kanak-kanak Tercekik ‘Gummy Mata’ Meninggal Dunia
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP meninggal dunia pada jam kira-kira 11 malam.
Perkara itu disahkan oleh ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, yang menghubungi Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya baru dapat berita. Fahmi baru saja menghembuskan nafas terakhir. Ibu arwah baru ‘call’ saya tadi beritahu Fahmi dah tak ada.
“Jenazah akan dikebumikan di kampung nenek arwah di Permatang Binjai, Penaga, dijangka pada jam 11 pagi hari ini.
“Saya tidak ada di sana (HPP), jadi saya tak tahu maklumat lebih lanjut. Apa-apa saya maklum semula,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Mohamad Fahmi berada dalam keadaan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Mangsa sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Ads
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.
Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.
Usia bukan halangan. Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj kini bergelar mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh baginda di laman TikToknya, baginda berkongsi beberapa foto memegang kad pintar UIA yang tertera International Institute of Islamic Thought and Civilization universiti tersebut dengan senyuman yang cukup manis.
“Kembali ke sekolah, doakan saya!” titah baginda di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakyat meluahkan rasa teruja apabila mengetahui baginda menjadi salah seorang mahasiswa UIA malah memuji kegigihan baginda untuk terus mengejar ilmu.
Wargamaya juga turut menitipkan doakan agar segala urusan baginda dipermudahkan sepanjang pengajian kelak.
Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali masih belum bersedia untuk berkongsi wajah dan nama anak lelakinya kepada khalayak walaupun sudah lebih dua bulan menimang cahaya mata.
Menurut kata Nabila, salah satu perkara yang menjadi kebimbangannya dan suami adalah risiko penyakit ain yang boleh menimpa bayinya itu.
Nabila atau Nur Nabila Mohd Radzali, 33, berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan suaminya.
“Saya dan suami ada pemahaman yang sama dan bersetuju untuk tidak dedahkan wajah dan nama anak buat masa sekarang.
“Saya sedar ramai yang bertanya, cuma saya pasti semua akan tahu juga. Mana yang boleh kita simpan hanya untuk keluarga, kita simpan dulu.
“Ya risau juga dengan penyakit ain dan sekarang pun macam-macam kes berlaku membabitkan bayi. Saya tak nak ambil risiko, tambahan pula bila menjadi figura awam ni saya risau mungkin akan diperhatikan.
“Orang biasa pun boleh jadi mangsa inikan pula saya yang kerjanya perlu berjumpa orang ramai,” katanya.
Nabila bagaimana pun berkata dia akan berkongsi wajah buah hati tersayangnya bersama suami bila sampai masanya kelak.
“Insya-Allah kalau sudah bersedia nanti saya akan kongsi di media social,” ujarnya berkongsi.
Terdahulu, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Tiada sorakan atau tumpuan media, hanya air mata dan pelukan hangat. Itulah suasana menyentuh hati ketika bekas wartawan dan pempengaruh terkenal, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA, pulang ke tanah air selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Berusia 58 tahun, Zainal memilih untuk pulang dengan tenang ke rumahnya, disambut oleh sahabat-sahabat terdekat termasuk Syahril Abdul Kadir, Syirfan Indra dan beberapa rakan lain. Tiada kilauan kamera, tiada tepukan gemuruh – hanya keheningan malam yang diselubungi rasa syukur dan keinsafan.
“Air mata kami berlinangan ketika memeluk beliau di rumahnya tengah malam tadi. Turut hadir ialah saudara Nua, antara tulang belakang ZRA Strim,” cerita Syahril dalam nada sebak. Beliau menggambarkan kepulangan Zainal sebagai momen penuh makna, bukan sahaja untuk sahabat-sahabatnya tetapi juga buat keluarganya yang menantikan dengan penuh doa.
Menurut Syahril, keadaan fizikal Zainal kini kelihatan susut dan wajahnya jelas menunjukkan keletihan selepas melalui misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang amat mencabar. Namun, di sebalik keletihan itu, terpancar ketenangan dan kepuasan di wajahnya — tanda seorang ayah dan insan yang telah menunaikan amanah besar buat ummah.
“Tetapi itulah ZRA. Dia telah melaksanakan apa yang dia percaya dan perjuangkan selama ini. Dia serahkan segalanya kepada Allah Yang Maha Esa,” ujar Syahril. Beliau menegaskan bahawa Zainal tidak pernah mengharapkan pujian atau sanjungan atas perjuangan yang dilakukan. “Jangan buang masa memuji dirinya. Dia tidak mahu semua itu. Dan itu bukan dia,” katanya lagi dengan penuh hormat.
Bagi keluarga Zainal, kepulangannya bukan sekadar kelegaan, tetapi juga pengajaran tentang ketabahan dan makna sebenar pengorbanan. Seorang ayah yang meninggalkan keselesaan demi membela nasib mereka yang tertindas, pulang dengan kisah yang menginsafkan dan menyentuh hati.
Nama Zainal Rashid Ahmad bukan asing dalam dunia media dan kemanusiaan. Beliau merupakan antara pengamal media terawal yang pernah menyelinap masuk ke Israel dan Palestin pada tahun 2005 dan 2008 bagi menghasilkan dokumentari mengenai keadaan umat Islam di wilayah bergolak itu. Pengalaman itu menjadikannya antara suara lantang yang memperjuangkan isu Palestin secara konsisten hingga kini.
Delegasi sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di tanah air sekitar 10.07 malam semalam selepas menyertai misi antarabangsa menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang terus dilanda krisis akibat konflik bersenjata. Misi ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, tetapi juga semangat juang para sukarelawan dari seluruh dunia.
Semua 23 sukarelawan GSF dilaporkan telah dibebaskan pada Sabtu lalu selepas ditahan sejak 2 Oktober ketika dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza. Antara yang turut serta ialah beberapa selebriti tanah air seperti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, bersama lebih 500 sukarelawan dari pelbagai negara.
Kisah Zainal Rashid Ahmad menjadi cerminan kepada nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan sejati. Dalam dunia yang semakin sibuk mengejar kemewahan, beliau menunjukkan bahawa kasih sayang, keberanian dan pengorbanan boleh mengubah dunia, satu langkah kecil pada satu masa.
Bagi keluarga beliau dan rakyat Malaysia yang mengikuti perjuangannya, kepulangan senyap ini menjadi peringatan bahawa wira sebenar tidak mencari tepukan, tetapi keredaan Ilahi. Dan di sebalik setiap perjuangan, ada keluarga yang menanti dengan doa dan harapan.