Kegigihan Ibu Tunggal Jaga Empat Permata Hati Autism Ini Sangat Berinspirasi

Share

Kisah wanita hebat ini pernah dikongsikan penulis sebelum ini

. Bagaimana ibu tabah dan cekal ini menyara empat anak istimewanya yang disahkan autism. Terbaru, kisah ibu bernama Haslinah Abdul Hassan dikongsikan oleh skuad dari Baitulmal MAIWP.

Haslinah yang berpisah dengan bekas suaminya pada bulan Julai lalu terpaksa menguatkan semangatnya bagi membesarkan anak-anak sendirian tanpa bantuan suami. Dia tidak dapat bekerja kerana anaknya harus diberikan perhatian selain tiada jiran atau kenalan yang sanggup mengambil upah menjaga anak disebabkan sakit mereka itu.

Lebih memilukan, dia dan anak-anak diminta mengosongkan kediaman yang disewanya kerana rumah tersebut. Haslinah sebelum ini  tinggal di rumah sewa yang didiaminya sejak tahun 2007 ketika awal perkahwinannya dengan bekas suami.

Namun pihak pengurusan memintanya mengosongkan unit tersebut dengan kadar segera kerana keadaan rumah tersebut tidak sesuai didiami kerana kebocoran paip air dan serangan serengga anai-anai yang teruk.

Selain itu, beliau juga mempunyai tunggakan sewa sebanyak 11 bulan selepas sebahagian besar kadar sewanya itu dibantu oleh Baitulmal MAIWP.

Haslinah yang merupakan penerima Bantuan Kewangan Bulanan, Bantuan Sewa Rumah Bulanan dan Bantuan Am Persekolahan mengakui, sara hidupnya dan anak-anak itu bergantung sepenuhnya kepada bantuan zakat yang diterimanya dan juga ehsan daripada saudara yang rapat.

Dalam pada itu, dia juga mengalami kesukaran disebabkan kerap berulang alik keluar menghantar 3 orang anaknya ke sekolah pendidikan khas selain sering perlu membawa mereka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

Haslinah juga turut disahkan mengalami depresi dan masih mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di HKL. Semoga ibu ini terus kuat dan tabah demi anak-anak tersayang.

Sumber: FB Autisme Adhd Moms

 

IKLAN