
“Selama ini kami lebih banyak melihat air mata Amma ketika menghadapi saat-saat sukar. Tetapi kali ini, kami melihat ibu menangis kerana terlalu gembira melalui usaha kecil ini.”
Demikian luahan L Bharathi, 34, ketika mengimbas detik penuh emosi apabila ibunya, M Kavita, menerima kejutan hari lahir yang cukup istimewa daripada lima orang anaknya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.
Video berdurasi dua minit 50 saat yang memaparkan momen menyentuh hati itu tular di media sosial sehingga mengundang ribuan reaksi positif daripada orang ramai. Ramai mengakui mereka sebak melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh lima beradik tersebut terhadap ibu yang selama ini bertungkus-lumus membesarkan mereka.
Kejadian berlaku di sebuah lokasi di Seremban, Negeri Sembilan ketika Kavita sedang menjalankan tugas seperti biasa sebagai tukang sapu.
Ketika sedang ditemu bual oleh seseorang, Kavita langsung tidak menyedari bahawa kelima-lima anaknya sudah berada berhampiran sambil memakai pakaian seragam pekerjaan masing-masing.
Apabila diminta menoleh ke belakang, wajah Kavita terus berubah. Dia kelihatan terkejut sebelum tersenyum lebar dan akhirnya tidak mampu menahan air mata apabila dipeluk sambil menerima ucapan selamat hari lahir daripada anak-anaknya.
Rakaman video tersebut mendapat perhatian ramai kerana menggambarkan penghargaan yang tulus daripada anak-anak terhadap ibu mereka tanpa perlu hadiah yang mahal atau majlis yang mewah.
Menurut Bharathi, idea melakukan kejutan itu dicetuskan oleh adiknya, Santhia, 29, selepas mereka berbincang mengenai hadiah paling bermakna sempena ulang tahun kelahiran ibu mereka.
Bharathi bersama empat lagi adik-beradiknya, Hema, Santhia, Yumal Raj dan Priya Darsni menyedari bahawa tiada hadiah yang mampu membalas segala pengorbanan ibu mereka selama ini.
Mereka akhirnya teringat satu impian kecil yang pernah diluahkan oleh Kavita, iaitu mahu melihat anak bongsunya datang mengejutkannya ketika bekerja dengan memakai uniform juruterbang.
“Syukur, impian kecil itu akhirnya dapat direalisasikan pada hari lahirnya yang ke-50,” kata Bharathi.
Bagi memastikan kejutan hari lahir itu berjalan lancar, lima beradik tersebut mengambil masa hampir sebulan membuat persiapan.
Masing-masing memainkan peranan termasuk menyelaraskan jadual, mendapatkan juruvideo serta memastikan ibu mereka langsung tidak mengetahui rancangan tersebut.
Cabaran terbesar ialah menentukan tarikh kerana ada dalam kalangan adik-beradik mereka menetap di Singapura dan Langkawi.
Selain itu, mereka juga perlu memastikan Kavita hadir bekerja seperti biasa pada hari kejadian supaya kejutan itu benar-benar menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Menurut Bharathi, kejutan tersebut merupakan tanda penghargaan terhadap pengorbanan ibu mereka yang sudah lebih 12 tahun bekerja sebagai tukang sapu.
Sepanjang tempoh itu, Kavita sanggup bekerja di bawah panas terik dan hujan bagi membantu suaminya yang mencari rezeki sebagai tukang cat.
Segala penat lelah yang dilalui dilakukan demi memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan peluang membina kehidupan yang lebih baik.
“Sejak kecil, kami menyaksikan sendiri kesusahan Amma yang sanggup bekerja keras tanpa pernah mengeluh.
Pengorbanannya menjadi sumber inspirasi kepada kami untuk belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras dan mengubah kehidupan keluarga,” katanya.
Hasil didikan dan pengorbanan tersebut, anak-anak mereka kini berjaya membina kerjaya dalam bidang masing-masing, sekali gus membuktikan bahawa usaha ibu bapa tidak pernah sia-sia.
Walaupun anak-anaknya kini sudah mempunyai pekerjaan dan mampu menyara keluarga, Kavita tetap memilih untuk terus bekerja.
Menurut Bharathi, keputusan itu dibuat atas kehendak ibunya sendiri yang tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada anak-anak.
“Amma seorang yang sangat berdikari dan sudah terbiasa bekerja. Selagi masih sihat dan mampu, dia mahu terus bekerja kerana enggan membebankan kami,” jelasnya.
Bagi Kavita, kejutan tersebut menjadi antara hadiah paling bermakna sepanjang hidupnya. Segala penat lelah membesarkan anak-anak seolah-olah terubat apabila melihat mereka berdiri di hadapannya dengan penuh kasih sayang.
Kisah kejutan hari lahir ini bukan sekadar mengundang air mata, malah menjadi peringatan bahawa kasih sayang, masa dan penghargaan daripada anak-anak adalah hadiah yang paling bernilai buat seorang ibu. Pengorbanan ibu bapa mungkin tidak mampu dibalas sepenuhnya, namun penghargaan yang ikhlas mampu menghadirkan kebahagiaan yang tidak ternilai dalam hidup mereka.
BACA LAGI : Tiga Beradik Bergelar Huffaz Serentak, “Hadiah Terbesar Buat Ibu Dan Ayah”
Sumber : Harian Metro