
Siapa yang tidak sebak apabila melihat anak-anak berjaya menghafaz ayat-ayat suci al-Quran. Lebih mengharukan apabila bukan seorang, tetapi tiga cahaya mata daripada sebuah keluarga berjaya bergelar huffaz pada hari yang sama.
Momen penuh bermakna itu dikongsikan pendakwah, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi laman sosial apabila tiga pelajar perempuan daripada sebuah keluarga naik ke pentas konvokesyen selepas berjaya menamatkan hafalan 30 juzuk al-Quran.
Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar Maahad Tahfiz An Nabawi, Jerantut.

3 Beradik Huffaz Al-Quran Cipta Detik Bersejarah
Menurut Ustaz Ahmad Dusuki, saat nama ketiga-tiga anak kepada Tuan Zamani dipanggil ke pentas, ia bukan sekadar hari konvokesyen biasa.
Sebaliknya, hari tersebut menjadi kemuncak kepada bertahun-tahun pengorbanan seorang ayah dan ibu yang tidak pernah berhenti berusaha serta mendoakan kejayaan anak-anak mereka.
“Saat nama demi nama dipanggil ke pentas, tiga orang anak daripada keluarga Tuan Zamani melangkah dengan jubah graduasi masing-masing.
Hari itu bukan sekadar hari konvokesyen. Hari itu adalah kemuncak kepada bertahun-tahun pengorbanan seorang ayah dan seorang ibu kerana ketiga-tiga anak mereka berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.
Lebih menggembirakan, salah seorang daripada mereka turut dinobatkan sebagai Tokoh Huffaz.”
Pengorbanan Ibu Bapa Melahirkan 3 Beradik Huffaz Al-Quran
Dalam perkongsian sama, Ustaz Ahmad Dusuki turut mengenang pengorbanan ibu bapa yang mungkin tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.
Katanya, banyak doa dipanjatkan pada sepertiga malam, air mata yang mengalir ketika menghantar anak ke asrama serta penat lelah seorang ayah mencari rezeki demi memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan terbaik.
“Berapa banyak doa yang pernah dipanjatkan pada sepertiga malam. Berapa banyak pengorbanan yang tidak pernah diceritakan kepada orang lain.
Berapa banyak kesusahan yang mereka simpan sendiri, semata-mata mahu melihat anak-anak membesar sebagai insan yang memelihara kalam Allah.
Seorang ibu mungkin pernah menangis ketika menghantar anak ke asrama. Seorang ayah mungkin pernah pulang lewat mencari rezeki agar anak-anak terus dapat belajar.
Namun pada hari itu, semua penat lelah mereka dibalas dengan satu nikmat yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.”
Hadiah Terbesar Buat Ibu Dan Ayah
Bagi setiap ibu bapa, tiada hadiah yang lebih bernilai selain melihat anak-anak membesar dengan al-Quran di hati.
“Melihat anak memeluk al-Quran, memakai jubah huffaz dan menjadi pewaris kalam Allah. Itulah hadiah terbesar buat seorang ibu dan ayah.
Alhamdulillah, akhirnya anakku menjadi huffaz al-Quran.”
Beliau turut menitipkan doa agar ketiga-tiga puteri berkenaan terus istiqamah menjaga hafalan serta menyampaikan ilmu al-Quran kepada generasi seterusnya.
“Doa saya kepada mereka, semoga terus istiqamah menjaga al-Quran dan sampaikan pula kepada generasi seterusnya. Agar kita semua beroleh ganjaran tertinggi di akhirat nanti, insya-Allah.”
Sabda Rasulullah SAW Mengenai Al-Quran
Ustaz Ahmad Dusuki turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
Riwayat al-Bukhari, no. 5027.
Dua Puteri Sudah Tamat Syahadah 30 Juzuk
Sementara itu, ibu kepada ketiga-tiga pelajar tersebut turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada barisan guru yang mendidik anak-anaknya sehingga berjaya bergelar huffaz.
Menurutnya, dua daripada tiga puterinya sudah melepasi syahadah 30 juzuk, iaitu ujian memperdengarkan keseluruhan hafalan al-Quran dari awal hingga akhir tanpa melihat mushaf.
“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahuakbar. Syukran ya Allah.
Terima kasih pengasas Maahad Tahfiz An Nabawi Jerantut, Ustaz Ahmad Dusuki, Ustazah Faizah Azhari dan semua asatizah yang mengajar anak-anak kami sehingga bergelar huffaz.
Alhamdulillah, kini dua orang puteri sudah tamat syahadah 30 juzuk manakala seorang lagi masih berjuang dalam syahadahnya.
Doakan semoga anak-anak istiqamah bersama dalam menjaga kalamullah.”
Kejayaan 3 Beradik Huffaz Al-Quran Jadi Inspirasi Masyarakat
Kisah 3 beradik huffaz al-Quran ini turut menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa kejayaan dalam pendidikan Islam memerlukan usaha berterusan, sokongan keluarga dan bimbingan guru yang ikhlas. Semoga lebih ramai ibu bapa terdorong untuk menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan anak-anak sejak usia muda.
Semoga ketiga-tiga puteri ini terus istiqamah menjaga hafalan, mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian serta menjadi penyejuk hati buat ibu dan ayah di dunia dan akhirat.
BACA LAGI : Empat Anak Hafaz Al-Quran, Keluarga Ini Kongsi Formula Kejayaan Anak Cintakan Al-Quran
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di





