Ads

Empat Anak Hafaz Al-Quran, Keluarga Ini Kongsi Formula Kejayaan Anak Cintakan Al-Quran

Dari kiri; Wan Nur Zunayrah Alwaqiyah (anak kedua), Tahun Wan Nur Balqis Alwasimah (anak pertama), Normajan Haji Ahmad (ibu), Wan Azuadi bin Wan Yusoff (bapa), Wan Nur Zulfah Alwadhiyah (anak keempat) dan Wan Muhammad Alwa'ez (anak ketiga)

Empat anak hafaz al-Quran dalam tempoh kurang setahun menjadi kejayaan luar biasa yang cukup menyentuh hati buat keluarga pasangan suami isteri, Wan Azuadi Wan Yusoff, 49, dan Normajan Ahmad, 47.

Kejayaan anak-anak dalam pelajaran pasti menjadi impian setiap ibu bapa. Namun, lebih besar maknanya apabila kejayaan itu berkait rapat dengan al-Quran, menjadi bekalan hidup dan panduan membentuk peribadi mulia.

Itulah rasa syukur yang dikongsi pasangan ini apabila empat anak mereka berjaya bergelar hufaz dalam tempoh kurang setahun.

Empat Anak Hafaz Al-Quran, Keluarga Ini Kongsi Formula Kejayaan Anak Cintakan Al-Quran
Pasangan suami isteri, Wan Azuadi Wan Yusoff, 49, dan isterinya Normajan Ahmad, 47, melahirkan rasa syukur dan keterujaan yang tidak terhingga apabila keluarga mereka dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tajul Waqar.

Kejayaan luar biasa itu diraikan dalam Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL Kali Ke-7 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, keluarga berkenaan turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tajul Waqar, satu pengiktirafan bermakna buat ibu bapa yang tidak pernah jemu memberi dorongan kepada anak-anak untuk mencintai al-Quran.

Empat Anak Hafaz Al-Quran Dalam Tempoh Kurang Setahun

Menurut Wan Azuadi, dia dan isteri amat bersyukur apabila kesemua anak mereka menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang hafazan.

“Syukur keempat-empat anak saya berjaya menghafaz al-Quran dan berjaya Syahadah kurang setahun.

“Anak-anak memang menunjukkan minat dalam menghafaz dan kami sebagai ibu bapa memberi galakan dan dorongan untuk mereka cintakan al-Quran.

“Pada kami, dengan al-Quran sahajalah mampu mendidik dan menjaga mereka nanti,” kongsinya.

Bagi pasangan ini, kejayaan anak-anak bukan sekadar diukur pada pencapaian hafazan semata-mata, tetapi bagaimana al-Quran mampu membentuk akhlak, disiplin dan hala tuju kehidupan mereka.

Ads

Galakan Ibu Bapa Jadi Kunci Kejayaan Anak-Anak

Wan Azuadi turut menjelaskan, pemilihan pusat pembelajaran yang tepat menjadi antara faktor penting dalam membantu anak-anak mereka kekal konsisten menghafaz al-Quran.

Katanya, kepercayaan terhadap sistem pembelajaran yang tersusun membuatkan mereka yakin untuk memilih AKMAL sebagai tempat anak-anak menimba ilmu.

“Saya memilih AKMAL kerana yakin dengan sistem pembelajaran yang ditawarkan, selain teknik didikan hafazan yang diterapkan membuatkan anak-anak bertambah minat dengan al-Quran sehingga berjaya Syahadah,” ujarnya.

Kisah empat anak hafaz al-Quran ini juga membuktikan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam membina semangat anak-anak untuk terus istiqamah.

Remaja 16 Tahun Turut Curi Perhatian

Dalam majlis sama, kisah kejayaan remaja berusia 16 tahun, Muhammad Akmal Hadi Hissam, turut mencuri perhatian apabila berjaya memperoleh Syahadah Hafazan Sughra dan Kubra dalam masa kurang daripada setahun.

Ads
Empat Anak Hafaz Al-Quran, Keluarga Ini Kongsi Formula Kejayaan Anak Cintakan Al-Quran
Anugerah Mutarabbi Mithali dikurniakan kepada remaja berusia 16 tahun, Muhammad Akmal Hadi Hissam dalam majlis sama.

Berkongsi formula kejayaannya, Muhammad Akmal berkata dia mengamalkan kaedah membaca dan memahami terjemahan terlebih dahulu sebelum mula menghafaz.

“Saya amalkan membaca dan memahami terjemahan dahulu bagi menimbulkan rasa minat untuk menghafaz.

“Tips ini dikongsikan oleh senior yang telah berjaya sebelum saya,” katanya.

AKMAL Sasar Lahirkan 3,000 Hufaz Setiap Tahun

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan seramai 3,000 hufaz setiap tahun.

Jelasnya, peningkatan jumlah pelajar yang berjaya khatam al-Quran pada tahun ini membuktikan sistem pembelajaran yang meletakkan sasaran jelas kepada pelajar mampu memberi hasil positif.

“Tahun ini kita dapat lihat peningkatan hufaz yang berjaya khatam al-Quran dari tahun sebelumnya. Perkara ini membuktikan sistem pembelajaran yang meletakkan target bagi setiap pelajar untuk berjaya menghafaz dalam masa setahun berkesan.

“Sistem kita asasnya adalah target, kedua perlu fokus dan ketiga adalah kempen. Kita pergiat kempen untuk para pelajar ada sebab utama untuk capai target,” jelasnya.

Tambah Mohd Saifullah, masyarakat hari ini semakin sedar bahawa pendidikan tahfiz bukan lagi terhad kepada bidang keagamaan semata-mata.

Ads

Katanya, ramai huffaz kini membuktikan mereka mampu berjaya dalam pelbagai bidang profesional seperti arkitek, doktor, pensyarah dan sebagainya.

“Kita lihat pada masa kini, ramai ibu bapa yang mahu mendaftar anak-anak mereka masuk ke tahfiz. Ini kerana stigma bahawa pelajar tahfiz hanya boleh menjadi imam atau bidang keagamaan sudah lama luput.

“Realitinya, ramai huffaz membuktikan mereka mampu menguasai pelbagai kerjaya profesional bertaraf tinggi,” katanya.

Pendidikan Tahfiz Bentuk Generasi Berilmu

Bagi memastikan lebih ramai anak muda berpeluang mendalami al-Quran, AKMAL turut merancang membuka tiga cawangan baharu di Ampang, Kelantan dan Melaka menjelang tahun hadapan.

Kisah empat beradik ini membuktikan bahawa apabila anak-anak diberi dorongan, bimbingan dan persekitaran yang baik, mereka mampu mencapai kejayaan luar biasa.

Lebih daripada sekadar bergelar hufaz, kejayaan ini menjadi bukti bahawa al-Quran mampu menjadi asas pembentukan generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menjadi pemimpin masa depan.

Kejayaan empat anak hafaz al-Quran ini juga menjadi inspirasi buat ibu bapa lain bahawa usaha mendekatkan anak-anak dengan kitab suci perlu dimulakan dengan sokongan, doa dan contoh yang baik dari rumah.

BACA LAGI : Bangga! Kanak-Kanak Perempuan Berjaya Hafaz Al-Quran Dalam Tempoh Hanya 9 Bulan 6 Hari!

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Keluarga Lain

“Memang Dilahirkan Untuk Jadi Girl Mom”, Intan Najuwa Bakal Sambut Puteri...

Intan Najuwa berkongsi berita gembira apabila bakal menimang anak kedua perempuan. Pelakon itu meluahkan rasa teruja untuk kembali bergelar ibu kepada puteri kecil.