
Tragedi ngeri kemalangan LPT1 yang meragut nyawa satu keluarga di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) masih meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia.
Terbaharu, keadaan jenazah tiga beranak yang maut dalam nahas membabitkan 11 kenderaan itu dikatakan masih sempurna meskipun kereta yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk.
Perkara tersebut dikongsikan seorang pengguna Threads, @fatihahkichee, berdasarkan cerita yang diterimanya daripada ibu saudara salah seorang mangsa.
Menurutnya, ramai tertanya-tanya mengenai keadaan jenazah selepas melihat Proton S70 yang dinaiki keluarga berkenaan remuk dalam kemalangan tersebut.
“Ramai tertanya-tanya keadaan jenazah kan sebab tengok kereta macam itu (remuk). Subhanallah, kuasa ALLAH SWT.
“Seperti yang diceritakan oleh mak cik arwah, jenazah sempurna. Tak macam yang disebut-sebut netizen,” katanya.
Perkongsian mengenai keadaan jenazah itu mendapat perhatian susulan keadaan kenderaan yang mengalami kerosakan teruk dalam nahas berkenaan.
Lebih menyentuh hati, perkongsian sama turut menceritakan mengenai kehadiran orang ramai yang datang memberikan penghormatan terakhir kepada ketiga-tiga mangsa.
Menurutnya, saudara-mara, sahabat serta orang ramai memenuhi saf ketika solat jenazah sehingga ruang dikatakan tidak mencukupi.
“Lautan manusia hadir untuk solat jenazah. Ramai sangat, Masya-ALLAH.
“Punya ramai yang datang solat jenazah sampai tak muat saf. Kematian yang dicemburui. Apa agaknya amalan arwah,” tulisnya.
Perkongsian berkenaan kemudian mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-rata menitipkan doa buat keluarga terbabit.
Ramai mendoakan agar ketiga-tiga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dikurniakan keampunan dan rahmat ALLAH SWT.
Kehadiran orang ramai ketika solat jenazah turut memperlihatkan bagaimana tragedi kemalangan LPT1 berkenaan menyentuh hati bukan sahaja ahli keluarga dan kenalan mangsa, malah masyarakat yang mengikuti perkembangan nahas itu.
Sebelum ini, Nur Atiqah Sofiya, 32, bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, dilaporkan meninggal dunia selepas Proton S70 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 110.4 LPT1, Temerloh, Pahang.
Nahas tersebut turut meragut nyawa seorang lagi mangsa, Seow Beng Wain, 55, yang merupakan penumpang sebuah Honda CR-V.
Kemalangan berkenaan membabitkan 11 kenderaan termasuk sebuah bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CR-V, dua Proton Saga, dua Perodua Myvi dan sebuah Perodua Aruz.
Jumlah kenderaan yang terbabit menjadikan kemalangan LPT1 tersebut antara nahas yang mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas tiga mangsa daripada sebuah keluarga dilaporkan terkorban.
Pemergian tiga beranak ini sememangnya mengundang pilu, bukan sahaja kepada ahli keluarga dan kenalan, malah masyarakat yang mengikuti perkembangan tragedi berkenaan.
Lebih memilukan apabila pasangan suami isteri itu pergi bersama anak lelaki mereka yang baru berusia empat tahun.
Di sebalik keadaan Proton S70 yang remuk, perkongsian mengenai keadaan jenazah tiga beranak berkenaan turut mendapat perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Bagaimanapun, cerita mengenai keadaan jenazah tersebut adalah berdasarkan perkongsian pengguna Threads yang memetik cerita daripada ibu saudara salah seorang mangsa.
Dalam menghadapi kehilangan seperti ini, doa terus mengiringi keluarga mangsa agar diberikan kekuatan untuk berdepan dengan ujian yang begitu berat.
Tragedi kemalangan LPT1 ini juga menjadi peringatan bahawa kehilangan boleh berlaku dalam sekelip mata dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang ditinggalkan.
Sesungguhnya ajal dan maut adalah rahsia ALLAH SWT. Semoga seluruh keluarga yang ditinggalkan terus diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan besar ini.
Al-Fatihah.
BACA LAGI :Pemilik Secangkir Cafe Meninggal Dunia, Tragedi Pilu Tiga Beranak Undang Sebak
Sumber : Sinar Harian / Threads @fatihahkichee