Syarikat Khairulaming telah mengumumkan penutupan operasi kilang selama 5 hari bagi memberi penghargaan kepada 100 orang stafnya dengan percutian mewah di Pulau Pinang. Dalam percutian ini, kesemua staf akan menginap di hotel bertaraf lima bintang dengan bilik seaview, selain menerima duit poket untuk shopping.
Pelbagai aktiviti menarik turut disusun termasuk bermain di Escape Park, parasailing, banana boat, jetski, serta jelajah bandar bersejarah Georgetown. Selain itu, staf juga berpeluang menikmati nasi kandar asli dan menghadiri grand dinner istimewa.
Langkah ini bertujuan memberi peluang kepada semua staf untuk berehat dan bercuti dengan penuh kegembiraan sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka selama ini.
Ads
Kita tutup kilang selama 5 hari untuk bawa kesemua 100 staff Khairulaming bercuti di Penang. Semua staff dapat hotel 5 star bilik seaview, duit poket untuk shopping, main escape park, parasailing, banana boat, jetski, explore bandar georgetown, makan nasi kandar, grand dinner dan macam-macam lagi. Yang penting semua staff dapat berehat and bercuti dgn happy.
Ads
Menjengah di ruangan komen ramai yang meluahkan rasa gembira dan kagum melihat usaha yang dilakukan oleh pempengaruh terkenal ini. Terbaik Khairul Aming!
Selepas empat dekad mengabdikan diri sebagai pembancuh kopi, tiba-tiba dia diberikan notis tiga bulan. Tidak kata yang mampu diluahkan ketika itu.
Bayangkan selama 40 tahun itu, gaji bulanannya paling tinggi pernah dapat adalah RM1,500 sahaja. Malah, disebabkan bertukar pemilik kedai makan, gajinya turut berubah kepada RM1000. Untuk pendapatan sebegitu, lelaki ini terpaksa bekerja sehingga 12 jam sehari.
Namun, ujian berat terpaksa dilalui. Ali Kopi, tukang bancuh kopi di kedai makan di Kangar sejak 40 tahun lalu akhirnya diberikan notis tiga bulan oleh majikan yang akan menamatkan perkhidmatannya kerana PKP.
Namun, kecekalan ayah kepada empat cahaya mata itu cukup dikagumi. Biarpun diuji sedemikian, namun dia sesekali tidak menyalahkan takdir. Usai ditamatkan perkhidmatan, dia memilih untuk membuka warung dinamakan ALI KOPI di Kampung Kechor, Kangar. Kisah Ali Kopi ini dikongsikan saudara Mohd Fazli Zainul Abidin menerusi laman facebooknya.
Syukur dengan kemahiran yang ada, Ali mengambil keputusan membuka kedai miliknya sendiri di perkarangan rumahnya dengan menjual air bancuh, semestinya kopi dan roti bakar telur gedik.
Pelangi indah yang diberikan sang Pencipta buat Ali terus memberikan tapak lebih kukuh apabila dia turut menyewakan beberapa lot gerai untuk bersama-sama memeriahkan kedainya dengan pelbagai menu.
Sebelah pagi ada nasi lemak, kemudiannya goreng-gorengan dan juga makanan berasaskan sup.
Menariknya juga, warung Ali Kopi ini turut menjadi tempat persinggahan buat peminat sukan basikal. Ini membuatkan Ali menyediakan tempat parking basikal bagi memudahkan pelanggan kumpulan ini.
Inilah dikatakan rezeki warga emas yang usianya menginjak senja itu, walaupun warungnya terletak kira-kira 1km ke dalam kampung, tetapi rezekinya tidak putus, ada sahaja pengunjung.
Menurut empunya diri lagi, ucapan terima kasih dan syukur tidak terhingga atas bantuan yang diberikan oleh Raja Muda Perlis yang banyak membantunya.
Semasa perbualan kami, satu perkara yang Ali amat terharu, “saya tak dapat buka kedai macam ini kalau Tuanku Raja Muda Perlis tak bantu, baginda lah yang bantu beli bumbung dan beberapa kelengkapan bagi saya mulakan perniagaan ini.
Malahan baginda sendiri pernah datang minum kopi di kedai saya”.
Bersungguh-sungguh Ali menunjukkan kepada saya gambar kunjungan Tuanku Raja Muda Perlis ke warungnya itu.
Ali Kopi beroperasi jam 7 pagi hingga 9 malam dan tutup pada hari Isnin sahaja.
Semoga rezeki Pak Ali terus melimpah ruah, jom support. Nak cari lokasi? Apa ada hal, call saja Ali Kopi – 01158502107
Rakyat Malaysia sekali lagi tarik nafas lega setelah mendengar pengumuman dari Perdana Menteri sebentar tadi tentang pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 untuk pencarum KWSP.
Menerusi sidang media yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, beliau berkata berdasarkan dapatan kajian dalam situasi pandemik ini, ada keluarga yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina mula kedudukan.
Bagaimanapun, penjelasan lanjut tentang pengeluaran KWSP ini akan disampaikan oleh Menteri Kewangan Malaysia nanti.
Pada masa yang sama, beliau berkata keputusan kali ini amat sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat Malaysia. Namun, pengeluaran khas ini merupakan jalan tengah untuk mengimbangi keperluan mendesak sekarang dan penyimpanan pada masa hadapan.
Walaupun kerajaan telah memberikan kebenaran untuk pengeluaran kali ini tetapi beliau merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan kecuali apabila berdepan dengan keadaan yang mendesak.
“Walaupun kerajaan berikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
“Saya berharap para pencarum buat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan,” katanya.
Sebelum ini kerajaan telah membenarkan pengeluaran Caruman Kumpulan Wang Pekerja (KWSP) sebanyak 3 kali melalui skim iaitu I-Lestari, I-Sinar dan I-Citra bermula sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dari tahun 2020 hingga 2021.
Sehubungan itu, tambah Ismail, perincian pengeluaran khas tersebut akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) serta KWSP sendiri nanti.
Meneliti di ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia ucap rasa syukur berikutan pelbagai urusan yang memerlukan wang masih lagi tertunda akibat ujian yang melanda negara kita baru-baru ini.
Usia bukan penghalang buat pelakon Vanidah Imran, 48, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Seni Persembahan (Drama).
Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu menjadi seorang daripada penerima ijazah daripada lebih 7,682 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-61, Universiti Malaya berlangsung Sabtu lalu (12 Mac lalu) di Dewan Tunku Canselor universiti berkenaan.
Ibu kepada Mikail Aimran dan Maryam Rashika itu menggenggam sarjana danmenyarung jubah konvokesyen pada sidang ke-15 istiadat berkenaan yang berlangsung sejak 5 hingga 13 Mac.
Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 ini terlebih dahulu bergelar graduan ijazah sarjana muda Pengajian Bahasa Inggeris pada tahun 2015 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Kata bintang filem Red Kebaya itu, perjalanan empat tahun bagi melengkapkan tempoh pengajian itu bukan sesuatu yang mudah.
Apatah lagi perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan seni dan belajar pada masa sama.
“Pergelutan itu memang bukan calang-calang. Ia tak mudah langsung, tetapi saya bersyukur kerana dirahmati. Saya memiliki kawan yang sama-sama buat sarjana termasuk Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir.
“Kami bertiga berjanji, walau apa jua cabaran akan menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan membakar semangat antara satu sama lain.
“Saya juga beruntung kerana tak pernah putus sokongan daripada kawan lain seperti Prof Madya Aminah Rhapor, penyelia (Dr Marlenny Deenerwan), keluarga dan anak,” katanya.
Vanidah berkata dua anaknya sudah memahami rentak dan cara kehidupan.
“Anak saya tahu bila ibu mereka perlu lunaskan itu dan ini. Contohnya kalau saya kena mengadap tesis, tarikh akhir serahan tugasan dan sesi virtual. Tambah pula berdepan fasa genting di era pandemik COVID-19.
“Kalau saya tak sempat masak dan sediakan makanan, mereka pandai-pandai buat makan sendiri atau tempah dari luar,” katanya.
Vanidah pernah mengakui sebelum ini betapa ruginya tidak menyambung pengajian ketika masih muda.
“Apabila belajar di usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah.
“Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Tapi saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika ada anak kecil dan keluarga itu lebih buat saya jadi kuat.
“Namun sebanyak mana tekanan, tanggungjawab mahupun suntikan motivasi atau nasihat daripada orang lain, pada akhirnya kita yang mengharungi ‘battle’. Nak buat terbaik atau sebaliknya terserah kepada diri sendiri,” katanya.
Vanidah juga beruntung kerana faktor motivasi lain diterimanya datang daripada ayah tercinta.
Bapanya selama ini sebenarnya seakan tidak gemar melihat diri beliau memilih jalan sebagai anak seni. Bagi bapanya, kerjaya seni dilihat tidak mampu menjamin masa depan dan berharap suatu hari nanti Vanidah akan membuat keputusan atau benda lain.
“Bapa tak pernah jemu dan berhenti meminta saya sambung belajar. Kata-katanya seperti sampai bila nak kerja berlakon balik lewat pagi terus berbekas. Saya bersyukur Tuhan gerakkan hati untuk saya jadi realistik sekali gus sambung belajar.
“Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa. Ternyata apa yang bapa saya tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tak pernah menyangka akan dapat tawaran masuk dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.
“Itu semua antara hikmah yang dihamparkan apabila saya mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa yang tidak menentu tahap kesihatannya masih berpeluang menyaksikan kejayaan ini,” katanya.
Menghampiri tiga dekad bergelar anak seni, Vanidah optimis keputusan menyambung belajar juga didorongi pelbagai faktor termasuk termasuk realiti pentas hiburan itu sendiri yang masih goyah tanpa jaminan konkrit.
“Pentas seni di Malaysia bukan industri yang stabil selagi kita tak ada undang-undang untuk melindungi pemainnya. Ketika itulah saya terdetik memilih pilihan lain (sambung belajar) untuk merubah kehidupan dan buat keputusan lebih baik.
“Saya boleh terus merungut mengenai kerapuhan gelanggang seni, tapi ia seolah-olah tidak membawa pengakhiran bermakna. Sampai bila pun nak merungut ibarat ia takkan habis. Saya kena buat sesuatu termasuklah menyambung pengajian sarjana selepas menggenggam ijazah.
“Ia keputusan untuk masa depan saya dan anak. Saya harap ia juga dapat jadi contoh dan motivasi untuk anak ke depan nanti,” katanya.
Sekalipun akur dengan resam turun naik dunia seni, minat dan kecintaannya menghidupkan karakter lakonan tak pernah terpadam.
“Saya nikmati apa yang dilakukan selama ini dengan penuh rasa. Seperti mana saya cabar diri untuk sambung belajar selain mengajar, lakonan juga sudah sebati. Saya tak cakap tidak suka berlakon, namun industri itu sendiri sejak jejak bermula tahun 1993 sampai sekarang masih ada sisi ‘hitam’nya.
“Anak seni masih bergelut tanya hak atau perkara sama. Namun ibarat tiada siapa ambil peduli. Malah saya dengar daripada pelakon senior pun yang berjuang sekian lama, ia tak memberi apa-apa justifikasi mahupun perubahan. Akhirnya terpaksa menelan semua itu seperti tiada apa-apa berlaku.
“Sebanyak mana pun sayang dan cinta saya terhadap dunia seni, ada titik anjakan untuk saya buat sesuatu sebagai pilihan iaitu dengan mengutamakan pendidikan untuk perubahan kehidupan dan masa depan saya serta anak,” katanya yang bersemangat berkongsi ilmu dan pengalaman kepada generasi muda (pelajar).
Katanya lagi, kejayaan menamatkan pengajian ini juga lebih kepada kepuasan diri.
“Saya tak cuba buktikan apa-apa atau kepada sesiapa pun. Saya puas kerana suka belajar benda baru. Matlamat diri sendiri pun bertitik tolak kepada apa yang mahu dicapai dengan mencabar diri keluar dari zon selesa.
“Anak seni tak kira di depan atau belakang kamera juga sebenarnya ada yang mempunyai tahap pendidikan baik. Tapi sering dilihat seperti tin kosong. Macam ketika terbabit dengan penggambaran drama Kudeta (versi drama untuk filem Daulat) ada antara kru seperti pasukan tatarias sebenarnya berpelajaran tinggi,” katanya.
Tambah Vanidah, Ameen Mustajab yang juga ketua tatarias bagi drama itu (Kudeta) terbitan Laguna Pictures sebenarnya pernah menjadi akauntan di Jabatan Akauntan Negara.
“Ameen sendiri pernah skor A untuk subjek matematik tambahan. Pembantu jurusolek drama itu ada antara mereka memiliki ijazah senibina dan kejuruteraan sivil. Begitu juga di bahagian menjaga ‘wadrobe’ ada yang menggenggam ijazah kejuruteraan elektrik, perniagaan serta kewangan.
“Namun hakikatnya ramai berfikir orang kreatif dalam industri seni ini tak berpelajaran tinggi terutamanya pekerja belakang tabir. Yang mereka fikir, rasa atau nampak semuanya negatif tanpa ada sekelumit rasa mahu bertanya.
“Saya harap janganlah memandang sebelah mata dengan pukul rata. Cuma ada yang belajar pandai memilih untuk masuk ke industri seni. Sebenarnya anak seni ini lagi sensitif, penuh rasa empati, dan memahami orang lain.
“Tak dilupa, masa di penggambaran filem Imam pun saya berpeluang mengenali kru yang ada sarjana pengajian Islamik dan bakal sambung peringkat Doktor Falsafah. Malah ada mempunyai lulusan Universiti Al-Azhar di Egypt, Mesir,”katanya.
UNIQSAAS rasmi universiti al-Quran pertama Malaysia selepas dimasyhurkan Sultan Pahang. Penubuhan universiti ini menjadi sejarah baharu dalam pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.