Lagi Sihat Dan Sedap Kalau Guna Cara Ni Buat Tauhu Begedil. Anak Pun Suka!

Share

Keistimewaan makanan di Malaysia adalah dari kepelbagaian dan keunikannya yang memang susah nak cari sesuai dengan selera. Maka, olahan rasa itu juga sangat penting dalam sesuatu masakan. Kali ini, resipi tauhu begedil yang lebih sihat, tanpa goreng ini sangat sesuai terutamanya kepada kanak-kanak.

Melaui perkongsian daripada Siti Hazneza Abdul Hamid, resipi ini sangat berkhasiat dan lengkap dengan nutrisi. Selain itu, tauhu begedil ini juga memang sesuai dijadikan sebagai kudapan. Jadi, jika anda nak beri makanan yang menyihatkan tapi sedap untuk anak-anak boleh cuba resipi yang dikongsikan ini.

“Satu adunan ini dapat empat puluh biji. Makan malam lengkap dalam semulut: Karbohidrat daripada ubi kentang, protein daripada daging, tauhu dan telur, sayuran, lemak dan minyak”.

 

Tauhu Begedil

Bahan-bahan:

  1. Tauhu kering
  2. 6 biji ubi kentang, kupas dan hiris supaya cepat masak
  3. 3 ulas bawang putih
  4. 2 cawan air (mungkin boleh kurangkan jika hendak lebih pejal)
  5. 1 biji telur
  6. 1 sudu teh garam
  7. 1 sudu teh serbuk lada hitam
  8. ½ labu bawang besar dicincang halus
  9. ½ cawan campuran daun sup dan daun bawang yang dihiris halus
  10. ½ biji lobak merah dicincang halus

Cara Penyediaan:

– Didihkan ubi, bawang putih sehingga ubi empuk atau ¾ empuk untuk tekstur lebih pejal.

– Toskan ubi yang sudah empuk. Airnya jangan dibuang dahulu. Jika terlalu pejal/keras boleh tambah air rebusan untuk lembutkan sedikit.

– Masukkan 1 biji telur, 1 sudu teh garam dan 1 sudu teh serbuk lada hitam ke dalam pemproses makanan (food processor). Tidak perlu risau telur tidak masak kerana ubi masih panas dan cukup untuk memasak telur.

– Kisar sehingga halus begini. Nampak gebu dan berkrim.

– Alihkan ubi yang sudah halus ke dalam bekas yang sesuai untuk ditambah bahan-bahan lain. Jika hendak buat kentang putar (whipped potato), ini sudah siap. Boleh dihidang dengan sos lada hitam.

– Tumis daging cincang dengan ½ labu bawang besar dicincang halus. Tambah garam dan serbuk lada hitam secukup rasa.

– Masukkan daging cincang yang telah dimasak ke dalam ubi yang sudah dikisar. Tambahkan ½ labu bawang besar dicincang halus, ½ cawan campuran daun sup dan daun bawang yang dihiris halus dan ½ biji carrot dicincang halus.

– Gaulkan. Cantik bukan, warnanya? Jika hendak dijadikan samosa, boleh balut inti ini dengan kulit popia dan digoreng.

– Belah tauhu goreng, tekan isi tauhu supaya mampat dan masukkan isi pegedil sehingga penuh.

 

– Sapu dengan kuning telur. Bakar dalam oven pada suhu 180°C/ 350°F sehingga garing.

Sumber: Siti Hazneza Abdul Hamid

IKLAN