
Menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang bakal disambut oleh seluruh umat Islam beberapa hari sahaja lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai agar tidak bermain mercun untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, aktiviti bermain mercun boleh mengakibatkan kecederaan serius, kebakaran serta gangguan ketenteraman awam.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak main mercun tanpa kebenaran kerana itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara atau denda berat,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa sepanjang tahun ini, terdapat dua kes kecederaan akibat bermain mercun membabitkan dua kanak-kanak di Kedah dan Kelantan.
Di Kedah, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan pada tangan dan muka selepas mercun bola yang dinyalakannya meletup sebelum sempat dibaling.
Di Kelantan pula, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun putus tiga jari selepas mercun buatan sendiri yang digunakan meletup secara tiba-tiba.
“Kami bimbang kejadian seperti ini akan terus berulang, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan. Orang ramai, khususnya ibu bapa, perlu memantau aktiviti anak-anak dan menasihati mereka supaya tidak bermain mercun,” nasihatnya.
Katanya lagi, PDRM dan agensi keselamatan akan mempergiatkan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya bermain mercun.
“Kempen kesedaran perlu dianjurkan pada peringkat sekolah, masjid dan media sosial bagi menyampaikan mesej mengenai bahaya bermain mercun,” katanya.
Sumber: TV3
Lok Mee Wan, Anak Pengawal Keselamatan Penerima Anugerah Diraja PTSS, Mahu Ubah Nasib Keluarga

Lok Mee Wan, anak pengawal keselamatan penerima Anugerah Diraja PTSS, mahu ubah nasib keluarga. Mahu mengubah nasib keluarga menjadi antara pendorong kepada anak pengawal keselamatan, Lok Mee Wan berjaya menerima Anugerah Diraja pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Arau, Perlis.
Lok Mee Wan, Anak Pengawal Keselamatan Penerima Anugerah Diraja PTSS, Mahu Ubah Nasib Keluarga
Mee Wan, 22, graduan Diploma Pengurusan Pelancongan yang berasal dari Kamunting, Perak itu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Pengarah pada majlis konvokesyen yang dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Beliau berkata bapanya Lok Tart Chon, 59, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di Kamunting dan ibunya S. Kanagawaly, 64, menjadi pembakar semangat kepadanya untuk komited belajar bagi mencapai kejayaan.
“Pengajiandalam bidang ini ada enam semester dan semua semester saya dapat keputusan pointer dekan. Saya juga mempunyai tekad sendiri untuk berjaya dalam hidup,” katanya.
Anak kedua daripada dua beradik dan fasih berbahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Inggeris itu berkata beliau mempunyai minat dalam bidang pelancongan serta media dan komunikasi dengan menaruh impian untuk bergelar wartawan penyiaran mahupun penyampai berita pada masa depan.

“Walaupun saya belajar dalam bidang pelancongan di PTSS tetapi di PTSS tiada had atau tak menghalang pelajar menceburkan diri dalam bidang lain yang mana saya pernah menjadi Penerbit Berita bagi Kelab Berita Poli TV News di PTSS selama tiga semester,” katanya.
Mee Wan yang kini bekerja sebagai Guest Service Experience, Front Office di sebuah hotel mewah di Langkawi berkata, pencapaian tertinggi beliau dalam bidang media dan komunikasi ialah meraih gelaran juara untuk pertandingan English Newscasting Online menerusi BudiDarma English Festival 2021 (BUDAEFEST) anjuran Universitas Budi Darma di Medan, Indonesia pada 2021.
“Pertandingan ini disertai Malaysia, Indonesia dan Thailand. Saya memang minat menonton berita dan membaca surat khabar sejak kecil lagi. Saya juga mendapat tempat kedua dalam Ikon Siarawan bagi dua tahun berturut-turut pada 2021 dan 2022,” katanya.
Mee Wan yang pada masa ini turut membuat perniagaan kecil-kecilan mengait benang itu berkata, dia optimis dengan keupayaan menguasai kemahiran dalam bidang pelancongan serta media dan komunikasi memberikannya kelebihan untuk mengharungi cabaran masa depan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat ke majlis konvokesyen itu bagi mewakili Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis konvokesyen yang berlangsung sebanyak tiga sidang itu bermula meraikan 1,155 graduan lulusan diploma, asasi dan sijil dalam pelbagai jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tamat pengajian bagi tahun lepas dan tahun ini.
Sumber: Bernama
Baca artikel lain juga: “Nak Bawa Ibu Bapa, Isteri & Ibu Mentua Tunai Umrah.” Dulu Jual Nasi Lemak, Apex Juara Mentor 2019 Tekad Ubah Nasib Keluarga
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Anak Penghantar Makanan Raih Anugerah Peminjam Buku Terbanyak Selangor

Anak penghantar makanan raih anugerah peminjam buku terbanyak Selangor. Seorang pelajar berusia 13 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, Klang mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai peminjam buku terbanyak di Selangor, selepas berjaya meminjam sebanyak 1,378 naskhah buku sepanjang tahun lalu.
Anak Penghantar Makanan Raih Anugerah Peminjam Buku Terbanyak Selangor
Alif Zachary Mohd Arif, anak kepada seorang penghantar makanan, berkongsi bahawa kecintaannya terhadap buku telah menjadikan Perpustakaan Awam Selangor di Sungai Udang, Klang sebagai tempat kegemarannya sejak berusia enam tahun. Terletak hanya sekitar 30 meter dari rumah, perpustakaan itu dianggapnya sebagai ‘rumah kedua’.
“Saya mula membaca pelbagai jenis buku sejak kecil lagi dan hingga hari ini, saya masih kerap ke perpustakaan untuk membaca dan meminjam buku kegemaran,” katanya semasa ditemui pada acara Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 yang berlangsung di Pustaka Tun Raja Uda.
Menurut Alif, rutin hariannya diisi dengan aktiviti membaca selepas pulang dari sekolah, sementara waktu malam pula dimanfaatkan untuk menyambung pembacaan selepas menyiapkan kerja sekolah.
Atas pencapaian luar biasanya itu, Alif telah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dalam kategori kanak-kanak.
Alif turut menyatakan aspirasi untuk menjadi seorang guru Sains pada masa hadapan, memandangkan minat mendalamnya terhadap bahan bacaan berunsur ilmiah.
“Saya lebih suka membaca buku fizikal kerana lebih mudah difahami dan memberi impak yang mendalam. Sebagai anak tunggal, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan buku berbanding aktiviti lain bersama rakan sebaya,” ujarnya.
Dalam kategori dewasa pula, Nik Hasrol Hafiz Hashim, 39, menerima penghargaan setelah meminjam sebanyak 674 naskhah bacaan sepanjang tahun. Beliau, seorang pengurus peruncitan di syarikat swasta, turut membawa pulang ganjaran wang tunai RM1,500.
Nik Hasrol menjadikan membaca sebagai amalan sekeluarga dan berkata, dia dan isterinya sentiasa menggalakkan anak-anak mereka yang masih kecil – berusia lima tahun dan dua tahun setengah – untuk turut mencintai buku.
“Kami tidak mempunyai televisyen di rumah dan penggunaan gajet juga sangat minimum. Daripada jumlah keseluruhan buku yang dipinjam, sebahagiannya adalah untuk anak-anak kami,” katanya.
Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit yang berlangsung selama lima hari bermula 18 April itu merupakan acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Tahun ini menandakan penganjuran kali ke-12 program tersebut yang bertujuan untuk menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Sumber: Bernama
Baca artikel lain juga: Pelajar Perempuan Tingkatan Lima Hidap Leukemia Saya Sedih Tak Dapat Ke Sekolah
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Nama Popular Anak Pilihan Ibu Bapa, Muhammad, Abdul, Siti, Nur

Nama popular anak pilihan ibu bapa, Muhammad, Abdul, Siti, Nur. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias, nama-nama seperti Muhammad, Abdullah, Abdul, Nur, Siti, dan Nurul merupakan antara yang paling kerap digunakan dalam pendaftaran nama rakyat Malaysia setakat ini.
Nama Popular Anak Pilihan Ibu Bapa, Muhammad, Abdul, Siti, Nur
Beliau menjelaskan bahawa nama-nama tersebut sering menjadi pilihan kerana ia mencerminkan identiti Islam serta budaya Melayu. Biasanya, nama-nama ini akan digabungkan dengan nama kedua untuk melengkapkan nama penuh seseorang.

“Ramai ibu bapa membuat rujukan daripada pelbagai sumber seperti buku nama bayi, laman web keibubapaan, al-Quran, hadis dan juga pakar bahasa bagi memilih nama terbaik untuk anak mereka,” ujar beliau kepada Bernama.
Badrul Hisham turut menyatakan bahawa terdapat kecenderungan dalam kalangan ibu bapa masa kini untuk memilih nama yang sedap didengar, senang diingati, serta membawa maksud yang baik dan positif.
Nama-nama berunsur Arab dan Islam seperti Aisyah, Maryam, serta Rayyan kekal menjadi pilihan popular kerana makna indah yang terkandung dalamnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat perubahan dalam cara ejaan nama, di mana sesetengah ibu bapa memilih versi yang lebih moden. Sebagai contoh, nama klasik seperti “Amir” diubah kepada “Ameer”, manakala “Zahra” menjadi “Zara”.
Tambahnya lagi, berdasarkan data JPN, terdapat nama yang sepanjang 15 perkataan dan juga nama paling ringkas yang hanya terdiri daripada dua huruf.

Walau bagaimanapun, Badrul Hisham mengingatkan ibu bapa agar mendapatkan nasihat dan penjelasan daripada JPN sekiranya terdapat kekeliruan dalam memilih nama untuk didaftarkan.
Mengikut peruntukan di bawah Seksyen 16, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi Semenanjung Malaysia, Pendaftar Besar mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak pendaftaran sesuatu nama.
JPN turut menyediakan satu garis panduan yang dinamakan “Arahan Jabatan mengenai Prosedur Penamaan Kanak-Kanak Semasa Pendaftaran Kelahiran” untuk dijadikan panduan oleh para pendaftar.
Arahan ini menggariskan tiga kategori penamaan yang perlu diberi perhatian, iaitu: nama yang dilarang seperti pangkat dan gelaran; nama yang dianggap tidak sesuai; serta penamaan berdasarkan keturunan.
Antara gelaran yang tidak dibenarkan digunakan sebagai nama anak termasuklah Tan Sri, Datuk, Datuk Seri, Tun, Haji, Nabi, Gabenor, Dr, dan Mahaguru.
Selain itu, nama yang merujuk kepada haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran dan peralatan juga tidak digalakkan. Penggunaan singkatan seperti D, Mohd, Abd, M dan seumpamanya juga tidak dibenarkan.
Bagi nama berasaskan keturunan, pertimbangan akan dibuat berdasarkan bukti sama ada gelaran tersebut benar-benar diwarisi daripada keluarga, contohnya seperti Tengku, Megat dan Puteri.
Untuk masyarakat bukan Islam, mereka juga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan, termasuk larangan menamakan anak dengan nama-nama yang merujuk kepada Tuhan.
Sumber: Harian Metro Kredit foto top image: Freepik
Baca artikel lain juga: Apa Hukum Letakkan Nama Anak Dengan Nama Malaikat?
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my