Masih lagi tidak dijumpai! Lebih 36 jam berlalu selepas Hud Aryan Mohd Nor Hafifi dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Air Kuala Tiga di sini, namun belum ada petunjuk mengenai keberadaan kanak-kanak berusia 19 bulan itu.
Kehilangan anak kecil ini di rumahnya, terus membuatkan ibu ayah dan ahli keluarga resah dan berduka.
Malah menerusi perkongsian Harian Metro, sejak malam ibunya yang masih tidak keruan dan berharap anak tunggalnya ditemukan dalam keadan selamat.
Menurut ibu saudara bayi itu, Azean Suhaily Ramley, 39, kehilangan Hud Aryan sangat memberi kesan kepada ibunya, Azean Nur Atikah, 34, kerana anak saudaranya itu adalah anak tunggal.
Ujarnya lagi sehingga kini adiknya banyak menangis memikirkan nasib Hud Aryan yang hilang tanpa jejak.
Ads
“Atikah berkahwin sejak 2017 lagi dan dua tahun lalu baru berpeluang menimang cahaya mata. Belum puas bermanja, ini pula yang terjadi.
“Kami tidak putus harapan dan masih berdoa sambil berharap ada keajaiban. Tapi dalam masa yang sama, reda dengan ujian ini,” katanya.
Ads
Sejak kehilangan Hud Aryan, dalam usaha mencari dan menjejaki Hud, solat hajat terus dibuat sama ada di rumah atau masjid di kampung terbabit.
“Tak henti-henti solat hajat dibuat dan kami tetap berdoa Hud ditemukan walau apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ads
Anjing pengesan Unit K9 bantu cari Hud
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan penyelamat akan diteruskan jam 9 pagi ini dalam usaha mengesan kanak-kanak itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, berkata operasi akan menggunakan dua anjing pengesan dari Unit K9.
Terdahulu, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi dilaporkan hilang apabila disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam Isnin lalu oleh ahli keluarga.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Budak lelaki 11 tahun perlu bantuan tangan palsu, tangan kanan dipotong akibat kanser tulang. Seorang murid lelaki berusia 11 tahun, Muhammad Iqbal Hakim Baharin, kini berhadapan dengan cabaran besar dalam hidup apabila tangan kanannya terpaksa dipotong akibat kanser tulang tahap empat yang dikenali sebagai right humerus osteosarcoma.
Muhammad Iqbal, yang sebelum ini aktif dan menggunakan tangan kanannya untuk menulis serta menjalani rutin harian, kini sedang belajar menyesuaikan diri menggunakan tangan kiri. Dia yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Paya Besar, terpaksa berhenti sementara dari persekolahan sejak menjalani pembedahan pada 22 Mei lalu bagi tujuan pemulihan.
Ibunya, Nor Athykhoh Mohd Nordin, 43, menceritakan bahawa simptom awal bermula dengan Iqbal mengadu sakit pada lengan kanannya, yang disangka hanya lenguh akibat membawa beg sekolah. Namun, kesakitan tersebut menjadi semakin teruk hingga menjejaskan keupayaan anaknya untuk menahannya.
“Masa itu saya bawa dia ke Hospital Pulau Pinang. Selepas menjalani ujian dan pengambilan sampel, doktor mengesahkan dia menghidap kanser. Berita itu amat meruntun hati saya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Kobis.
Menurut beliau, doktor menjelaskan bahawa kanser berkenaan telah merebak dan tangan Iqbal tidak dapat diselamatkan. Mereka diberi pilihan untuk membuang tangan dalam masa 72 jam atau berdepan risiko kehilangan nyawa.
“Saya cuba minta doktor cari alternatif lain agar tangan anak saya tidak dipotong, tetapi doktor beritahu tiada pilihan lain. Untuk selamatkan nyawanya, pembedahan mesti dilakukan,” katanya lagi.
Walaupun pada awalnya sukar untuk menerima kenyataan, Nor Athykhoh dan suaminya, Baharin Baharom, 42, akhirnya reda dengan ketentuan tersebut. Iqbal merupakan anak sulung daripada dua beradik, dan mereka kini memberi sepenuh perhatian terhadap pemulihan anak mereka.
“Sebagai ibu, saya sangat sedih. Tapi saya tahu saya perlu kuat. Dulu dia sangat aktif di sekolah. Sekarang kami perlu sokong dia supaya terus bangkit dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Keluarga tersebut kini hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai operator kilang. Beban kos ulang-alik ke Hospital Pulau Pinang dan rawatan kemoterapi menjadikan keadaan mereka semakin mencabar.
Tambah Nor Athykhoh, Iqbal sangat bersemangat untuk kembali ke sekolah. Oleh itu, mereka kini sedang berusaha mendapatkan tangan palsu, dan jika boleh, tangan prostetik robotik yang dapat membantunya melakukan pergerakan seperti biasa.
“Dia selalu cakap dia nak kembali belajar. Dia minat sangat melukis dan menulis. Saya harap ada pihak yang dapat bantu realisasikan impian dia,” jelasnya dengan penuh harapan.
Impian Iqbal: Jadi Anggota Polis dan Bermain Bola Kembali
Iqbal sendiri menyatakan rasa rindu untuk bertemu rakan-rakan dan guru di sekolah. Dia bertekad untuk terus belajar demi mengejar cita-citanya menjadi seorang anggota polis.
“Saya juga suka main bola. Dulu saya selalu main di sekolah,” katanya sambil tersenyum, meskipun melalui ujian berat.
Tahniah Fattah Amin diatas pelantikan sebagai Ketua Eksekutif Pemasaran Pak Mat Western Group! Dalam dunia hiburan, nama Fattah Amin tidak lagi asing. Namun, di sebalik senyuman dan kilauan populariti yang sering dilihat, ramai tidak tahu bahawa perjalanan hidupnya dipenuhi pelbagai cabaran yang menguji kekuatan mental dan emosinya.
Selebriti yang pernah meniti pelbagai fasa jatuh bangun ini tidak pernah menjadikan dugaan hidup sebagai alasan untuk berhenti. Sebaliknya, ia menjadi batu loncatan untuk terus berusaha, memperbaiki diri, dan bangkit dengan lebih kuat.
Fattah pernah melalui fasa-fasa sukar yang hampir membuatnya tersungkur, tetapi beliau tetap percaya bahawa setiap ujian yang Allah berikan pasti hadir dengan hikmah. Dalam kesederhanaan usaha dan kesabaran, rezeki akhirnya melimpah ruah. Kejayaan beliau hari ini bukan sahaja hasil kerja keras tetapi juga berkat doa, tawakal, dan sokongan insan-insan tersayang.
Terbaru, peluang keemasan mengetuk pintu rezekinya apabila beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pemasaran Pak Mat Western Group. Tawaran ini bukan sahaja membuka ruang untuk beliau menceburi bidang baharu tetapi juga menjadi bukti bahawa usaha tanpa mengenal lelah pasti membuahkan hasil.
Dalam satu komennya merusi instagramnya, Fattah meluahkan rasa syukur atas peluang ini
Kisah Fattah Amin ini menjadi pengajaran bahawa ujian dalam hidup bukan pengakhiran tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih indah. Semoga beliau terus maju dalam mencipta kejayaan, bukan sahaja sebagai selebriti tetapi juga sebagai seorang ikon yang mampu menginspirasikan ramai.
Dalam pada itu, pihak Pak Mat Western Group mengucapakan tahniah kepada pelakon terkenal ini.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Fattah dengan perlantikannya. Ramai yang kagum dan puji atas usahanya. Peminat juga menitipkan doa kepada pelakon pujaan ramai ini.
Fizz Fairuz tinggalkan Suria FM demi keluarga dan anak-anak. Fizz Fairuz undur diri sebagai penyampai radio Suria FM selepas 1 tahun 6 bulan. Pelakon berpengalaman, Datuk Fizz Fairuz, mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai radio Suria FM selepas 18 bulan bersama segmen Morning Morning Suria.
Dalam siaran terakhirnya hari ini, Fizz yang kelihatan sebak, mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Suria FM atas peluang yang diberikan sepanjang perkhidmatannya sebagai penyampai.
“Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM. Terima kasih banyak kepada seluruh pasukan, minta maaf atas setiap silap dan salah saya selama saya di sini, saya pula seorang yang terlalu sempurna mungkin ada orang sukar ikut dan sebaliknya,” katanya penuh emosi.
Menurut Fizz, kerjaya sebagai penyampai radio merupakan antara impiannya sejak dahulu dan dia bersyukur dapat merealisasikan cita-cita itu.
“Terima kasih banyak sebab beri peluang untuk saya merasa dan realisasikan impian untuk menjadi penyampai radio. Saya sudah jadi pengarah, pelakon dan kini di radio. Saya jadi penyampai radio ini pun saya minat termasuk suka melakukan drama radio.
Akhirnya tercapailah impian saya untuk jadi penyampai radio,” katanya lagi.
Dalam ucapan perpisahannya, Fizz turut menitipkan amanat istimewa kepada rakan penyampainya, Ajak Shiro dan Kai Hassan agar meneruskan rutin yang dekat di hatinya – mengingatkan pendengar agar tidak melupakan solat Subuh.
“Jangan lupa, segmen saya sebelum ini pada pukul 6 pagi ialah mengingatkan pendengar agar tunaikan solat subuh. Beritahu kepada mereka (pendengar). Sejadah yang saya gunakan itu, saya tinggalkan di sini, gunalah,” ujar Fizz.
Menjelaskan keputusannya untuk tidak menyambung kontrak, Fizz berkata fokusnya kini lebih terarah kepada keluarga, terutamanya anak-anak yang masih kecil dan isterinya, pelakon Almy Nadia, yang sebelum ini terpaksa menguruskan mereka seorang diri setiap pagi.
“Saya rasa cukup rasanya untuk tempoh satu tahun enam bulan ini sebab anak saya masih kecil. Saya juga mahu uruskan anak-anak, kasihan kepada isteri yang terlalu sibuk.
Saya ambil pendekatan untuk sama-sama berkorban, Insya-Allah rezeki itu ada di mana-mana. Jadi saya mahu kembali dalam dunia seni untuk berlakon drama dan filem,” katanya.
Fizz mula menyertai Suria FM secara rasmi pada 21 Januari 2024 dengan kontrak awal selama setahun, dan kemudian diteruskan beberapa bulan lagi sebelum beliau membuat keputusan untuk berundur.
Dalam pada itu, Almy Nadia menerusi InstaStory menyatakan sokongan dan doa buat suaminya, mendoakan agar kehidupan mereka dilimpahi keberkatan serta dijauhkan daripada individu berniat tidak baik.
“Permulaan yang baik, di hari Jumaat yang baik, ditemukan dengan orang yang baik, dijauhi dengan orang yang hati busuk dan suka aniaya orang. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah. Love you sayang, i always love you. Mama sentiasa ada dengan sayang,” tulis Almy.
Dalam satu lagi hantaran, Almy merakam detik gembira melihat Fizz pulang ke rumah selepas menamatkan tugasan terakhirnya sebagai penyampai radio.
“Yeay, dia sudah pulang. Kereta yang dipandunya itu akan jadi milik saya, hantar anak-anak ke sekolah,” katanya sambil menyambut kepulangan suaminya dengan ceria.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.