Ya! Esok 23 November adalah hari yang cukup mendebarkan buat anak-anak yang telah mengambil keputusan UPSR pada tahun ini. Ibu bapa juga terkesan hebat terganggu emosinya. Bimbang hingga tidak tidur lena dibuatnya malah ada juga hingga detik ini kian berasa gugup dan gementar untuk menanti apakah keputusan UPSR yang bakal diraih oleh anak mereka.
Oleh itu ikuti perkongsian pengalaman Encik Ammar Kamilin yang juga merupakan seorang penulis buku yang hebat. Beliau melalui detik tersebut pada tahun yang lalu dan perkongsiannya kali ini cukup menyentuh jiwa dan diharapkan membuka minda kita semua.
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan,
“Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa.
Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.”
Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut.
“Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri.
Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ads
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Ads
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
Ads
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
>>>
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
sumber : Ammar Kamilin
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Setiap hari, sebaik matahari terbit, tugas seorang isteri sudah bermula. Sama ada bekerja atau pun tidak kesibukannya sama sahaja. Terkejar ke sana, terkejar ke sini demi memastikan keluarga tersayang tidak berkurang satu apa pun.
Namun pada saat-saat begini banyak hati wanita yang mendongkol marah dan geram. Apa tidaknya. Sedang si isteri bertungkus lumus mengerjakan apa yang patut, ada suami bersantai-santai di sofa sambil menonton televisyen dan membaca surat khabar.
Bukan mahu mendabik dada, tetapi memang kenyataannya. Rutin seorang wanita bermula sebaik celik mata sebelum subuh hinggalah saat melabuhkan tubuh di katil. Letih yang dirasakan memang tidak terucap dengan kata-kata.
Namun berlainan sekali dengan rutin seorang lelaki@suami (maaf, mungkin tidak semua). Bangun pagi sarapan sudah tersedia. Pulang dari pejabat, selepas makan malam sudah boleh berehat sambil menonton rancangan kegemaran di ruang tamu. Aduhai…seronoknya menjadi seorang lelaki@suami!
Rasanya ini bukanlah satu isu yang baru. Malah sejak bertahun-tahun perkara ini sering menjadi topik perbincangan hangat. Namun ia masih menjadi satu tabu dalam rumah tangga. Walaupun kini semakin banyak suami yang ringan tangan membantu dalam menguruskan kerja-kerja di rumah, namun bebanan tugas masih 90 peratus terletak di `batu jemala’ isteri.
Saling membantu
Kita sudah sedia maklum yang Islam amat menuntut agar setiap pasangan suami isteri mengamalkan sikap saling bantu membantu. Nabi Muhamad SAW sendiri sentiasa membantu isteri-isteri Baginda dalam hal ehwal rumah tangga dan urusan anak.
Sikap Baginda ini sepatutnya menjadi ikutan para lelaki bergelar suami. Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud): “Aku adalah sebaik-baik suami yang berbuat baik kepada ahli keluargaku. Contohilah aku.”
Sudah sewajarnya para suami mengambil iktibar daripada hadis tersebut dalam melayari bahtera rumah tangga. Walaupun Baginda (s.a.w) sibuk menjalankan tugas sebagai Rasul, pemimpin ummah dan Negara dan sebagai panglima perang, namun Rasulullah (s.a.w) tetap dapat meluangkan masa membantu isterinya membuat kerja rumah seperti menjahit pakaian yang dan membaiki kasut.
Suami sebagai ketua keluarga seharusnya menjadi pemimpin dan pelindung. Bukan hanya tahu memberi arahan semata-mata. Apatah lagi sekarang ini kebanyakan pasangan suami isteri berkerjaya. Jadi rasanya tidaklah salah jika mereka saling membantu dalam menguruskan rumah tangga.
Memang banyak lelaki yang mempunyai ego tinggi. Tetapi ini bukanlah masa untuk menunjukkan ego. Dalam urusan rumah tangga ini para suami perlu belajar untuk mengurangkan rasa ego dan membantu isteri membuat kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak, mengurus anak, membersihkan rumah dan sebagainya. Lagipun banyak kebaikan dalam kita bekerjasama menguruskan rumah tangga. Antara manfaat paling besar ialah dapat merapatkan lagi hubungan dan menambahkan rasa kasih sayang.
Pregnancy/Birth :Young married couple embraces standing near table in kitchen. Husband hugs his pregnant wife, putting his hands on her big belly, woman is preparing breakfast. Lifestyle, couple in love, happy people.
Andai suami enggan membantu, isteri jangan cepat berputus asa. Sebaliknya cubalah bersikap bijak dan menegur secara baik dan lemah lembut. Tindakan ini sangat bersesuaian dengan peranan isteri sebagai penasihat dalam rumah tangga selain dapat menjaga keharmonian rumah tangga.
Mengajak suami
Dalam menguruskan rumah tangga, kerjasama suami dan isteri amatlah diperlukan. Lantaran itu hal ini elok dibincangkan bersama. Perbincangan akan memberi ruang untuk kita lebih saling mengenali dan `menguraikan’ apa yang tersimpul dan terpendam.
Banyak isteri yang mahu menjadi `isteri mithali’ sehingga takut untuk meminta suami membantu kerja rumah. Ini bukan soalnya kerana `membiarkan’ suami begitu sahaja boleh menyebabkan dia menjadi “pemalas’! Lagipun bukan suami tidak pernah melakukannya sebab kerja-kerja rumah bukanlah suatu yang asing sewaktu dia hidup bujang dahulu.
Mungkin cara terbaik untuk meminta bantuan suami adalah dengan mengajak dia menemani anda sewaktu anda sedang melakukan kerja-kerja tersebut. Misalnya ketika anda hendak memasak, ajak dia bersembang dengan anda di dapur.
Suami mungkin mulanya akan berasa janggal dan menolak permintaan anda. Tetapi cubalah pujuk dia dengan lembut dengan alas an mahu berkongsi banyak cerita menarik dengannya sambil anda membuat kerja rumah. Bila dia selalu bersama, anda boleh meminta dia membantu membuat kerja yang mudah seperti memotong sayur atau bawang. Nanti setelah terbiasa, dia tidak akan kekok lagi membantu anda.
Selain itu dengan selalu melihat anda sibuk membuat kerja rumah, mungkin suami akan perasan betapa sibuknya anda di rumah. Baik juga secara bergurau anda luahkan betapa penatnya anda dan betapa seronoknya jika suami dapat membantu.
Juga manfaatkan cuti hujung minggu untuk membuat kerja rumah bersama-sama lebih-lebih lagi menjelang hari raya nanti. Ia tidak semestinya diisi dengan berjalan-jalan sahaja. Mengisi hujung minggu dengan membuat kerja membersihkan rumah bersama-sama, termasuk anak-anak sekali, pasti lebih menyeronokkan dan menyenangkan daripada melakukannya sendiri.
Hargai suami
Apabila suami ringan tulang membantu kerja rumah, jangan pula anda berat mulut untuk memujinya. Ini penting kerana itu tandanya anda menghargai bantuannya. Ini pasti membuat dia berasa lebih gembira dengan apa yang dilakukan. Penghargaan dapat diberikan dalam bentuk ucapan terima kasih mahupun pelukan hangat.
Namun andai suami masih berat tangan untuk membantu, jangan berputus asa. Sentiasa panjatkan doa kepada Allah agar melembutkan hati suami. Amalkan juga membaca surah al-Insyirah sebagai doa pelembut hati. Baca ayat ini ketika memasak atau menyediakan minuman sambil berdoa agar suami dilembutkan hati dan ringan tulang untuk membantu anda menyelesaikan kerja rumah.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Lebih sebulan dirawat di Hospital Kuala Lumpur, pelakon Aripah Damanhuri, 73 meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada seluruh organ.
Berita duka tersebut disahkan oleh anak bongsu kepada pelakon itu iaitu Fais Nurpais Ismail ketika dihubungi mStar.
Menurut Fais, jenazah ibunya masih berada di hospital dan akan dibawa ke surau Al Tarbiyah Taman Melewar kemudian disemadikan di anah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda.
“Ya, mak baru saja meninggal pada pukul 8.15, tadi di wad 23, HKL. Jenazah masih berada di wad dan Insya-Allah urusan mandi dan kafan akan dilakukan di HKL melalui foresik.
“Kemudian akan bawa jenazah pergi ke surau Tarbiyah Taman Melewar untuk urusan solat. Insya-Allah jenazah akan dikebumikan di Raudhatul Sakinah , dekat area Batu Muda.
“Cumanya pukul berapa sampai sana, saya akan maklumkan kemudian… Insya-Allah.
“Pohon sedekahkan doa kepada mak ya. Kalau mak ada apa-apa hutang yang belum langsai, hubungilah saya, Insya-Allah,” ujar Fais lagi.
Pada 23 April lalu, Aripah Damanhuri, 73, dimasukkan ke HKL kerana paras oksigen menurun dan terpaksa ditidurkan selepas disyaki mendapat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Anaknya, Fais Nurpais memaklumkan Aripah diberikan bantuan pernafasan selain semua jenis ubat penguat jantung sudah dihentikan.
Malah, organ-organ pelakon itu juga semakin sembuh daripada jangkitan kuman.
Adik kepada Allahyarham Aripah iaitu pelakon Normah Damanhuri berkata kakaknya ketika itu menunjukkan perkembangan positif.
Biarpun belum sedar sepenuhnya, namun kakaknya itu memberi respons setiap kali dipanggil.
Allahyarham mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak 1980 an dan kekal aktif dalam televisyen dan filem.
Antara filem lakonannya iaitu Senario XX (2005) dan 8 Jam (2012) manakala drama berjudul Airmata Maria, Gerak Khas musim 11 dan Antara Maghrib dan Isyak.
Mendengar sahaja perkataan kanser, pasti menyebabkan rasa gerun di hati. Apatah lagi kanser ini menyerang tak kira tua atau muda, lelaki mahu pun perempuan. Bahkan penyakit kanser juga dikatakan menjadi penyebab kematian yang tertinggi, iaitu kedua selepas menyakit jantung di negara kita.
Dianggarkan satu daripada 10 lelaki, manakala satu daripada sembilan wanita di negara ini berkemungkinan menghidap penyakit kanser, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, unjuran itu berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) yang melaporkan peningkatan sebanyak 11 peratus atau 115,238 kes kanser bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes pada 2007 hingga 2011.
Selain itu, katanya, sebanyak 63.7 peratus daripada keseluruhan kes kanser di negara ini dikesan pada tahap lewat iaitu Tahap 3 dan 4 serta memerlukan kos rawatan tinggi dan peluang untuk sembuh lebih rendah berbanding jika ia dikesan pada tahap awal.
Beliau berkata, kematian akibat kanser adalah sebab utama kematian di hospital swasta iaitu 34.95 peratus, manakala punca kematian keempat di hospital KKM iaitu 11.56 peratus.
Tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di negara ini ialah kanser kolorektal iaitu 16.9 peratus, kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus), manakala bagi wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus) diikuti kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).
“Kanser juga adalah antara 10 sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital, masing-masing 5.17 peratus di hospital KKM dan 5.37 peratus bagi hospital swasta.
“Penerbitan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan pada 2020, apabila jumlah semua kematian akibat kanser digabungkan, ia menyumbang sebanyak 14.8 peratus daripada keseluruhan kematian, menjadikan kanser sebagai penyebab kematian kedua penting selepas penyakit jantung Ischemic Heart Disease (17 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 serta pelancaran buku National Strategic Plan for Cancer Control Programme (NSPCCP) 2021-2025 dan buku National Strategic Plan for Colorectal Cancer (NSPCRC) 2021-2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Pengarah IKN, Dr Mohd Anis Haron@Harun; Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Datuk Dr Saunthari Somasundram dan Pengerusi Malaysian Cancer Care Coalition, Dr Sanjeev Kumar Panchal.
Khairy berkata, kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit selepas lima tahun menghidap kanser adalah 11 peratus bagi kanser paru-paru, manakala kanser kolorektal (51.1 peratus); kanser serviks (51.6 peratus); kanser payudara (66.8 peratus) dan kanser prostat (73 peratus).
Cegah Dengan Amal Hidup Sihat
Beliau berkata, tahap kanser semasa penyakit itu dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit, selain kajian menunjukkan 30 hingga 50 peratus kanser boleh dicegah dengan pembudayaan hidup sihat.
Ini kerana, katanya, satu pertiga daripada kematian akibat kanser dikaitkan dengan lima amalan hidup berisiko iaitu pengambilan tembakau termasuk merokok, berat badan berlebihan, pengambilan alkohol berlebihan, kurang pengambilan sayur dan buah serta tidak aktif secara fizikal.
“Pencegahan adalah amat penting. Sehubungan itu, promosi kesihatan adalah penting sebagai langkah agar orang ramai cenderung ke arah pembudayaan hidup sihat dalam mengurangkan berisiko.
“Promosi pembudayaan hidup sihat juga adalah salah satu teras utama di dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat dilaksanakan KKM bermula pada 2021.
“Pengambilan tembakau adalah faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat kanser. Dianggarkan kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM 132.7 juta,” katanya.
Penjagaan & Rawatan
Dalam pada itu, Khairy mengakui wujud ketidaksamaan dalam penjagaan dan rawatan kanser di negara ini, selain menjelaskan Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi adalah komponen utama dalam rawatan kanser yang perlu dipertingkatkan terutamanya dari aspek kepakaran serta akses.
Beliau berkata, selain Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi, Perkhidmatan Rehabilitasi dan Penjagaan Paliatif juga belum mencukupi serta perlu dipertingkatkan.
Malaysia ketika ini hanya mempunyai 128 pakar onkologi, masing-masing 36 orang di KKM, manakala 14 lagi di hospital universiti dan 78 orang di hospital swasta, selain tujuh orang sedang menunggu untuk diwartakan sebagai pakar.
Hanya enam daripada 36 Pusat Rawatan Kanser di seluruh negara adalah di bawah KKM, iaitu Hospital Kuala Lumpur, Institut Kanser Negara, Hospital Sultan Ismail di Johor, Hospital Pulau Pinang, Hospital Likas di Sabah dan Hospital Umum Sarawak, manakala empat lagi di hospital universiti dan swasta (27).
“KKM belum mempunyai Pusat Rawatan Kanser di utara dan Pantai Timur. Pesakit dari Pantai Timur perlu ke Kuala Lumpur atau ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan.
“Bagi pesakit dari utara, Hospital Pulau Pinang hanya mempunyai tenaga kepakaran tetapi tidak mempunyai perkhidmatan radioterapi, justeru perlu menyumberluarkan rawatan radioterapi ke hospital swasta,” katanya.
Jangan pandang ringan jika ada sebarang simptom tau! Lebih-lebih lagi yang membawa ke arah kanser. Jangan ambil mudah! Jom dengar perkongsian dari Dr Salmi Daraup tentang kanser serviks.
Jom saksikan juga video tentang penjagaan gigi. Katanya ada cara berus gigi yang betul. Jadi nak tahu detail, kenalah tonton video ni ye!
Tonton juga video ini rupanya macam-macam aksesori ada untuk memudahkan kita memasak menggunakan airfryer.
Keriangan Famili, jom kita melancong secara maya bersama E-Keluargagader dengan menonton video percutian di The Bentong Farm. Best kalau dapat bawa anak-anak ke sana.
Selalu anak-anak tengok haiwan di buku atau tv je kan? Haa ni peluang anda untuk bawa seisi keluarga tengok secara VIRTUAL dengan sertai E-Keluarga Gader bersama kami. Apa yang LEBIH SYOK, setiap penyertaan dengan bayaran RM30, anda layak menerima 1 TIKET FARM IN THE CITY secara PERCUMA!
Fizz Fairuz tinggalkan Suria FM demi keluarga dan anak-anak. Fizz Fairuz undur diri sebagai penyampai radio Suria FM selepas 1 tahun 6 bulan. Pelakon berpengalaman, Datuk Fizz Fairuz, mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai radio Suria FM selepas 18 bulan bersama segmen Morning Morning Suria.