“Lupa Rumah Banjir Demi Janji.” Yantzen Teruskan Show Ketika Rumah Ditenggelami Air, Anggap Rezeki Ketika Diuji

Share

Tatkala kediamannya rosak teruk dilanda banjir, namun empunya diri masih tetap meneruskan komitmennya Dalam memenuhi undangan membuat persembahan Di Terengganu.

Pemilik nama penuh Yantzen Juniwan yang baru menyambut ulang tahun ke 63 pada 2 Disember lalu memberitahu, persembahan majlis makan malam tahunan sebuah syarikat di Pantai Timur itu sudah dipersetujui lama.

Demikianlah kuat dan tabahnya penyanyi Yantzen. Sanggup melupakan seketika masalah peribadi kerana tidak mahu menghampakan undangan sebuah syarikat.

Bahkan dia menganggap tawaran itu sebagai rezeki ketika diuji apabila kediaman di Batu 12, di sini, ditenggelami air, minggu lalu.

“Saya tak mahu hampakan, lagipun, minat menyanyi masih menebal. Saya terpaksa lupakan seketika masalah rumah rosak akibat banjir.

“Mujur ketika kejadian itu, saya sempat selamatkan beberapa helai persalinan ‘show’. Saya anggap ini (tawaran persembahan di Terengganu) sebagai rezeki.

“Tanpa diduga, syarikat terbabit turut melancarkan kutipan derma untuk mangsa banjir termasuk saya,” katanya ketika ditemui BH Online di kediamannya di sini, hari ini.

Yantzen berkata, sumbangan diterima pada acara persembahan itu dikongsi kepada jiran dan pihak lain yang memerlukan.

Yantzen yang mendiami rumah diberi nama The Legacy Villa sejak lima tahun lalu, bersyukur dikelilingi teman-teman ketika diri diuji.

“Saya tidak pernah rasa sebatang kara sejak hidup menduda kira-kira 17 tahun lalu. Rumah ini ada tiga bilik dan sebuah kamar dikhaskan untuk anak tunggal, Muhammad Aliff Ronan.

“Beberapa hari lalu, anak saya datang dan kami sama-sama membersihkan rumah. Anak beri saya RM300. Besar atau kecil nilainya, saya tidak fikir pun.

“Bagi saya, pemberian itu tetap bermakna dan nilainya lebih daripada itu,” katanya.

Mengimbau insiden rumah ditenggelami air, Yantzen berkata, beberapa teman datang menziarah pada malam kejadian dan akhirnya, mereka sama-sama terperangkap atas loteng rumah.

Walaupun kediamannya rosak teruk, namun Yantzen  membuat keputusan untuk kekal tinggal di situ.

 

IKLAN