Ads

“Kerjaya Boleh Dibina Semula, Masa Dengan Ibu Takkan Berulang”, Madnor Pilih Keluarga Selepas Ibu Diserang Strok

Ketika ramai anak muda sibuk mengejar kestabilan kerjaya dan masa depan yang lebih terjamin, pempengaruh media sosial Madnor atau nama sebenarnya Muhammad Noor Zakaria memilih jalan yang berbeza apabila sanggup melepaskan pekerjaan tetap demi menjaga ibunya yang diserang strok.

Keputusan besar itu dibuat selepas ibunya mengalami serangan strok pada awal tahun 2025 dan memerlukan penjagaan sepenuh masa, terutama dalam tempoh enam bulan pertama. Bagi Madnor, ketika itu tiada perkara yang lebih penting selain berada di sisi insan yang telah banyak berkorban membesarkannya.

“Kerjaya Boleh Dibina Semula, Masa Dengan Ibu Takkan Berulang”, Madnor Pilih Keluarga Selepas Ibu Diserang Strok

Menurut Madnor, dia tidak berhenti kerja kerana mahu mengejar populariti atau semata-mata mahu menjadi usahawan. Sebaliknya, dia memerlukan masa yang lebih fleksibel untuk memberi perhatian kepada ibunya.

“Saya berhenti kerja sebab saya perlukan fleksibiliti. Mak saya kena strok dan enam bulan pertama memang perlukan penjagaan sepenuhnya.

Pada mulanya majikan beri peluang untuk saya bekerja secara fleksibel. Saya cuba uruskan kerja, kemudian balik untuk mandikan mak dan menjaganya.

Tapi lama-kelamaan saya penat. Akhirnya saya buat keputusan berhenti supaya saya benar-benar ada masa untuk keluarga,”

Madnor Percaya Kerjaya Boleh Dibina Semula

Madnor mengakui keputusan meninggalkan pekerjaan tetap bukan sesuatu yang mudah kerana dia terpaksa mengorbankan pendapatan yang stabil demi melalui kehidupan yang penuh ketidakpastian.

Namun pengalaman itu mengajarnya bahawa dalam hidup, ada ketika seseorang perlu memilih antara kerjaya dan keluarga. Baginya, peluang bersama ibu ketika sedang sakit jauh lebih berharga daripada kerjaya yang masih boleh dibina semula.

“Saya sedar ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Kadang-kadang dalam hidup kita kena tanya, apa yang paling penting pada waktu itu.

Kerjaya boleh dibina semula, tetapi masa bersama ibu ketika dia perlukan kita mungkin tidak akan berulang,” ujarnya.

Selepas meninggalkan pekerjaan tetap, Madnor mula membina semula kehidupannya sebagai individu yang bekerja sendiri dengan memberi tumpuan kepada bidang penciptaan kandungan digital.

Ads

“Kerjaya Boleh Dibina Semula, Masa Dengan Ibu Takkan Berulang”, Madnor Pilih Keluarga Selepas Ibu Diserang Strok

Madnor Bangunkan Perniagaan Sendiri

Kini, selepas lebih setahun bergelar usahawan, Madnor mengusahakan sebuah studio sewaan yang digunakan bagi penghasilan kandungan seperti podcast, rancangan memasak dan pelbagai projek kreatif.

Selain itu, beliau turut mengendalikan podcast sendiri yang menjana pendapatan melalui kerjasama bersama penaja.

Walaupun perjalanan sebagai usahawan memberi kebebasan mengurus masa, Madnor mengakui cabaran yang dihadapi jauh lebih besar berbanding ketika bekerja makan gaji.

Cabaran Sebagai Usahawan Lebih Besar

Menurut Madnor, apabila memiliki perniagaan sendiri, tanggungjawab bukan lagi sekadar terhadap diri dan keluarga, malah melibatkan kebajikan pekerja yang bergantung kepada syarikat.

Ads

“Dulu kita fikir kerja makan gaji pun sudah penat sebab kita bekerja bersungguh-sungguh. Tapi bila ada bisnes sendiri, sebenarnya cabarannya lebih besar.

Bila kita ada staf, tanggungjawab kita bertambah sebab ada orang lain yang bergantung kepada kita,” katanya.

Beliau mengakui pernah berasa takut dan kurang yakin, terutama ketika perniagaan yang diusahakan masih kecil. Namun, baginya setiap kejayaan memerlukan keberanian untuk bermula dari bawah.

Madnor Nasihat Anak Muda Tentang Perkahwinan

Selain berkongsi kisah menjaga ibu, Madnor turut memberi pandangan mengenai perkahwinan dalam kalangan anak muda.

Menurutnya, ramai yang terlalu mengejar kesempurnaan sebelum berkahwin sehingga menangguhkan hasrat membina keluarga.

“Ramai rasa kalau nak kahwin, semuanya kena lengkap dulu. Kena ada rumah, kereta, duit banyak dan kehidupan yang sempurna.

Tapi bagi saya, bermula dari bawah pun tidak salah. Kita masih muda, memang ada fasa kita jatuh dan bangun,” katanya.

Ads

Tambahnya, majlis sederhana lebih baik daripada memaksa diri berbelanja besar sehingga membebankan kehidupan selepas berkahwin.

Tabung Kecemasan Jangan Diabaikan

Pengalaman menjaga ibunya turut membuka mata Madnor mengenai kepentingan membuat persediaan kewangan sejak usia muda.

Beliau menasihatkan golongan muda supaya bekerja bersungguh-sungguh ketika masih sihat dan mempunyai tenaga, di samping membina simpanan serta tabung kecemasan.

“Langit kita tidak selamanya cerah, akan ada hari mendung. Sebab itu waktu kita masih muda, sihat dan banyak tenaga, gunakan masa itu untuk berusaha dan bina simpanan.

Sekarang mungkin kita rasa semuanya baik, ibu bapa masih sihat dan komitmen belum banyak, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.

Kisah Madnor membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui pangkat, gaji atau kekayaan. Sebaliknya, keberanian membuat pilihan yang mengutamakan keluarga juga merupakan satu kejayaan yang cukup bermakna. Kerjaya boleh dibina semula, namun peluang untuk berbakti kepada ibu ketika beliau memerlukan mungkin tidak akan datang buat kali kedua.

BACA SINI : Hairul Azreen Umum Berhenti Berlakon, Pilih Untuk Fokus Masa Bersama Keluarga!

Sumber: SinarPlus

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Keluarga Lain

Shakilla Khoriri Bangga Ameena Raih Anugerah Kecemerlangan, ‘Nikmat Yang Tak Terbeli,...

Shakilla Khoriri meluahkan rasa bangga apabila anaknya, Ameena Sofia, menerima anugerah Advanced Student Honour Roll Kumon Malaysia hasil usaha dan pengorbanan yang dicurahkan.