
Malaysia100 membawa persoalan besar tentang apakah bentuk negara yang bakal kita wariskan kepada generasi akan datang. Tiga puluh tahun mungkin kedengaran seperti tempoh yang panjang, namun hakikatnya ia hanyalah satu generasi.
Anak kecil yang kita dukung hari ini mungkin sudah bergelar ibu bapa, guru, doktor, usahawan, penjawat awam malah pemimpin ketika Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100 pada tahun 2057.
Persoalannya, apakah bentuk negara yang bakal kita wariskan kepada mereka nanti?
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub, tampil membawa gagasan Legasi #Malaysia100 sebagai satu seruan kepada seluruh rakyat untuk mula memikirkan masa depan negara dari sekarang.
Menurut beliau, Malaysia yang akan dinikmati generasi akan datang sebenarnya sedang dibentuk melalui keputusan, sikap dan tindakan masyarakat hari ini.
Dalam kenyataan medianya, Hussamuddin melahirkan kebimbangan apabila terlalu banyak masa dihabiskan dengan pertelingkahan berkaitan kaum, agama dan politik sedangkan masa terus berjalan.
“2057 tetap akan tiba, sama ada kita masih ada ataupun sudah tiada,” katanya.
Atas dasar itu, beliau menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, ideologi politik atau latar kehidupan untuk menjadikan #Malaysia100 sebagai visi bersama.
Matlamatnya adalah untuk sama-sama berusaha mewariskan sebuah Malaysia yang lebih baik kepada generasi akan datang.
Beliau menegaskan bahawa perpecahan hari ini tidak seharusnya diwariskan. Begitu juga isu rasuah, pecah amanah, kelemahan institusi dan ketidakadilan yang jika tidak ditangani sekarang akhirnya akan menjadi beban kepada anak cucu.
Apa yang paling dekat dengan keluarga ialah seruan bahawa perubahan tidak semestinya bermula dari Putrajaya.
Sebaliknya, ia boleh bermula dari rumah.
“Jangan harap Malaysia 100 bermula di Putrajaya. Ia harus bermula di rumah kita, daripada nilai yang ditanam dalam jiwa anak-anak kita, cara bagaimana kita menyikapi perbezaan kaum, agama dan budaya, juga cara kita memilih pemimpin.”
Pesanan ini cukup besar maknanya kepada ibu bapa.
Anak-anak yang dibesarkan hari ini akan menjadi generasi yang membentuk wajah Malaysia pada masa akan datang. Nilai seperti amanah, integriti, ihsan, hormat dan keberanian melakukan perkara yang benar perlu ditanam sejak kecil.
Apa yang diajar di rumah hari ini mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya boleh dibawa sepanjang hidup.
Hussamuddin turut mengibaratkan perjalanan negara seperti sebuah larian berganti-ganti.
Generasi hari ini menerima baton daripada generasi sebelumnya. Walaupun mereka tidak sempurna, mereka telah membawa negara ke tahap yang dapat dinikmati sekarang.
Kini, baton itu berada dalam tangan kita.
Tanggungjawab kita adalah memastikan ia tidak terjatuh sebelum diserahkan kepada generasi seterusnya.
“Baton tidak boleh jatuh sekiranya kita mahu menang. Baton itulah nilai kita yang perlu dibawa bersama, setinggi mana pun bangunan kita bina dan secanggih mana pun teknologi kita ada dalam membina Malaysia 100 tahun Merdeka.”
Menurut beliau, kemajuan negara tidak seharusnya hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau kecanggihan teknologi.
Nilai ihsan, integriti dan amanah juga perlu dibangunkan seiring supaya negara tidak hanya kelihatan hebat dari luar tetapi rapuh dari dalam.
Justeru, tempoh 30 tahun menuju 2057 perlu dimulakan sekarang.
Hussamuddin mengajak rakyat membayangkan bagaimana keadaan sekolah, hospital, jalan raya, alam sekitar, syarikat, sektor awam, sistem keadilan dan ekonomi ketika Malaysia mencapai usia 100 tahun kemerdekaan.
Namun, setiap individu tidak perlu menunggu untuk mempunyai kuasa atau kedudukan besar sebelum mula menyumbang.
Sebagai ibu bapa, kita boleh mendidik anak dengan nilai yang betul.
Sebagai pekerja, kita boleh menjalankan amanah dengan jujur.
Sebagai majikan, kita boleh berlaku adil.
Sebagai anggota masyarakat, kita boleh belajar menghormati perbezaan.
Dan sebagai rakyat, kita boleh lebih bertanggungjawab terhadap pilihan yang dibuat.
Hussamuddin turut menjelaskan bahawa #Malaysia100 bukan miliknya, sebaliknya perlu menjadi milik semua rakyat yang mahu melihat anak cucu mewarisi negara yang lebih baik.
Legasi bukan sekadar rumah, harta atau wang simpanan yang ditinggalkan kepada anak-anak.
Legasi juga adalah nilai, peluang, keamanan, integriti dan sebuah negara yang lebih kukuh untuk mereka teruskan.
Kita mungkin tidak lagi berada di sini pada tahun 2057.
Namun anak cucu kita akan berada di sana.
Dan Malaysia yang mereka warisi nanti, sedikit sebanyak, adalah hasil daripada apa yang kita pilih untuk lakukan hari ini.
BACA SINI : Anak Malaysia Gegar Pentas Dunia, Pasukan Negara Tembusi 20 Terbaik IMO 2026
Sumber: Kenyataan Media Legasi #Malaysia100, Datuk Hussamuddin Yaacub, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas & Yayasan Sinar Untuk Malaysia