Masuk Tahun Ke-2 Peluk Islam, Margaret Gan Bersyukur Diberi Kesihatan Baik Untuk Berpuasa

Share

Pelakon veteran dan juga boleh dikatakan saudara Islam baru kita, Margaret Gan, 80, bersyukur diberikan kesihatan yang baik dan kuat untuk berpuasa ramadan buat kali kedua serta melakukan solat tarawih sejak memeluk Islam, tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, dia tenang dan gembira menjalani ibadah puasa yang memberi peluang kepadanya menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.

“Alhamdulillah, dah empat hari kita umat muslim berpuasa. Saya bersyukur dan gembira masih diberikan rezeki kesihatan yang baik oleh Allah untuk berpuasa pada tahun ini. Termasuk, dapat melakukan solat tarawih.

“Anak pun ada meminta saya cuba buat 21 rakaat solat tarawih kalau boleh. Alhamdulillah, saya dapat buat pada hari pertama Ramadan. Itu pun saya solat secara berhenti-henti. Rehat sekejap, lepas itu sambung lagi.

“Memang seronok, tapi sekarang saya buat (solat tarawih) ikut kemampuan diri saja sebab anak pun tak paksa. Dia (anak) cuma minta saya cuba, itu pun kalau boleh buatlah,” katanya ketika dihubungi.

Untuk juadah sahur dan berbuka, kata Margaret dia tiada masalah atau terlalu cerewet dalam soal pemakanan, dia makan apa saja yang dihidangkan oleh menantunya.

“Saya duduk bersama anak, menantu dan cucu, jadi apa yang mereka sudah sediakan untuk dimakan, saya makan sajalah. Tapi, kalau tekak tiba-tiba rasa nak makan air tangan sendiri, saya masih boleh memasak.

“Apapun, soal makanan saya memang tak cerewet. Selain itu, saya juga sebenarnya aktif menghadiri majlis berbuka puasa sekiranya ada jemputan. Alhamdulillah, anak pun beri kebebasan untuk saya menghadiri majlis itu,” tambahnya.

Terdahulu, Margaret bersyukur impian anak tunggalnya, Mohd Taufik Gan, 38, untuk melihat dia memeluk agama Islam termakbul pada 15 Februari tahun lalu selepas menunggu dengan sabar bertahun-tahun lamanya.

Sumber : Harian Metro

IKLAN