Tan Sri Michelle Yeoh yang mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi, tidak berlengah untuk berkongsi kegembiraan dengan wanita terpenting dalam hidupnya.

Menerusi video yang dikongsi wartawan Channel News Asia (CNA) di Twitter, Michelle menghubungi ibunya, Datin Janet Yeoh, menerusi panggilan video sejurus diumumkan pemenang.

Biarpun audio daripada perbualan itu tidak jelas kedengaran, namun dapat dilihat Michelle menunjukkan trofi gangsa bersalut emas 24 karat itu kepada ibu, ahli keluarga dan rakan-rakan yang nyata tidak dapat menahan rasa teruja mereka.

Dalam pada itu, memetik laporan The Star, Janet turut berpelukan bersama ahli keluarganya sejurus Michelle diumumkan pemenang.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan Michelle. Dia menang anugerah itu sebab dia seorang yang bekerja keras.

“Kita boleh lihat bagaimana dia berlawan di filem, cara dia melakonkan watak itu.

“Dia sangat cantik dan berbakat malah seorang yang ‘smart’,” katanya selepas Tayangan Oscar.

Wanita berusia 84 tahun itu juga berkongsi kegembiraan bersama ahli keluarga dan selebriti jemputan semasa Acara Tontonan Khas Oscar Ke-95 di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur yang dihoskan oleh keluarga Yeoh pada pagi Isnin.

Michelle Yeoh Anak Malaysia Pertama Menang Oscar, Terus Hubungi Ibu Selepas Terima Anugerah!

IKLAN

Terdahulu, seluruh dewan riuh dengan sorakan gembira apabila bintang kelahiran Ipoh itu diumumkan sebagai pemenang.

Michelle ketika memberi ucapan kemenangan, menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada ibunya, Janet.

“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ibu saya dan semua ibu di seluruh dunia kerana mereka adalah adiwira sebenar.

“Tanpa mereka, tiada seorang pun daripada kita akan berada di sini malam ini. Saya bawa pulang trofi ini kepada ibu.

“Ibu saya sedang menonton sekarang di Malaysia, Kuala Lumpur bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Saya sayangkan anda semua malah akan membawa trofi ini pulang ke rumah,” ujarnya.

Janet yang sentiasa menumpukan perhatian pada skrin sepanjang siaran, kelihatan gembira apabila filem Everything Everywhere All at Once menerima anugerah. Filem itu memenangi sejumlah tujuh Oscar.

Sementara itu, anak-anak saudara Michelle juga teruja dengan kemenangan pelakon itu.

IKLAN

Anak saudara lelaki kepada Michelle, Kelvin Yeoh yang berucap kepada tetamu hadir pada majlis itu menyatakan dia dan adik-beradiknya merupakan peminat nombor satu Michelle.

“Ibu saudara saya telah menjalani kehidupan yang penuh semangat sebagai seorang pelakon selain merupakan seorang individu yang sangat rajin,” ujarnya.

Michelle Yeoh Anak Malaysia Pertama Menang Oscar, Terus Hubungi Ibu Selepas Terima Anugerah!

Selain itu, anak saudara perempuan kepada Michelle, Vicki Yeoh memberitahu, ibu saudaranya itu adalah bukti bahawa impian boleh menjadi kenyataan.

“Kami berharap dia terus memberi inspirasi kepada orang lain seperti dia beri inspirasi kepada kami.

“Dia benar-benar bukan sahaja beri inspirasi kepada orang Asia tetapi semua orang, di mana-mana dan mungkin… semua sekali,” katanya.

IKLAN

Pada majlis itu, beberapa selebriti tempatan hadir untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut termasuk Amber Chia, Nasha Aziz, Sangeeta Krishnasamy dan Henley Hii.

Turut serta hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang menyampaikan anugerah ‘Anugerah Wanita Kasih Unggul’ kepada Janet sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Michelle juga sebelum ini meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).

Selain kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Michelle, filem Everything Everywhere All at Once turut merangkul kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang disandang oleh Jamie Lee Curtis dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi Ke Huy Quan.

Kategori lain yang turut dimenangi filem Everything Everywhere All at Once ialah Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Sumber : Sinar Harian

https://youtu.be/dUpt50y0xaQ

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI