Ads

Nur Syakura Johan Qariah Antarabangsa, Kisah Hebat Didikan Ayah Sejak Usia 7 Tahun

Bermula dengan belajar mengaji bersama ayah ketika berusia tujuh tahun, siapa sangka kini Nur Syakura Mohamad Musa berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Selepas lebih 20 tahun mendalami ilmu al-Quran, kesungguhan wanita berusia 31 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66, pada Sabtu (10 Oktober 2026).

Kejayaan anak kelahiran Kuching, Sarawak ini bukan sahaja membanggakan negara, malah menjadi inspirasi buat ibu bapa tentang pentingnya mendidik anak-anak mencintai al-Quran sejak kecil.

Nur Syakura Belajar Mengaji Dengan Ayah Sejak Usia 7 Tahun

Menurut Nur Syakura, perjalanan mendalami ilmu al-Quran bermula apabila bapanya sendiri mengajarnya mengaji ketika berusia tujuh tahun.

Daripada bimbingan awal seorang ayah, beliau terus mendalami ilmu al-Quran bersama guru-guru sehingga berjaya melangkah ke pentas antarabangsa.

Nur Syakura Johan Qariah Antarabangsa, Kisah Hebat Didikan Ayah Sejak Usia 7 Tahun
ariah kelahiran Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa mengharumkan nama Malaysia apabila muncul johan qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 Tahun 2026M/1448H.

Bagi Nur Syakura, kejayaan tersebut bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya turut didorong oleh doa serta sokongan keluarga dan guru-guru.

“Kejayaan ini tak mungkin dapat dicapai tanpa bimbingan daripada ayah dan guru yang mencurahkan ilmu dan sokongan keluarga serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sarawak.

“Alhamdulillah, perjalanan untuk sampai ke tahap ini bukan mudah, semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT,” katanya selepas majlis penutupan dan penganugerahan hadiah MTHQA Ke-66.

Dua Bulan Buat Persiapan, Jaga Kesihatan Dan Suara

Di sebalik kejayaan itu, Nur Syakura mengakui persiapan untuk pertandingan antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah.

Beliau yang merupakan lepasan diploma Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) berkata, cabaran utama sepanjang dua bulan persiapan adalah memastikan kesihatan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik.

Ads

Malah, beliau perlu bijak mengawal kemampuan suara ketika memperdengarkan bacaan di atas pentas.

“Apabila berada di atas pentas, kita tidak dapat mengawal semua perkara. Jadi, saya membuat persediaan dengan beberapa perancangan.

“Kita tidak boleh memaksa suara mencapai tahap terlalu tinggi atau maksimum. Sebaliknya, saya memilih untuk membaca dengan selamat mengikut kemampuan suara,” jelasnya.

Kenang Jasa Arwah Guru, Johan Qariah Antarabangsa 2007

Dalam meraikan kejayaan tersebut, beliau turut mengenang jasa Allahyarhamah Amnah Ayup, bekas johan qariah antarabangsa pada 2007.

Allahyarhamah merupakan antara guru yang banyak membimbingnya dalam bidang tilawah sejak di bangku sekolah.

“Saya amat mengidolakan Allahyarham dalam bidang tilawah.

Ads

“Beliau membimbing saya hingga ke akhir hayatnya, selain guru-guru hebat yang membimbing saya sekarang,” katanya.

Lebih bermakna, kejayaan Nur Syakura turut meneruskan legasi gurunya selepas hampir 19 tahun Allahyarhamah Amnah meraih gelaran yang sama.

Nur Syakura Johan Qariah Antarabangsa, Kisah Hebat Didikan Ayah Sejak Usia 7 Tahun
NUR Syakura Mohamad Musa pada majlis penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66. FOTO Saifullizan Tamadi

Raih 91.83 Markah, Harumkan Nama Malaysia

Pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Nur Syakura berjaya memperoleh 91.83 markah, sekali gus mengatasi wakil Singapura, A’tiiqah Suhaimi yang meraih 91.00 markah.

Tempat ketiga pula menjadi milik wakil Brunei, Dayangku Siti Ummi Syazana Pengiran Marjuki dengan 90.83 markah.

Kejayaan itu turut melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM40,000, trofi, pakej umrah dan set bar emas.

Malaysia turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali muncul naib johan kategori tilawah lelaki, manakala Muhammad Izzul Afnan Sazali meraih tempat ketiga kategori hafazan lelaki.

Ads

Untuk rekod, MTHQA Ke-66 yang berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober 2026 menghimpunkan 50 peserta dari 38 negara.

Didikan Ayah Sejak Kecil Akhirnya Membuahkan Hasil

Kisah kejayaan Nur Syakura membuktikan bahawa didikan awal ibu bapa mampu menjadi asas penting dalam membentuk kecintaan anak-anak terhadap al-Quran.

Daripada seorang anak kecil yang mula belajar mengaji bersama ayah, kini beliau bukan sahaja bergelar johan qariah antarabangsa, malah turut berkhidmat sebagai Penyelia Guru Al-Quran di Pusat Al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak.

Buat ibu ayah, tidak perlu terburu-buru mahu melihat anak terus lancar mengaji. Apa yang penting adalah kesabaran, bimbingan dan usaha berterusan supaya mereka membesar dengan rasa cinta terhadap al-Quran.

Tahniah Nur Syakura! Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi buat lebih ramai ibu bapa untuk terus mendidik anak-anak mendekati al-Quran sejak kecil.

BACA LAGI : Johan Qariah Antarabangsa, Wan Sofea Aini Mahu Lebih Ramai Anak Muda Dekat Dengan Al-Quran

Sumber : Berita Harian

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Keluarga Lain

Terbalikkan Tangan Ketika Berdoa Di Majlis Nikah Syed Saddiq & Bella...

Kenapa terbalikkan tangan ketika berdoa? Dr Zulkifli jelaskan hukum dan sebab amalan itu dilakukan ketika memohon perlindungan daripada bala.