Hiburan

Mila Jirin Imbau Kisah Sebak, Kemenangan AF5 Jadi Titik Hebat Ubah Nasib Keluarga

Share

Mila Jirin AF5 mengimbau kembali perjalanan hidupnya sebelum bergelar juara wanita pertama program realiti popular, Akademi Fantasia 5.

Penyanyi dan usahawan itu, atau nama lengkapnya Norsyarmilla Jirin, berkongsi bahawa kemenangannya pada 19 Mei 2007 bukan sekadar detik manis dalam kerjaya seni, sebaliknya menjadi titik perubahan besar buat keluarganya yang ketika itu berdepan kesusahan hidup.

Menurut Mila, sebelum terpilih sebagai peserta AF5, dia pernah melalui beberapa kegagalan. Dia gagal dalam uji bakat AF4 dan tidak berjaya dalam pertandingan Bintang RTM. Malah, apabila melihat iklan uji bakat AF5, Mila hampir tidak mahu mencuba lagi.

Namun, dorongan keluarga membuatkan dia memberanikan diri hadir ke uji bakat di Alor Setar walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Ramai ingat malam saya menang tapi sebenarnya malam itu saya sedang cuba perjuangkan hidup keluarga saya.

“Sebelum AF5, saya gagal AF4. Bintang RTM pun tak dapat, bila nampak iklan AF5 saya hampir tak pergi.

“Tapi keluarga pujuk saya cuba lagi jadi saya pergi juga ke Alor Setar. Sesat, sampai lambat, nervous.

“Dalam hati cuma ada satu soalan, boleh ke aku?” katanya.

Instagram @mila_jirin

Mila Jirin AF5 Bukan Kejar Glamour, Tapi Bawa Harapan Keluarga

Beberapa bulan kemudian, kehidupan Mila berubah apabila kru Akademi Fantasia hadir ke rumahnya untuk memaklumkan dia berjaya terpilih sebagai peserta AF5.

Mila mengakui detik itu cukup mengharukan. Saat melangkah ke Kuala Lumpur, dia bukan membawa impian untuk mengejar populariti, sebaliknya membawa harapan besar sebuah keluarga.

“Saya menangis. Saya tak percaya. Saya melompat gembira.

“Saya bukan pergi bawa impian glamour. Saya pergi bawa harapan satu keluarga,” ujarnya.

Sepanjang berada di dalam akademi, Mila berdepan tekanan dan ketakutan. Lebih menyentuh hati, ibu bapanya tidak dapat hadir setiap minggu untuk menyaksikan persembahannya kerana kekangan kewangan.

Selepas pertandingan berakhir, barulah Mila mengetahui ibu bapanya pernah meminjam wang semata-mata mahu hadir memberi sokongan kepadanya di konsert mingguan.

“Bila duit habis, mereka sokong saya dari jauh,” katanya lagi.

Ibu dan ibu mertua Mila Jirin (Instagram @mila_jirin)

Trofi Yang Dilihat Sebagai Tanggungjawab

Pada malam final, Mila memasang tekad untuk bergelar juara bukan kerana mahu terkenal, tetapi kerana mahu mengubah kehidupan keluarganya.

Baginya, kemenangan itu bukan sekadar trofi atau sorakan peminat, sebaliknya amanah besar untuk membalas pengorbanan ibu dan ayah.

“Kalau saya menang, mungkin hidup keluarga saya berubah.

“19 Mei 2007, saya jadi wanita pertama Juara AF. Ramai nampak trofi, saya nampak tanggungjawab. Mak, ayah, lepas ni biar saya pula jaga semuanya,” tambahnya.

Kisah Mila Jirin AF5 Jadi Inspirasi Ramai

Perkongsian Mila nyata menyentuh hati ramai. Kisahnya menjadi bukti bahawa kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya lahir daripada keberanian untuk bangkit selepas gagal, doa keluarga dan semangat mahu mengubah nasib insan tersayang.

Selepas 19 tahun berlalu, perjalanan Mila Jirin terus memberi inspirasi. Dari seorang gadis yang pernah ragu-ragu untuk mencuba, dia akhirnya mencipta sejarah sebagai juara wanita pertama AF5.

Lebih bermakna, kemenangan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi hadiah terindah buat keluarga yang selama ini menjadi kekuatan di belakangnya.

Mila Jirin AF5 juga mengingatkan ramai bahawa setiap kejayaan besar biasanya bermula dengan keberanian kecil untuk mencuba sekali lagi, walaupun pernah gagal dan hampir berputus asa.

BACA LAGI : “Saya Seorang Ibu, Tak Sanggup Lihat Anak Kecil Tak Ada Makanan.” Mila Jirin Anjur Kempen RM5 Juta, Bantu Golongan Terjejas!