“Muhammad Nak Tahu Papa Di Mana.” 5 Tahun Kehilangan MH370, Isteri Pramugara Kongsi Luahan Hati Anak Rindukan Ayah. Sebaknya Baca!

Share

Pejam celik rupanya tahun ini genap 5 tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Yang pasti banyak air mata, jerih payah pengorbanan mahupun tekanan psikologi yang terpaksa dilalui terutamanya waris keluarga MH370 yang tidak pernah putus harap memburu jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Kisah di sebalik kehilangan MH370 melalui kaca mata seorang isteri bernama Intan Maizura Othman, 38 tahun yang merupakan isteri kepada Mohd Hazrin Hasnan, kru pesawat berkenaan.

Tabah dan redha sejak kejadian itu membuatkan Intan terus memujuk dirinya supaya kuat meneruskan kehidupan, meskipun persoalan di benak fikirannya belum bertemu noktah. Menerusi laman instagramnya, Intan berkongsi momen bersama suaminya sebelum ini.

Selain itu, Intan juga turut berkongsi video anak lelakinya, Muhammad 5 tahun yang nyata menjentik emosi bagi mereka yang menontonnya.

Menerusi laman sosial Instagram pada awal pagi Jumaat, Intan memuat naik video perbualannya bersama Muhammad mengenai Mohd Hazrin dengan panggilan Papa.

Intan: Muhammad kalau jumpa Papa, Muhammad nak cakap apa?

Muhammad: Muhammad sayang Papa, Muhammad nak tahu Muhammad punya Papa mana.

Intan:Sekarang Papa dekat mana?

Muhammad:Papa dekat kubur. 

Intan: Kubur Papa dekat mana?

Muhammad:Dekat Shah Alam.

Intan:Mana Mama tahu kubur Papa dekat Shah Alam.

Demikian perbualan dua beranak itu menerusi video yang diakhiri dengan Muhammad membaca surah al-Fatihah.

Lebih memilukan, anak kedua Intan itu tidak pernah berjumpa bapanya sejak dilahirkan. Yang hanya mampu dilakukan adalah dengan melihat gambar Hazrin, membolehkan kerinduan Muhammad terubat seketika.

Menurut Intan, Muhammad sering bertanya kepadanya: “Mama, Papa dah meninggal ke?”, namun tiada jawapan jelas dapat diberikan kepadanya.

Mendoakan suaminya setiap hari, Intan memberitahu, Yang Maha Esa mengetahui segala-galanya dan sebaik-baik perancangan adalah daripadaNya.

“Kamu tidak pernah lenyap daripada ingatan saya B. Kamu dan kenangan manis kamu selamanya akan bersama kami selama-lamanya. Assalamualaikum B…. kami merindui kamu B, amat merindu kamu,” katanya.

Mohd Hazrin merupakan antara 239 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370, yang hilang kira-kira sejam selepas pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam penerbangan ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014.

Sumber: Instagram intanmaizuraothaman

 

 

 

 

 

IKLAN