“Muka Macam Daddy La, Special Hadiah Dari Ibu. Allahuakbar.” Lebih sebulan menanti, Shuib dapat jumpa Ayash Affan

Share

Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang ayah bila mana akhirnya dapat menatap wajah si kecil yang sudah lebih sebulan tidak dapat berbuat demikian.

Demikianlah yang berlaku kepada pelawak Shuib Sepahtu yang buat pertama kalinya bersua muka dengan cahaya mata bongsunya. Ayash Affan sebelum ini dilahirkan pra-matang pada 6 Ogos lalu.

Menerusi perkongsian di InstaStory, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad memberitahu anak keempatnya itu dalam keadaan sihat selain gembira dapat meluangkan masa selama tiga jam di hospital.

Dalam perkongsian tersebut, Shuib melahirkan rasa syukur apabila dibenarkan untuk bertemu dengan anaknya di hospital buat pertama kalinya.

“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Nikmat yang cukup indah bila dapat luangkan masa tiga jam dengan Ayash Affan. Syukur, Ayash sihat,” tulisnya sambil memberitahu berat Ayash juga telah mencecah 2.6 kilogram (kg) selepas dikeluarkan dari inkubator bulan lalu.

Dalam pada itu, Shuib mengakui wajah bayi tersebut mirip dirinya yang disifatkan sebagai hadiah istimewa daripada arwah isteri Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19 di HTCM pada 9 Ogos lalu.

Teruja untuk bertemu dengan bayi pramatangnya itu, Shuib memberitahu dia masih teringat kata-kata terakhir Allahyarham isterinya iaitu penyanyi Siti Sarah.

Menurut ahli kumpulan lawak Sepahtu ini, dia akan melakukan yang terbaik untuk menjaga anak mereka seperti mana arwah isterinya mahukan.

“Insya-Allah, Alhamdulillah hari ini jumpa Ayash Affan. Masih ingat lagi ibu selalu cakap benda yang sama berulang kali ‘baby keempat ini you jaga dia tau. You jaga okay’.

“Insya-Allah sayang. I akan jaga dia macam mana I jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh. Anak yang akan menjadi kebanggaan you dunia dan akhirat.

“Anak yang selalu dekat dengan Allah. Cuma I mohon you doakan I. Perjalanan I masih jauh. Doakan I selalu kuat. I love you sayang,” katanya.

Untuk rekod, Shuib dan arwah Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin, 9 Ogos lalu di PPUKM Kuala Lumpur akibat Covid-19.

Selain Ayash, Allahyarham meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

Sumber: Instagram Shuib

 

 

 

 

IKLAN