
Gambar Hiasan AI
Berita baik buat ibu ayah daripada keluarga B40 apabila seramai 60,000 pelajar Tingkatan 4 dan 5 bakal memperoleh lesen motosikal secara percuma menerusi MyLesen B2 Sekolah Tahun 2026.
Program ini dilaksanakan dengan peruntukan melebihi RM18.5 juta pada tahun ini, sekali gus membuka peluang kepada pelajar yang layak untuk memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B2 secara sah.
Inisiatif ini diperkenalkan susulan kebimbangan terhadap jumlah pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa memiliki lesen memandu sah. Situasi itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan anak-anak kerana mereka menunggang tanpa pengetahuan dan kemahiran yang betul.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, program berkenaan dilaksanakan atas keprihatinan kerajaan terhadap isu penunggang motosikal dalam kalangan pelajar, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan akses pelesenan yang sah, selain meningkatkan tahap kompetensi, kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda.
Bagi kebanyakan keluarga, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar, motosikal sering menjadi pengangkutan utama anak-anak untuk ke sekolah, kelas tambahan atau membantu urusan keluarga. Namun, tanpa lesen yang sah, risiko yang ditanggung bukan kecil.
Lebih membimbangkan, statistik menunjukkan lebih 6,000 kemalangan maut dilaporkan setiap tahun, dengan 65 peratus daripadanya membabitkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal.
Kebanyakan kemalangan maut ini pula melibatkan purata umur antara 16 hingga 25 tahun, termasuk pelajar sekolah.
Justeru, pelaksanaan MyLesen B2 Sekolah dilihat sangat penting kerana ia bukan sekadar membantu pelajar mendapatkan lesen secara percuma, tetapi turut memberi pendedahan kepada latihan, peraturan jalan raya, disiplin menunggang dan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.
Dalam masa sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyambut baik kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan bagi memudahkan urusan pelajar mendapatkan lesen memandu.
Pelaksanaan secara latihan berkelompok juga dilihat lebih efisien dan tersusun, khususnya apabila melibatkan jumlah pelajar yang besar di sekolah.
Program MyLesen B2 sebelum ini yang diperkenalkan sejak tahun 2023 turut memberi manfaat kepada 30,000 peserta dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.5 juta.
Buat ibu ayah, peluang seperti ini wajar dimanfaatkan sebaiknya. Namun dalam memberi keizinan anak menunggang motosikal, pesanan tentang keselamatan jangan sesekali dilupakan.
Lesen bukan tiket untuk menunggang sesuka hati, sebaliknya tanda anak sudah diberi ilmu asas, latihan dan tanggungjawab untuk berada di jalan raya.
Semoga usaha MyLesen B2 Sekolah ini dapat membantu lebih ramai pelajar B40 menunggang secara sah, selamat dan berhemah.
Paling penting, ibu ayah juga lebih lega apabila anak-anak ke sekolah dengan ilmu, disiplin dan kesedaran yang betul demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
BACA LAGI : Subsidi Petrol BUDI95! Lesen Tamat Lebih 36 Bulan Boleh Hilang Kelayakan
Sumber : Harian Metro