
Proses bedah siasat ke atas lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri selesai pada pukul 7.30 malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah akibat kecederaan melecur teruk.
“Buat masa ini kita sedang menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan secara saintifik,” katanya.
Tragedi yang berlaku pada Selasa lalu melibatkan sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu sebelum terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Kesemua mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Pemergian lima mangsa itu cukup meruntun hati, apatah lagi mereka terlibat dalam tugasan yang berkait rapat dengan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Kini, pihak berkuasa masih menunggu keputusan DNA bagi melengkapkan proses pengesahan identiti secara saintifik.
Semoga segala urusan keluarga mangsa dipermudahkan dan mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan yang cukup besar ini.
BACA LAGI : “Berbakti Jauh Dari Tanah Kelahiran” Dr Ainul, Anak Kelantan Yang ‘Gugur’ Ketika Jalankan Amanah
Sumber : Kosmo