Inspirasi

“Guru Kata Issa Mahu Beli Tudung Untuk Ibu”, Nikita Willy Sebak, Anak Jadi Asbab Hatinya Terbuka Berhijab

Share

Bila bercakap tentang perubahan dalam hidup, kadang-kadang asbabnya datang daripada insan yang paling dekat dengan kita. Bagi seorang ibu, kata-kata anak kecil boleh menjadi sesuatu yang sangat besar maknanya.

Begitulah kisah pelakon terkenal Indonesia, Nikita Willy, yang berkongsi detik awal hatinya terbuka untuk mengenakan hijab. Bukan kerana paksaan suami atau desakan orang sekeliling, sebaliknya keputusan itu hadir selepas melalui proses panjang dan penuh pertimbangan.

Nikita Willy Akui Suami Tidak Pernah Memaksa

Menerusi satu perkongsian, suami kepada Nikita iaitu Indra Priawan menjelaskan bahawa dia tidak pernah memaksa isterinya untuk memakai tudung.

“Saya sama sekali tidak ada paksaan. Bukanlah permintaan, tetapi saya hanya bertanya padanya, ‘awak bila mahu berhijab?’” katanya.

Menurut Nikita, suaminya tidak pernah menyuruh atau bertanya secara khusus tentang hijab. Namun, Indra pernah menyuarakan harapan secara lembut agar isterinya dapat berhijab sebelum usia 40 tahun.

“Dia tidak pernah menyuruh atau bertanya secara specific tentang hijab, cuma dia pernah berkata kalau boleh pakailah sebelum usia 40 tahun,” kongsi Nikita.

Bagi Nikita, kata-kata itu bukan tekanan, sebaliknya menjadi antara perkara yang membuatkannya berfikir dari hati ke hati.

Mahu Jadi Contoh Baik Untuk Anak-Anak

Sebagai seorang ibu, Nikita Willy mengakui keputusan untuk berubah bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara perlu difikirkan, apatah lagi apabila melibatkan penampilan dan perjalanan hidup sebagai seorang wanita.

Namun, antara sebab yang membuatkan hatinya terbuka adalah kerana anak-anaknya.

“Proses untuk jadi seperti ini sebenarnya panjang, tapi salah satu alasannya adalah saya ingin berusaha menjadi contoh yang baik untuk anak-anak saya,” luahnya.

 

Anak Minta Beli Tudung Untuk Ibu

Perkongsian yang paling menyentuh hati ialah kisah melibatkan anak sulungnya, Issa Xander Djokosoetono.

Menurut Nikita Willy, selepas pulang daripada menunaikan umrah, guru mengaji Issa tiba-tiba menghadiahkannya sehelai hijab. Pada awalnya, dia tidak menyangka ada cerita istimewa di sebalik pemberian itu.

“Ada satu kisah yang sangat tersentuh. Selepas saya pulang umrah, guru mengaji anak saya, Issa, tiba-tiba hadiahkan saya hijab,” cerita Nikita.

Guru mengaji itu kemudian menjelaskan bahawa dia mahu memberi hadiah kepada Issa kerana anak kecil itu menunjukkan perkembangan yang baik dalam mengaji.

Namun apabila ditanya hadiah apa yang dimahukan, jawapan Issa benar-benar membuat hati seorang ibu tersentuh.

“Gurunya berkata, ‘saya mahu beri Issa hadiah kerana dia bagus mengaji dan selepas ditanya apa yang dia mahu, dia jawab mahu beli tudung untuk ibu.’”

Issa tidak meminta permainan atau hadiah untuk dirinya sendiri. Sebaliknya, dia memilih tudung untuk ibunya.

Bagi seorang ibu, permintaan seperti itu tentu sahaja sangat mendalam maknanya. Kadang-kadang anak kecil tidak banyak berkata-kata, tetapi apa yang terluah daripada hati mereka mampu menjadi teguran paling lembut buat ibu bapa.

Ramai Doakan Nikita Terus Istiqamah

Penampilan terbaharu Nikita yang kini lebih sopan dan mengenakan hijab mendapat perhatian ramai warganet. Rata-rata tumpang gembira dan mendoakan agar pelakon cantik itu terus istiqamah dalam penghijrahannya.

Difahamkan, Nikita mula mengenakan pakaian muslimah selepas menunaikan umrah sebelum ini. Perubahan itu disambut baik oleh peminat yang melihatnya sebagai satu permulaan yang sangat indah.

Doa Seorang Anak, Teguran Paling Lembut Buat Ibu

Dalam kehidupan berkeluarga, anak-anak sering menjadi cermin kepada ibu bapa. Mereka melihat, meniru dan menyimpan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Semoga Nikita terus diberi kekuatan untuk istiqamah dengan penampilan baharunya. Semoga kisah ini juga menjadi inspirasi buat semua ibu bapa agar terus berusaha menjadi contoh yang baik untuk anak-anak.

Kerana kadang-kadang, perubahan besar dalam hidup bermula daripada satu permintaan kecil seorang anak.

BACA LAGI : Nikita Willy Pilih Bersalin Anak Kedua di Amerika Syarikat!

Sumber: TikTok