Keibubapaan

“Rezeki Dapat Mama Baik…”, Kasih Ibu Mentua Jadi Asbab Kejayaan, Nurul Fatihah Raih Ijazah Kelas Pertama

Share

Siapa sangka, di sebalik senyuman manis di hari konvokesyen, tersimpan sebuah kisah penuh kasih sayang antara seorang menantu dan ibu mentuanya. Bukan sekadar kejayaan akademik, kisah Nurul Fatihah ini cukup menyentuh hati kerana ia membuktikan bahawa kasih seorang ibu tidak semestinya terikat dengan darah daging semata-mata.

Nurul Fatihah Normallis, 28, berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan pencapaian membanggakan apabila memperoleh ijazah kelas pertama.

Lebih manis, kejayaan itu turut menjadi bukti pengorbanan seorang wanita berhati mulia, Asmah Miswan, ibu mentuanya yang menaja penuh pengajian selama empat tahun.

Nurul Fatihah Pernah Buat Dua Kerja Demi Bantu Keluarga

Memetik laporan Bernama, kisah ini bermula pada tahun 2021 ketika wanita muda ini masih bergelar rakan kepada anak Asmah.

Ketika itu, Asmah melihat sendiri kesungguhannya yang bertungkus-lumus melakukan dua pekerjaan serentak demi membantu keluarga. Hanya berbekalkan diploma, dia tetap kuat berusaha untuk meneruskan kehidupan dan mencari peluang yang lebih baik.

Melihat kegigihan anak muda itu, hati Asmah tersentuh. Tanpa memikirkan soal jodoh atau masa depan hubungan anaknya, Asmah yang merupakan pesara badan berkanun membuat keputusan besar untuk menaja sepenuhnya pembiayaan pengajian.

Bagi Asmah, pendidikan adalah kunci perubahan hidup. Dia percaya setiap insan wajar diberi peluang untuk belajar agar masa depan mereka lebih terjamin.

“Mama Percaya Pendidikan Boleh Ubah Kehidupan”

Bagi Nurul Fatihah, sokongan daripada ibu mentuanya itu menjadi pembakar semangat untuk dia belajar bersungguh-sungguh. Dia sedar pengorbanan tersebut bukan sesuatu yang kecil, apatah lagi datang daripada seorang insan yang ketika itu belum pun mempunyai ikatan rasmi sebagai mentua.

“Mama sangat mementingkan pendidikan. Dia percaya pendidikan boleh mengubah kehidupan, sebab itu dia membantu saya sebaik mungkin. Saya jadi lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya, tidak boleh main-main dalam belajar.

“Saya sangat terharu kerana bukan semua berpeluang memiliki mentua yang sanggup berkorban untuk pendidikan menantu.

“Mama selalu tanya jika ada duit atau apa yang kurang membuatkan saya rasa dihargai dan disayangi,” kata Nurul Fatihah yang kini bertugas sebagai pembantu tadbir di Bernama Selangor.

Anggap Menantu Seperti Anak Sendiri

Bagi Asmah pula, apa yang dilakukan bukanlah satu beban. Sebaliknya, dia menganggap ia sebagai tanggungjawab moral untuk membantu seorang wanita muda membina masa depan yang lebih baik.

Sejak awal lagi, Asmah melihat menantunya seperti darah daging sendiri. Baginya, peluang untuk menuntut ilmu tidak seharusnya terhalang hanya kerana kekangan kewangan.

“Saya percaya seseorang perlu diberi peluang untuk belajar supaya masa depannya lebih baik. Saya anggap dia seperti anak sendiri, jadi tidak pernah fikir soal lain termasuk jodoh sebab pada usia itu dia sepatutnya belajar.

“Mungkin ini rezeki dia dan saya bersyukur dapat jadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan kejayaannya hari ini,” ujar Asmah penuh syukur melihat kejayaan menantunya itu dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104.

Kasih Mentua Jadi Asbab Kejayaan Nurul Fatihah

Kisah Nurul Fatihah dan Asmah ini cukup dekat dengan jiwa keluarga. Ia memberi gambaran bahawa hubungan mentua dan menantu tidak semestinya dipenuhi rasa kekok atau jarak yang terlalu jauh.

Sebaliknya, apabila hubungan itu dibina dengan keikhlasan, kasih sayang dan saling percaya, ia mampu menjadi pemangkin kejayaan yang luar biasa.

Kini Sambung Sarjana, Impi Ke Peringkat PhD

Kejayaan meraih ijazah kelas pertama bukanlah noktah perjuangan buat Nurul Fatihah. Kini, dia sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana secara separuh masa.

Dengan dorongan berterusan daripada ibu mentuanya, dia turut menyimpan impian besar untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah atau PhD pada masa akan datang.

Semangatnya membuktikan bahawa apabila seseorang diberi peluang, sokongan dan kepercayaan, mereka mampu melangkah lebih jauh daripada apa yang pernah dibayangkan.

Tahniah buatnya atas kejayaan membanggakan ini. Semoga kisah indah antara menantu dan ibu mentua ini menjadi inspirasi kepada keluarga lain untuk terus menyemai kasih, saling menyokong dan percaya bahawa setiap pengorbanan yang ikhlas pasti akan membuahkan hasil.

BACA LAGI : Layanan Ibu Mertua Yang Baik Itu Juga Rezeki, ‘Jackpot’ Besar Seumur Hidup!