Stress rasanya bila ramai yang asyik bertanya mengenai anak. Bukan tidak mahu tetapi semua itu diluar bidang kuasa kita. Rezeki kan di tangan Allah. Rungutan yang acapkali kita dengar.
Perkataan subur menjadi satu kebimbangan bagi yang sudah berumah tangga. Risau dipersalahkan tidak subur. Lebih-lebih bagi yang sudah beberapa tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak sebagai penyeri.
Menurut Institut Kesihatan Nasional Amerika, hampir 15% pasangan akan menghadapi kesukaran untuk dapat anak dan 1/3 daripadanya adalah kerana masalah sperma.
Kurangkan Guna Telefon Bimbit
Ashok Agarwal, Ph.D, Ketua Jabatan Kesihatan Reproduksi di Cleveland Clinic mendedahkan lelaki harus mengubah gaya hidup mereka untuk mendapatkan sperma yang subur, sihat dan kuat. Salah satunya adalah mengurangkan dedahan telefon bimbit. Penggunaan smartphone yang berlebihan didapati mampu membuatkan sperma jadi lebih lambat. Kajian di Cleveland Clinik mendapati, lelaki yang terlalu lama menggunakan telefon bimbit akan menurunkan keaktifan sperma.
Pilih Makanan Sihat
Baik suami atau isteri, makanan kena jaga. Pilihlah buah-buahan dan juga sayuran yang masih lagi segar. Lebih baik jika anda boleh elakkan dari makan makanan yang dipanaskan semula kerana zat dan gizi makanan tersebut telah berkurangan.
Ads
Kawal Berat Badan
Tubuh yang kurus tidak menjanjikan tahap kesuburan yang tinggi. Sebaiknya cuba capai BMI yang ideal. Jika anda dan suami terlebih berat, banyakkan bersenam dan kurangkan makanan karbohidrat. Jika anda tidak cukup berat, ambil supplimen dan makanan yang sesuai untuk menaikkan berat badan secara sihat.
Elak Kafein
Kafein baik untuk merangsang otak malah merangsang daya seksual namun ianya kurang sesuai untuk perkembangan hormon kesuburan. Tingkatkan kesuburan anda berdua dengan amalan minum dua gelas susu sehari. Itu lebih baik!
Ads
Elak Aktiviti Berat
Bagi isteri, aktiviti yang terlalu lasak juga akan mengganggu kesuburan. Elakkanlah mengangkat barangan yang terlalu berat kerana ini akan memberi kesan kepada peranakan. Berat melebihi 20kg, sebaiklah elakkanlah diangkat. Banyak kesannya pada sistem peranakan.
Lakukan Pemeriksaan Rahim
Jika tempoh perkahwinan anda sudah agak lama, cuba ke hospital dan periksa kesihatan rahim anda. Periksa tahap kesuburan serta permasalahan lain yang boleh mengganggu anda untuk mengandung.
Ads
Masalah pada rahim seperti endometriosis, fibroid atau masalah pada ovari boleh menjejaskan peluang anda untuk hamil walaupun anda sebenarnya subur. Jadi kena periksa!
Untuk pasangan yang sedang ikhtiar hamil, jom sertai grup komuniti ‘Pejuang Garis 2 Pa&Ma’ untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah best.
Dengan menambah sayur-sayuran dan buah-buahan ia membantu kita hidup dengan lebih sihat.
Ini kerana sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi “phytonutrients”, iaitu sebatian yang memberikan warna, rasa dan aroma bagi setiap sayur-sayuran dan buah-buahan.
Jadi bila kita mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan, sebatian
phytonutrients ini akan melindungi diri kita dari penyakit kronik. Ini kerana phytonutrients mengandungi antioksida yang bersifat antikanser dan anti-keradangan.
American Cancer Society sendiri mencadangkan kita mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan sebanyak 2 1/2 cawan setiap hari.
Malah Panduan Pemakanan Amerika Syarikat (US Dietary Guide) mencadangkan 2 1/2 cawan sayur-sayuran dan 2 cawan buah-buahan setiap hari. Dicadangkan juga kita mengambil buah-buahan sebagai kudapan (snek) yang sihat.
Setiap warna dalam sayur-sayuran dan buah-buahan memberikan pelbagai manfaat kesihatan dan tiada satu warna lebih baik dari warna yang lain, sebab itu kita mesti mengambil pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang pelbagai warna dalam hidangan yang kita makan.
Ramai juga yang tidak mengetahui bahawa kebanyakan phytonutrients berada pada kulit atau lapisan luar yang berwarna. Jadi jangan buang kulit buah-buahan atau sayur-sayuran itu dengan bersih bagi memastikan ia bebas dari kotoran dan bahan kimia. Jika kita buang kulit epal, peach atau terung, pasti kita kehilangan sebahagian besar kandungan phytonutrient tersebut.
PHYTONUTRIENT DALAM MAKANAN YANG KITA MAKAN
Cuba kita lihat sebatian phytonutrients yang ada dalam makanan yang kita makan. MERAH: kaya dengan carotenoid lycopene, iaitu sebatian antioksida yang melindungi kerosakan DNA yang menyebabkan penyakit kanser prostate, penyakit jantung dan penyakit paru-paru.
Ia banyak didapati pada buah seperti delima, strawberry, cranberry, raspberry, tomato, cherry, epal, ubi beet, tembikai, anggur, lada merah dan lada benggala warna merah . OREN DAN KUNING: kaya dengan antioksida beta cryptothanxin, yang menyokong hubungan di dalam sel dan membantu mencegah penyakit jantung.
Banyak di dapati pada lobak, kentang, lada benggala warna kuning, oren, pisang, mangga, labu, aprikot, jagung, pumpkin, apricots, peach, dan banyak lagi. HIJAU: kaya dengan sebatian seperti sulforaphane, isocyanate, dan indoles, yang menghalang pembentukan kanser.
Ia banyak didapati pada bayam, avokado, asparagus, artichoke, brokoli, alfalfa sprouts, kale, brussels sprout, buah kiwi, teh hijau, herba seperti mint, rosemary, sage, thyme, dan basil. BIRU DAN UNGU: ia mengandungi antioksida anthocyanin yang melambatkan proses penuaan dan menghalang pembentukan darah beku.
Ia banyak terdapat pada blueberry, blackberry, elderberry, anggur jenis concord, anggur kering (raisins), terung, buah teen, buah prune, kobis ungu. PUTIH DAN PERANG: ia mengandungi antioksida phytonutrient allicin yang bersifat anti-tumor. Ia juga mengandungu sebatian antioksida flavonoids seperti quercetin dan kaempferol.
Ia banyak pada bawang merah, cauliflower, bawang putih, cendawan dan banyak lagi.
Saya mencadangkan agar ambil banyak sayur-sayuran dan buah-buahan pelbagai warna sekurang2nya 4 1/2 cawan setiap hari.
Mungkin cara berikut membantu kita melakukannya :
1. Setiap hidangan tidak perlu banyak. 1/2 cawan sayur-sayuran atau buah-buahan yang dipotong kecil untuk setiap hidangan. Jika ambil sayur-sayuran berdaun hijau, ambil satu cawan untuk setiap hidangan dan jika ambil buah-buahan kering, 1/2 cawan dianggap sebagai satu hidangan.
2. Selalu ingat ambil dua hidangan setiap kali makan iaitu dua hidangan untuk sarapan, dua hidangan untuk makan tengahari dan dua hidangan waktu malam.
3. Tidak salah berkudapan. Cuma gantikan kuih muih dengan dua hidangan buah-buahan. Minum air kosong segelas atau dua gelas.
4. Perhatikan jika membeli-belah di pasaraya. Pastikan kita membeli sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis warna sayur-sayuran atau buah-buahan yang ada dalam troli sebelum membayarnya.
5. Jika makan diluar, pastikan kita mulakan makan dengan ulam-ulaman atau sop sayur. Pastikan kita ambil buah-buahan atau minum teh hijau sebelum memulakan makan.
Semoga bermanfaat.
Anak yang sihat dan cergas tentu akan mengembirakan ibu ayah. Malah membuatkan mereka boleh fokus kepada urusan rumahtangga.
Namun siapa kita untuk melawan takdir, apabila anak jatuh sakit. Sama ada ibu atau ayah menjadi pembawa, atau kedua-duanya mewarisi.
Kanser adalah antara penyakit yang juga menyerang kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa kena alert gejalanya dan perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Nak tahu lebih lanjut mengenai kanser pada anak, ikuti lanjut hurian Dr Rashdan Mohamed tentang hal ini.
KANSER DI KALANGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA
1-Jenis kanser paling tinggi dihidapi kanak-kanak adalah leukemia, mengapa? Kanser yang paling biasa berlaku dikalangan kanak-kanak dan remaja bawah 15 tahun adalah leukemia, diikuti kanser otak & sistem saraf, limfoma, neuroblastoma, kanser ginjal dan kanser tulang. Ini adalah hasil dari kajian yang dijalankan. Manakala bagi remaja 15 hingga 19 tahun, kanser otak, saraf dan limfoma adalah lebih tinggi berbanding leukemia.
Leukemia itu sendiri ada beberapa jenis seperti Acute Lymphocytic Leukemia, Acute Myeloid Leukemia dan Chronic Leukemias.
Punca utama mengapa leukemia yang paling biasa dihidapi kanak-kanak mungkin sukar dipastikan. Ada banyak faktor, antaranya, kajian menunjukkan sesuatu bangsa atau etnik mempunyai peratusan risiko yang lebih tinggi untuk sesetengah kanser berbanding kanser yang lain. Ada faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi (akan dibincangkan lanjut nanti).
2-Adakah trend ini boleh dikurangkan? Dari banyak kajian yang dijalankan, incidence kanser dikalangan kanak-kanak ada menunjukkan peningkatan berbanding dahulu, namun begitu, dengan diagnosis dan rawatan awal yang optimum, kita dapati, survival rates juga meningkat. Sebagai contoh, secara kasar, pada era 1970-an, hanya sekitar 58% – 70% kanak-kanak dan remaja dengan kanser, hidup dalam masa 5 tahun. Namun kadar ini meningkat kepada 85% – 90% pada ketika ini (bergantung jenis kanser dan tahap). Kemajuan teknologi, pengesanan dan diagnosis awal, serta rawatan yang ditawarkan antara faktor peningkatan positif survival rates ini. Namun, ada juga kanser tertentu yang sukar dirawat dan mempunyai survival rates yang rendah berbanding leukemia.
3-Punca kanak-kanak menghidap kanser (termasuk semua jenis kanser)? Antaranya adalah:
3.1. Faktor genetik Kebanyakan kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini ada perubahan atau mutasi pada bahan genetik atau genes yang menyebabkan kanser berlaku. Perubahan atau mutasi genetik ini mungkin dari keturunan atau juga berlaku secara spontan dan semulajadi. Sebagaimana yang kita bincang tadi, ada etnik tertentu berisiko untuk kanser tertentu. Ada juga kanser yang dihidapi itu mungkin disebabkan faktor keturunan. Ada masa, masalah genetik sindrom tertentu seperti Sindrom Down yang berisiko untuk mendapat leukemia. Jadi, faktor genetik ini meyumbang kepada risiko untuk menghidapi kanser tertentu.
3.2. Faktor persekitaran Faktor persekitaran juga ada peranan dalam kanser. Contohnya, merokok menyebabkan kanser peparu dan kanser mulut. Pendedahan kepada bahan-bahan kimia tertentu seperti asbestos, racun serangga dan bahan radiasi juga boleh membawa kepada kanser. Jangkitan kuman tertentu juga memberi risiko.
4-Kebanyakan kes pesakit kanser kanak-kanak didiagnosis sudah pada tahap berapa? Ada pesakit kanser kanak-kanak yang didiagnosa pada peringkat awal dan ada juga pada peringkat lewat. Apa yang lebih utama adalah, nasihat saya kepada semua ibu bapa, untuk mengenalpasti gejala seperti demam berpanjangan, hilang selera makan, susut berat badan, sakit kepala, muntah berterusan, sakit tulang, bengkakan pada organ atau apa jua gejala yang membimbangkan untuk mendapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan, supaya diagnosa awal dan rawatan awal boleh diberikan
5-Jenis-jenis rawatan untuk pesakit kanser kanak-kanak? Bergantung kepada jenis dan tahap kanser. Secara umum rawatan kanser kanak-kanak adalah: 1. Rawatan kemoterapi 2. Rawatan radioterapi 3. Pembedahan 4. Rawatan sokongan multidisiplin 5. Rawatan paliatif
Kebiasaanya, doktor pakar onkologi kanak-kanak akan mengenalpasti terlebih dahulu jenis dan tahap kanser, dan akan berbincang dengan ibu bapa berkenaan rawatan yang akan diberikan termasuk kesan sampingan dan manfaat rawatan. Ada sesetngah kanser perlu kemoterapi, pembedahan dan diikuti radioterapi.
Ada juga, seperti leukemia tertentu, yang hanya memerlukan kemoterapi. Kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini akan dimasukkan ke unit onkologi hospital di mana mereka akan menerima rawatan yang telah dirancangkan termasuk rawatan sokongan seperti sesi kaunseling, fisioterapi, dan rawatan khusus pakar-pakar lain termasuk pakar endokrin seperti saya. Rawatan paliatif, biasanya, dikhususkan untuk pesakit kanser tahap akhir, untuk mengurangkan kesakitan dan penderitaan mereka.
6-Seawal usia berapa kanak-kanak boleh didiagnosis menghidap penyakit kanser? Oh, kita ada pesakit seawal usia bawah 1 tahun didiagnosa menghidapi kanser juga. Secara umum, umur antara bayi hingga 19 tahun, dan kebiasaanya sekitar usia 5 hingga 8 tahun, bergantung jenis kanser.
7-Adakah kanak-kanak yang menghidap kanser berpotensi sembuh? Benar, dengan pengesanan awal dan rawatan, juga jenis dan tahap kanser, InSyaAllah, kanak-kanak ini berpotensi sembuh. Sebagaimana kita bincang dia atas, sesetengah kanser seperti leukemia, berpotensi sembuh dengan survival rate setinggi sehingga 90%.
8-Adakah ada risiko penyakit kanser ini berulang semula, jika pesakit sudah sembuh dalam rawatan sebelum ini? Risiko itu tetap ada, risiko untuk berulang (recurrence) atau kanser ke-dua (second cancer). Ianya bergantung kepada jenis dan tahap kanser, juga rawatan yang diberikan. Namun, doktor pakar onkologi dan pakar lain yang merawat, akan terus memantau keadaan pesakit menerusi temujanji susulan untuk memastikan jika kanser ini berulang atau ada kesan sampingan dari kanser mahupun rawatan, melalui pemeriksaan klinikal, ujian makmal dan radiologi. Saya sendiri, ada beberapa pesakit kanser yang dirujuk kepada saya kerana mengalami masalah endokrin (hormon) susulan kanser kalenjar pituitary yang perlu dibedah dan pesakit survivor lain.
9-Nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak menghidap penyakit kanser Pertamanya, doa dan hati saya bersama semua pesakit, ibu bapa dan keluarga kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini. Saya faham, ianya bukan mudah. Dengan penuh rendah diri, ini nasihat saya: 9.1. Berbincanglah dengan doktor pakar yang merawat berkenaan jenis, tahap dan rawatan yang ditawarkan. Tidak dinafikan, ada sesetengah rawatan termasuk kemoterapi yang mempunyai kesan sampingan tertentu yang juga ada rawatannya. Dapatkan maklumat dan nasihat dari doktor pakar 9.2. Ada juga ramai yang akan cuba “tawarkan” nasihat berkenaan “rawatan alternatif” yang mungkin akan menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan optimum, sehinggakan meyebabkan kanser itu melarat dan merebak ke tahap bahaya. Ada juga “rawatan alternatif” ini mengandungi bahan kimia tertentu atau teknik rawatan yang membahayakan. Ada juga yang tidak patuh shariah. Perkara-perkara sebegini hendaklah dielakkan. 9.3. Pesakit dan keluarga juga perlu banyak bantuan dan sokongan termasuk bantuan dan sokongan fizikal, moral dan psikologi ketika mendapat tahu berkenaan kanser dan ketika proses rawatan. Sokongan dan bantuan keluarga, rakan dan komuniti amat penting. Bantuan fizikal dan kewangan juga diperlukan. Keluarga terutama ibu dan ayah harus bersatu hati ketika masa sukar ini. 9.4. Sesi rawatan dan temujanji amat penting dan harus diberi keutamaan. 9.5. Terimalah takdir ini dengan hati terbuka, pasti ada hikmahnya dan bersedia untuk menempuh proses rawatan dengan positif, sifat sabar, berlapang dada dan bersangka-baik. Memang normal untuk berada dalam keadaan penafian (denial) dan marah, namun, lagi cepat untuk menerima hakikat ini, lagi cepat rawatan dimulakan, lagi tinggi peluang anak untuk sembuh dan survive, InSyaAllah
Wanita biarpun sering dilihat lemah namun yakinlah pasti akan jadi kuat dan tabah bila diuji.
Begitulah juga yang dilalui oleh puan Raudzah Arippin apabila suaminya di serang strok. Dugaan yang diterima bukan ringan namun kekuatan dan semangat yang ada di dalam dirinya cukup luar biasa.
Tidak dinafikan Puan Raudzah juga tidak pernak lokek berkongsi ilmu daripada pengalaman yang dilaluinya. Dan sebab ini juga tidak hairanlah akaun fbnya punya follower yang ramai.
Dan ini antara yang pernah dikongsikan adalah tentang tip menjaga dan melawat pesakit. Semoga panduan ini bermanfaat bagi diri kita sekiranya sedang berdepan dengan ahli keluarga yang sakit.
TIPS : MENJAGA DAN MELAWAT PESAKIT DI WAD ICU/HDW
Agak kerap juga saya menerima mesej dari waris yang menjaga pasangan atau ibu dan ayah yang terlantar di Wad ICU atau HDW. Kata mereka, apa yang perlu dibuat jika pesakit terlantar di wad begitu? Tidak mungkin hanya datang, tunggu dan lihat sahaja perkembangan pesakit.
Baik, saya kongsikan pengalaman saya.
Ini antara bacaan yang saya lakukan (saya pernah kongsikan dalam posting tahun lalu). Waktu suami saya di hospital dulu, saya banyak bertanya pada orang yang lebih arif. Ramai juga yang kongsikan dengan saya. Jadi saya kompilasikan semuanya di sini.
Saya juga ada catatkan panduan untuk pelawat, apa yang sesuai kita bawa ke hospital (sebagai buah tangan), dan apa yang perlu dielakkan.
BACAAN : SURAH, AYAT & DOA
1. Surah Yasin (sebaiknya awal pagi dan awal malam)
2. Surah Al Waqiah (untuk sembuhan luka dalaman)
3. Surah Al Kahfi (saya baca pada hari Jumaat, ganti surah Al Waqiah)
4. Surah Al Fatihah (baca 7 kali dan baca senafas pada ayat terakhir sambil berdoa kesembuhan)
11. Doa Hizbul Bahr (Imam Abu Al-Hasan As-Syadzili)
12. Doa Abu Darda’ (awal pagi dan awal malam)
Semua ayat dan doa ini saya bacakan setiap kali waktu lawatan tengahari dan petang, mengikut ruang yang ada.
AMALAN LAIN :
1. Sebaiknya, seorang waris sentiasa berada di samping pesakit dan bacakan ayat-ayat dan doa yang disebut di atas.
2. Minta jururawat masukkan air zam zam ketika ‘feeding’ melalui Ryle’s tube (tiub susu dan ubat yang dimasukkan melalui hidung ke perut). Jika kehabisan air zam zam, boleh ganti dengan air bacaan surah Yasin.
3. Wudhu’kan pesakit menggunakan botol penyembur (spray) setiap kali waktu solat (walaupun mereka belum sedar). Bisikkan ke pesakit, sudah masuk waktu. Adalah baik pesakit sentiasa dalam keadaan berwudhu’.
4. Letakkan sedikit wangian (sebaiknya wangian kasturi), atau wangian yang biasa dipakai pesakit, di hidungnya. (Kata pengamal perubatan alternatif, ia untuk merangsang pernafasan yang baik dan juga merangsang otak. Wallahu’alam)
5. Apabila tinggalkan pesakit selepas waktu melawat, elok diperdengarkan bacaan ayat Quran di telinga pesakit menggunakan pemain MP3 dan earphone. (Waktu di HKL dahulu, jururawat akan tolong simpankan pemain MP3 tersebut apabila baterinya sudah habis). Jangan gunakan telefon bimbit.
PANDUAN BUAT PELAWAT :
APA YANG SESUAI DIBAWA SEBAGAI BUAH TANGAN KEPADA PESAKIT / WARIS :
1. Air zam zam
2. Air bacaan Yasin
3. Naskhah Manzil / Buku Doa / Buku yang sesuai
4. Bawakan botol spray (sekiranya penjaga belum ada. Botol spray ini banyak kegunaan ketika di hospital)
5. Makanan yang sesuai untuk penjaga pesakit di hospital (pesakit di ICU atau HDW biasanya tidak boleh makan). Elakkan bawa lauk pauk yang dibungkus dalam plastik, buah-buahan yang besar dan berat, atau apa sahaja yang sukar dan berat untuk dibawa.
6. Vitamin atau multivitamin yang sesuai untuk penjaga (bertanya dahulu lebih baik)
APA YANG PATUT DIELAKKAN (TERUTAMA KETIKA MELAWAT PESAKIT DI WAD ICU ATAU HDW) :
1. Tidak perlu melawat pesakit sekiranya anda sedang sakit, demam, batuk atau selsema. Bimbang kuman dari anda akan menjangkiti pesakit. Memakai ‘mask’ adalah lebih bagus sekiranya ada.
2. Tanya dahulu kepada waris pesakit, sama ada pesakit boleh atau sesuai menerima tetamu atau tidak.
3. Wad ICU atau HDW biasanya hanya boleh dimasuki 2 orang pelawat sahaja dalam satu masa. Elakkan mengambil masa terlalu lama melawat pesakit.
4. Basuh tangan sebelum mendekati katil pesakit. Ruangan basuhan tangan dan sabun disediakan oleh hospital.
5. Elakkan dari merakamkan foto pesakit tanpa izin waris dan pesakit sendiri. Apatah lagi menyebarkan gambar tersebut pada orang lain. (Peraturan di hospital sebenarnya tidak boleh rakamkan gambar, apa lagi di wad-wad kritikal).
6. Pelawat lelaki yang bukan mahram tidak digalakkan masuk melawat pesakit wanita. Kebiasaannya keadaan pesakit wanita di Wad ICU/HDW (juga di wad biasa) dalam keadaan tidak menutup aurat. Wakilkan waris perempuan untuk melawat.
7. Elakkan terlalu banyak bertanya kepada waris. Katakan perkara yang baik dan positif sahaja walaupun pesakit nampak sudah terlalu uzur.
8. Doakan pesakit ketika berada di sisinya.
9. Elakkan mempromosi dan menjual sebarang produk ‘supplement’ kepada waris ketika ini.
Maaf jika ada kekurangan. Catatan adalah berdasarkan pengalaman peribadi menjaga suami yang terlantar di Wad HDW selama 10 hari dan di wad biasa selama sebulan.
Wanita TTC 10 tahun mohon doa agar dikurniakan zuriat pada 10 malam terakhir Ramadan menarik perhatian ramai apabila komen penuh kasih daripada TokTi mengundang sebak warganet.