Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, hanya sempat empat hari bergelar suami. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.
Pengantin Baharu Maut Kemalangan Motosikal Berkuasa Tinggi, Hanya Sempat Empat Hari Bergelar Suami
Mangsa, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius selepas motosikal jenis Kawasaki Z1000 yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang membelok.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris memaklumkan, insiden berlaku sekitar jam 10.40 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Besut.
“SIASATAN MENDAPATI KERETA BERKENAAN SEDANG MEMBELOK KE SIMPANG KANAN SELEPAS MEMBERI ISYARAT, NAMUN MANGSA YANG MENUNGGANG MOTOSIKAL DARI ARAH BELAKANG DIPERCAYAI CUBA MEMOTONG TETAPI TIDAK SEMPAT KERANA JARAK TERLALU DEKAT.
“Motosikal mangsa melanggar bahagian pintu pemandu kereta berkenaan sebelum mangsa terjatuh. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Ads
Difahamkan, mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga empat hari lalu.
Tambah Mohd Zain, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan selanjutnya, manakala pemandu Proton Iswara yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami luka di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di hospital sama.
Dalam rumah tangga kena ada give and take, saling memahami antara satu sama lain. Usah biarkan benda-benda kecil menjadi penyebab anda suami isteri bermasam muka.
Sebab tu nak rumahtangga kita bahagia, aman damai dan tenang sejahtera perlu ada common sense antara kita dan pasangan.
Dalam bab menguruskan anak-anak dan rumah tangga misalnya, kena saling membantu. Usah meletakkan tanggung jawab di bahu isteri. semata-mata Lagi lagi kalau yang tidak bekerja dan bergelar suri rumah. Namun itu tidak bermakna suami kena lepas tangan.
Sebaliknya suami isteri harus berganding bahu dan sama-sama membesarkan dan melakukan kerja rumah bersama.
Kisah yang dikongsikan oleh saudara Zaim Zin ini cukup menyentuh hati. Semoga para suami dan juga isteri mengambil iktibar dalam sama-sama melayari alam rumah tangga. Saya balik kerja, isteri cakap, “Abang, jom keluar jalan-jalan. Stress la”
Banyak kali macam tu. Pelik betul. Stress apa, duduk rumah jaga anak-anak tercinta yang comel-comel tu. Kalau ikutkan, keluar rumah, lagi la stress dan penat.
Bila fikir semula, saya bawa juga pusing-pusing naik kereta. Kadang-kadang, singgah pasaraya. Selalunya tak beli apa pun, window shopping je. Tapi dia punya teruja, macam anak kecil diajak pergi Disneyland.
“Terima kasih abang, bawa jalan-jalan!”, isteri saya akan ucap ini setiap kali dapat berjalan.
Saya teringat satu pesanan, “Emosi perempuan ni macam belon kecil, tak boleh tampung banyak sangat tekanan. Nanti meletus. Beza dengan kita orang lelaki” Dulu isteri saya lemah lembut je, sejak ada anak ni, kalau tak kena masa, kalah raja rimba. Macam nak makan orang. Pelik juga. Kemana perginya kelembutan dan kemanjaan beliau yang dulu?
Kita baru pegang handphone pun, tiba-tiba boleh kena serang. Mengejut je. Tiba-tiba meletus.
Saya cuba untuk faham situasi ini. Ya, kami para suami susah nak faham.
Rupanya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri.
Anak menangis nak susu, anak yang lain berkelahi menjerit-jerit, sorang lagi mendesak nak tengok kartun, rumah dah macam tongkang pecah. Tak masuk lagi bab masak, bisnes, kurang tidur, lapar, basuh baju, kemas, layan perangai customer barang tak sampai. Ini berlaku setiap hari, hampir setiap masa.
Tengok la gambar ni, nak tidur pun, nak dengan mama dia sahaja. Tak ada ruang mama dia bersendiri. Terpaksa saya sarung tudung isteri untuk kelirukan budak ni. Asakan-asakan ni mendesak isteri secara fizikal, mental dan emosi.
Siapa lagi tempat isteri nak mengadu dan harapkan? Kita la, partner dia. Sebab tu kalau emosi mereka tidak ditenangkan, boleh meletop!
Jadi, nasihat ini untuk diri saya dan suami-suami sekalian. Isteri adalah amanah Allah pada kita.
1. Dengar cerita dia. Jika isteri mahu bercerita, dengar dengan cara pandang muka dia, atau peluk dia. Tunjuk yang kita prihatin dan sokong dia. Apabila kita abaikan dia nak luah kepenatan dia, dia makan hati. Tau-tau dah merajuk acik tu. Lagi teruk kalau kita sinis dan rendah-rendahkan pula perasaan dia. Jangan pelik kalau isteri pandai melawan.
2. Urus rumah adalah kerja kita juga. Tak ada istilah ‘tolong isteri buat kerja rumah’. Kalau ikutkan, itu memang kerja kita juga. Kita masak sebab nak makan, kita basuh baju dan pinggan sebab dah pakai. Itu rumah kita dan itu anak kita. Kita ada tanggungjawab. Ringankan tulang.
3. Kerja isteri tiada office hour. Dia bukan robot, jadi, bagi masa untuk dia berehat dan ‘me time’. Dia pun memang kurang rehat, sejak mengandungkan anak pertama. Pada saya, mengurus rumah tangga ni ada dua school of thought. Satu, isteri kena layan suami macam raja. Kedua, urus rumah bersama-sama. Dua-dua betul. Sesuaikan lah dengan cara kita.
Para isteri sekalian, maaf ya, jika tidak memahami kalian, bagi para suami peluang. Kita jaga kita. Benda boleh bincang. Mulakan dengan bercakap baik-baik dengan pasangan.
Maafkan, jika ada kesilapan dan kesalahan. Kita manusia biasa. Kenapa suami ada kekurangan? Sebab awak adalah pelengkap dia.
Kita bukan terbaik, tetapi izinkan kita berusaha jadi yang terbaik.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Memastikan pintu masuk utama rumah kita sentiasa dalam keadaan baik adalah menjadi kewajipan semua. Kita sebagai ketua keluarga haruslah bertindak melindungi anak-anak dan isteri daripada sebarang anasir tidak sihat.
Soal keselamatan rumah antara yang perlu diberikan lebih perhatian. Pintu rumah, tidak kiralah mana-mana pintu rumah kita harus dilengkapkan dengan kunci yang benar-benar kuat bagi menyulitkan sebarang proses untuk membukanya, jika terjadi sebarang perkara yang tak diingini.
Berkongsi di laman sosial Facebook, seorang wanita bernama Mariana Harrison–Realtor telah berkongsi satu tips yang dipesan bapanya.
Tip ini cukup berguna sebagai tambahan sistem keselamatan di kediaman kita. Jadi jom ikut cara yang dilakukan oleh wanita ini agar rumah kita lebih selamat.
Berikut adalah perkongsian beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
“Ayah berikan nasihat ini kepada saya suatu masa dulu apabila saya berpindah ke rumah pangsapuri pertama saya. Ayah datang ke rumah dan tukarkan skru untuk saya sebaik saja saya berpindah masuk.
Ia adalah tips keselamatan rumah yang anda tidak pernah terfikirkan. Kebanyakan kontraktor akan memasang plat tombol pintu dengan skru yang panjangnya setengah inci sahaja. Ini bagi membolehkan pihak penyamun menendang pintu rumah anda dengan mudah sekali.
Apa yang ayah saya buat adalah dengan menggantikan skru itu dengan skru panjang, 4 inci bingkai pintu rumah. Jika rumah cuba diceroboh, mereka akan mengambil masa yang lama untuk pecahkan pintu. Cara ini juga akan membuatkan si penyamun letih dan membatalkan niat jahat mereka.
Lihat pada gambar perbandingan dua skru berkenaan. Dengan cara ini juga, tindakan penyamun menendang pintu rumah anda berkali-kali juga akan menimbulkan bunyi bising sebagai ‘alarm’ kepada diri anda dan juga jiran-jiran anda. Sekali gus pelan mereka akan gagal dan mereka akan beralih pula pada mangsa yang lain.”
Jadi jom cari skru yang lebih panjang dan tukarkan skru pintu kita. Mahu lebih selamat lagi, tukarkan semua skru sedia ada di tingkap, pintu, grill rumah dan lain-lain dengan skru yang lebih panjang seperti yang di ceritakan oleh wanita ini.
Walaupun usaha ini nampak mudah dan ringkas tetapi ia sangat membantu keselamatan kita dan keluarga.
Selamat mencuba!
Sumber: Mariana Harrison
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Mengimpikan sepasang anak kembar sememangnya menjadi keinginan semua pasangan suami isteri namun diberikan rezeki Allah kembar tiga pastinya terasa bagaikan satu keajaiban yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Inilah yang dilalui oleh pasangan suami isteri, Nurzahirah Mohamed Ibrahim dan suaminya, Mohd Najib Fahmi Mohd Tahar. Pasangan kembar tiga mereka, Daim Haris, Danisha Huda dan Darwisy Hakim kini sudah pun berusia 2 tahun 7 bulan.
“Sungguh saya terkejut dan gembira tidak terkata apabila doktor mengesahkan saya mengandungkan anak kembar. Bukan dua tetapi tiga!
Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira dan terkejut. Tidak terkata dan sangat bersyukur kerana diberikan anugerah tidak ternilai. Akhirnya penantian kami suami isteri dimakbulkan olehNya.
Lima tahun saya tunggu untuk peroleh zuriat selepas melangsungkan perkahwinan pada 3 Oktober 2009. Lama menunggu namun Allah beri kami berganda.
Semuanya selepas saya menjalani rawatan kesuburan di Pusat Bersalin Barakah, Bandar Puteri, Klang. Dua tahun juga saya ambil pil kesuburan dan akhirnya saya buat suntikan hormon di perut setiap dua hari sekali. Sebulan selepas itu saya disahkan hamil. Sungguh saya bersyukur.
Sama seperti ibu hamil lain, saya juga mengalami morning sickness pada waktu pagi dan waktu tengah malam. Namun saya mula membiasakan diri.
Alhamdulillah tiada alahan yang saya alami semasa mengandung. Namun saya dinasihatkan oleh doktor untuk lebihkan pemakanan yang mengandungi zat besi seperti daging, bayam, kerang dan juga hati untuk menambah darah kerana darah saya agak rendah ketika itu.
Perut saya juga membesar dengan cepat seperti kandungan 6 atau 7 bulan, padahalnya ketika itu kandungan saya baru berusia 5 bulan.
Pernah juga saya ditahan selama 5 hari di hospital kerana mengalami kontraksi seperti mahu bersalin. Syukur setelah rawatan diberikan saya kembali pulih.
Setelah kandungan berusia 29 minggu, saya dimasukkan ke hospital dan doktor terus memberikan tarikh untuk saya bersalin iaitu pada 34 minggu.
Tiada pilihan lain kerana kedudukan 2 bayi di dalam perut yang songsang dan seorang lagi melintang di bawah perut. Saya dinasihatkan untuk berehat di hospital sahaja sepanjang tempoh itu.
Saya serta kandungan sentiasa dipantau oleh doktor pakar, manakala setiap 4 jam sekali jururawat akan memastikan ketiga-tiga bayi berada dalam keadaan selamat.
Malah saya juga terpaksa dipakaikan dengan tali pinggang sokongan untuk menjaga tulang belakang dan mengurangkan sakit pinggang yang saya alami.
2 Jun 2014 menjadi satu tarikh yang begitu dinantikan kami berdua. Walaupun sangat teruja untuk melihat anak-anak kami sendiri dalam beberapa jam lagi namun disudut hati ini juga terasa amat takut.
Untungnya bukan hanya suami malah ibu mertua saya, Hajah Shahrumbi juga dibenarkan untuk masuk ke dewan bedah kerana dia merupakan seorang staff nurse di hospital itu.
Lebih kurang 20 orang termasuklah doktor pakar bedah, doktor pakar anestetik, doktor pakar kanak-kanak, doktor pelatih serta jururawat menyambut kelahiran anak saya.
Tepat jam 9 pagi, bilik bedah yang sunyi bertukar menjadi meriah dengan suara tangisan tiga-tiga bayi saya. Anak pertama saya, Daim Haris (1.8kg) dilahirkan diikuti Danisha Huda (1.6kg) dan selang 2 minit kemudiannya barulah Darwisy Hakim (2kg) dikeluarkan.
Daim Haris dan Danisha Huda ditunjukkan terus kepada saya manakala Darwisy Hakim terpaksa dimasukkan terus ke unit rawatan rapi NICU kerana kurang oksigen.
Ketiga-tiga bayi kembar saya ini dimasukkan ke dalam inkubator kerana saiz dan berat badan mereka yang masih kecil. Keadaan saya pula sedikit lemah, dua kali juga saya pengsan ketika bangun dari katil, kerana kehilangan banyak darah.
Hari ke 9 saya dan Darwisy Hakim dibenarkan keluar hospital. Manakala Daim pada hari ke 14 diikuti Danisha pada hari ke 21. Kami sangat gembira malah seluruh keluarga teruja untuk melihat ketiga-tiga kembar ini bersama untuk kali pertama.
Memori Indah Pengalaman menjaga mereka semasa bayi amat berharga dan takkan saya lupakan. Saya berpantang di rumah ibu ketika itu. Dalam sekelip mata sahaja, rumah ibu terus bertukar seperti pusat asuhan kanak-kanak. Mana tidaknya, hampir kesemua ruang, dari ruang tamu, dapur, bilik dan bilik air semuanya terdapat peralatan bayi.
Pada peringkat awal kami memakaikan kembar 3 ini dengan baju warna yang berlainan supaya tidak tertukar. Mereka juga telah saya sediakan buku catatan masing-masing supaya perkara seperti memberi susu, menukar lampin dan memberi ubat dan sebagainya tidak tertukar.
Banyak kenangan lucu yang kami lalui ketika waktu ini. Pernah suatu hari tokwan mereka, iaitu ayah saya memakaikan Daim dengan baju berwarna merah jambu kerana dia sangkakan itu adalah Danisha.
Dan ini bukan terjadi sekali tetapi beberapa kali juga. Malah Darwisy dan Daim juga selalu tertukar. Memang sangat lucu ketika waktu itu.
Bagi saya dan suami memang kami dapat bezakan ketiga-tiga mereka kerana mereka bukanlah kembar seiras. Tidak hanya ibu dan ayah malah kami juga dibantu oleh dua orang pembantu lain yang membantu melancarkan lagi perjalanan harian kami.
Ketika itu, walaupun saya masih lemah dan sangat penat malah luka pembedahan juga masih belum sembuh sepenuhnya tetapi kehadiran mereka di dalam keluarga saya membuatkan saya lebih sempurna dan gembira.
Sejak hadirnya kesemua anak-anak ini, adakalanya saya dan suami terasa seperti selebriti. Jika kami sekeluarga keluar di hujung minggu, sebaik kereta sorong bayi ditolak, ramailah yang teruja dan bertanyakan pelbagai soalan kepada saya dan suami.
Begitulah sepanjang perjalanan kami sepanjang hari itu. Saya tidak kisah malah seronok berkongsikan cerita dan pengalaman saya kepada mereka yang ingin tahu.
Kepada mereka yang berkahwin tetapi masih belum diberikan rezeki untuk punya zuriat sendiri, janganlah berputus asa. Berusaha dan berdoalah.
-Zahirah-
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.