
Penuntut cemerlang Henry Gurney mahu balas jasa ibu saudara. Seorang pelajar dari Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, dikenali sebagai Adam, 19, meluahkan hasratnya untuk menebus segala pengorbanan ibu saudaranya yang telah menjaganya sejak kecil selepas kehilangan kedua ibu bapanya.
Penuntut Cemerlang Henry Gurney Mahu Balas Jasa Ibu Saudara
Adam yang muncul sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi kategori SHG dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, menyatakan bahawa kejayaan yang diraih menjadi titik tolak untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang peguam syarie.
“Saya dibesarkan oleh mak cik selepas ibu dan ayah meninggal dunia semasa saya masih kecil. Keputusan cemerlang ini adalah hadiah untuk membalas jasa beliau,” ujar Adam ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Sekolah Integriti Sekolah Henry Gurney (SISHG) 2024.
Adam yang berjaya memperoleh 6A turut berkongsi cabaran yang pernah dihadapinya, termasuklah kesukaran dalam mendapatkan buku teks serta beban yuran persekolahan yang ditanggung ibu saudaranya. Tambahnya, masalah dokumentasi diri turut menjadi penghalang besar dalam proses pembelajarannya.

“Dulu saya tak ada kad pengenalan kerana lambat didaftarkan kelahiran. Itu menyebabkan saya tak layak menduduki SPM kerana status bukan warganegara,” jelasnya.
Namun begitu, peluang pendidikan yang ditawarkan oleh SHG membuka jalan buat Adam untuk terus melangkah ke hadapan. Dengan sokongan beberapa pihak, beliau kini dalam proses mendapatkan sijil kelahiran bagi membolehkan permohonan kad pengenalannya dibuat.
Adam, anak kedua daripada tiga beradik, mula ditempatkan di SHG pada tahun 2022 selepas terlibat dalam kesalahan mencabul. Kini, dengan semangat dan tekad yang baru, beliau mahu mengubah kehidupannya demi masa depan yang lebih baik.
Sumber: Kosmo online
Baca artikel lain juga: Pelajar Meninggal Dunia, Tak Sempat Tengok Keputusan SPM, Guru Kongsi Kisah Sedih
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my