Hiburan

6 Kali IVF, 11 Tahun Kahwin, Taufik Batisah Setia Temani Isteri Usaha Dapat Zuriat

Share

Kesetiaan seorang suami dalam menemani isteri melalui fasa sukar rumah tangga sememangnya menyentuh hati. Itulah yang dipamerkan penyanyi Taufik Batisah yang terus teguh berada di sisi isterinya, Sheena Akbal, sepanjang perjalanan mereka dalam usaha mendapatkan zuriat.

Menerusi podcast Couch Conversations, Sheena membuka cerita mengenai usaha mereka untuk hamil atau try to conceive (TTC) selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama pemenang Singapore Idol itu. Perkongsian tersebut bukan sahaja membuka mata ramai tentang realiti pasangan yang menanti zuriat, malah memberi ruang untuk masyarakat lebih memahami tekanan emosi yang sering dipendam secara senyap.

Perjalanan TTC Taufik Batisah Bermula Sejak Awal Perkahwinan

Menurut Sheena, sebelum berkahwin pada April 2015, dia dan Taufik sudah pun berbincang mengenai soal keluarga.

“Dia mahu tiga orang anak, saya mahu dua. Sekarang, yang kami ada kosong,” katanya.

Sheena, 42, turut mendedahkan bahawa dia dan Taufik atau nama penuhnya Muhammad Taufik bin Batisah, 45, telah menjalani prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak enam kali sepanjang lebih sedekad perkahwinan mereka. Malah, dia juga pernah melalui pengalaman keguguran.

Pasangan ini juga sering berkongsi kandungan mengenai TTC di media sosial, termasuk bagaimana mereka berdepan soalan berterusan daripada saudara-mara tentang zuriat. Walaupun soalan seperti itu mungkin datang daripada niat yang baik, hakikatnya ia boleh menjadi sesuatu yang sangat berat untuk diterima oleh mereka yang sedang melalui proses sukar untuk mendapatkan cahaya mata.

Taufik dan isteri menerusi podcast Couch Conversations

Sheena Dedah Luka Emosi Sepanjang Proses IVF

Dalam episod tersebut, Sheena turut bercerita tentang kesan emosi yang terpaksa ditanggung selepas melalui kitaran IVF berulang kali dan pengalaman keguguran.

“Ia mewujudkan satu ruang dalam fikiran saya yang bukan ruang yang baik,” katanya.

Menurut Sheena lagi, soalan daripada orang lain kadangkala menjadi pencetus untuk dia kembali ke keadaan sukar itu. Dia juga berkongsi pengalaman apabila ada individu tidak dikenali mendekatinya dan Taufik untuk bertanya soalan peribadi seperti bila mereka merancang untuk mempunyai anak. Malah, ada juga yang menyentuh perutnya.

Walaupun berasa tidak selesa, Sheena berkata dia tetap menjawab dengan sopan dan meminta mereka menitipkan doa. Dalam masa sama, dia mengakui ada sesetengah individu sebenarnya berniat baik dan kerana itu dia memilih untuk bersuara demi menyokong mereka yang melalui pengalaman serupa.

“IVF dan TTC adalah satu perjalanan yang sangat sunyi,” tuturnya.

Sokongan Taufik Jadi Kekuatan Utama

Sheena turut berkongsi tentang kesan IVF terhadap fizikal dan emosinya. Sepanjang proses tersebut, Taufik sentiasa menjadi sumber sokongan utama buat dirinya.

“Dia ada sejak hari pertama TTC, pada setiap temu janji. Walaupun hanya untuk ambil darah,” kata Sheena yang mengakui TTC mengakibatkan perubahan pada fizikalnya.

Taufik Batisah Akui Tidak Pernah Menyalahkan Isteri

Dalam pada itu, Taufik yang kini merupakan ejen hartanah dan usahawan menyifatkan isterinya sebagai seorang yang sangat kuat. Dia juga mengakui amat kagum melihat isterinya mampu melalui prosedur itu berkali-kali.

Taufik turut berkongsi di Instagram bahawa dia tetap bersyukur dengan kehidupan mereka bersama walaupun tidak mempunyai anak.

“Saya tidak akan sesekali menyalahkan isteri jika kami tidak berjaya mendapatkan anak,” katanya.

Perkongsian Ini Bantu Pasangan TTC Rasa Tidak Keseorangan

Pelantun lagu Awak Kat Mana itu juga mahu golongan TTC tidak berasa keseorangan dalam perjalanan ketidaksuburan mereka. Dalam satu komen pada hantaran podcast tersebut, beliau menulis, “Semoga semua yang berada dalam situasi yang sama tahu bahawa anda tidak keseorangan. Semoga ALLAH mempermudahkan segala urusan anda.”

Kini, Sheena memaklumkan dia sudah menerima ketentuan takdir dan kekal bersyukur dengan nikmat lain yang dikurniakan dalam hidupnya. “Sekarang kami terima sahaja apa yang, kami sudah dikurniakan banyak nikmat lain. Alhamdulillah,” kongsinya.

BACA LAGI : Dua Kali Gagal IVF, Siti Elizad Reda Soal Zuriat. “Saya Reda, Usia Pun Dah Nak Masuk 40 Tahun”

Sumber : CNA