“Pernah Diisytihar Bankrap, Kutip Syiling Beli Telur & Beras.” Konsep ‘Memberi Semula’ Sudirman Menjadi, Cipta Kejayaan Lahirkan 8 Jutawan.

Share

Perjalanannya dalam dunia bisnes tidak semudah yang disangka. Pelbagai dugaan dan ujian yang terpaksa dilaluinya sebelum menempa kejayaan pada hari ini.

Ibarat jatuh  terduduk,  beliau sebelum ini pernah mengalami zaman kejatuhan sehinggakan diisytiharkan bankrap. Dek kerana itu jugalah beliau tidak boleh menggunakan nama sendiri untuk mendaftar syarikat, sebaliknya terpaksa menggunakan nama orang lain.

Enggan mengalah dengan situasi tersebut, jauh sekali  berputus asa, sebaliknya beliau terus bangkit dari kegagalan lalu. Bermula dengan zero kos  dalam tempoh dua tahun, bisnesnya mula melonjak. kini beliau boleh berbangga sudah memiliki 10000 pengedar dalam tempoh yang singkat.

Demikian serba sedikit mengenai personaliti yang juga Ketua Pengarah Urusan Rezekifajar merangkap pengasas In3Tree, Sudirman Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan CS. Menjenamakan produk makanan khas untuk pelajar dan kanak-kanak berusia tiga hingga 20 tahun iaitu In3Tree, ternyata jejaka berumur 35 tahun ini kian dikenali ramai.

“Waktu bekerja sebagai guru sebelum ini, saya ada membuat pinjaman. Tetapi selepas berhenti kerja, saya terlupa nak sambung bayar sehinggalah diisytihar bankrup pada tahun 2016.

“Walaupun sudah selesai membayar, namun mengambil masa yang agak lama untuk nama saya dikeluarkan dari senarai. Sebelum ini saya nak menunaikan umrah terpaksa mengeluarkan surat meminta kebenaran untuk keluar negara.

“Ketika diuji dengan masalah kewangan dan tiada sumber pendapatan ketika itu, saya enggan berkongsi hal tersebut pada orang lain termasuklah ahli keluarga sendiri. Sebaliknya saya mengambil pendekatan mendiamkan diri.

“Bayangkan waktu itu, saya terpaksa kutip duit-duit syiling atas almari lalu kumpulkan untuk dibelanjakan bagi membeli beras dan telur selama empat bulan. Malah,demi berjimat, sebiji telur tu saya pecahkan dalam cawan dan bahagi dua. Saya gunakan sumber makanan itu selama empat, lima bulan sebelum In3Tree keluar,” jelas graduan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling ini.

Beliau yang ditemui dalam satu majlis meraikan kejayaan pengedar serta pengguna In3tree sekali gus meraikan ulang tahun ke-2 In3tree. Percaya dengan konsep ‘memberi semula’, CS juga yakin kaedah yang dipraktikkan itu  akan lebih banyak apabila kita selalu memberi.

“Saya mengamalkan konsep memberi pulangan 10 peratus daripada pendapatan yang diperoleh kepada ahli di dalam perniagaannya. Alhamdulillah, sepanjang dua tahun menjalankan perniagaan, kami sudah punya 10,000 pengedar. Bayangkan dulu saya memulakan bisnes ini tanpa modal jauh sekali mendapatkan pinjaman bank.

“Mungkin sudah tertulis rezeki memihak pada saya dalam bidang ini. Bayangkan saya memulakan bisnes ini dengan berbekalkan kepercayaan 138 orang stokis walaupun ketika itu yang saya ada hanyalah sekadar  kertas kerja dan perancangan tentang produk tersebut. namun mereka cukup yakin dan percaya, produk tersebut boleh pergi jauh.

Menurut CS lagi, al-Quran banyak membantu dalam ‘menyuluh’  dalam mencari jalan yang betul.

‘Waktu diri dihujani masalah dan saya menjadi buntu, saya serahkan segalanya kepada Dia Yang Satu. Saya bangun setiap subuh dan bertahajud selain membaca terjemahan al-Quran. Daripada situ saya mendapat jawapan yang selama ini dicari-cari.

“Untuk yang aktif dalam bisnes dan apabila buntu, kembalilah kepada al-Quran kerana di dalamnya tersingkap pelbagai mukjizat termasuklah mengandungi rahsia bagaimana mengelakkan kerugian dalam bisnes.

Meletakkan sasaran jualan RM50 juta untuk tahun 2019, pihak syarikat juga turut menawarkan  Toyota Camry dan Toyota Vios bagi pengedar yang mencapai sasaran jualan.

Selain berjaya melahrikan 8 jutawan, beliau juga turut menganjurkan ‘Apprentice Junior’ khusus untuk mereka yang berumur 28 tahun ke bawah dan belum berkahwin. Modul ini dibina khas untuk membantu belia dan perlu dibuat secara sepenuh masa.

Adat berniaga, pasti ada ‘trial and error’, jelas CS lagi,  pengalaman yang cetek dalam bidang tersebut membuatkannya melakukan kesilapan.

“Sebelum ini saya hanya tahu berniaga tapi tidak merancang. Saya buat duit tapi tidak tahu menambahkannya. Setelah saya sedar, barulah saya ambil inisiatif untuk anjurkan seminar dan ajar usahawan untuk melabur dalam hartanah dan sebagainya.

“Cuma saya ingin berpesan, dalam bisnes jangan beli kereta mewah masa awal berniaga. Jangan jadi macam saya dulu. Usahakan untuk melabur dulu dan jalankan perniagaan dalam laluan yang betul dan bayar cukai. Bila dah berjaya, barulah beli kereta idaman,” ujarnya lagi sambil memberitahu In3tree mula ditubuhkan pada Februari 2017.

 

IKLAN