
Kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun bakal diwajibkan mengikuti pendidikan prasekolah sebagai persediaan awal sebelum memasuki pendidikan formal.
Ibu bapa perlu membuat persediaan lebih awal supaya anak mempunyai pengalaman dan kemahiran asas sebelum melangkah ke alam persekolahan.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak terus diperkukuh sebagai asas penting sebelum murid memasuki pendidikan formal.
Perkara ini juga selaras dengan komitmen kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bergerak ke arah mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun dalam tempoh pelaksanaannya.
Antara kemahiran asas yang boleh dibentuk oleh ibu bapa di rumah ialah:
Ibu bapa boleh membentuk anak belajar mengurus emosi apabila berhadapan dengan pelbagai situasi.
Bantu anak supaya tidak mudah melenting dan belajar mengawal diri apabila sesuatu perkara tidak berlaku seperti yang diinginkan.
Anak juga belajar meluahkan rasa marah, kecewa atau sedih dengan cara yang lebih terkawal.
Asas pembelajaran bermula dari rumah dan rutin harian memainkan peranan penting dalam membentuk sikap anak.
Sebagai contoh, biasakan anak mengemas barang selepas digunakan, menggunakan barang dengan cermat dan mengikut arahan yang diberikan.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu anak membina kemahiran komunikasi sejak kecil.
Biasakan berbual dengan anak menggunakan nada yang baik serta bahasa yang jelas dan mudah difahami.
Ibu bapa boleh mendidik anak supaya tahu menunggu giliran dan bekerjasama dengan orang lain.
Kemahiran ini membantu anak memahami kepentingan tolak ansur dan mengambil berat terhadap orang sekeliling.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), kebanyakan kanak-kanak berusia lima tahun mampu memberi perhatian sekitar lima hingga 10 minit ketika melakukan aktiviti seperti mendengar cerita atau membuat kraf.
Ibu bapa boleh membantu melatih kemahiran ini melalui aktiviti mudah di rumah agar dapat mendorong anak memberi tumpuan apabila berada di sekolah.
Kanak-kanak juga perlu dibiasakan mengurus diri sendiri secara berperingkat.
Sebagai contoh, anak boleh belajar memakai pakaian sendiri, membutang pakaian dan melakukan tugasan mudah tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapa.
Kemahiran ini membantu anak menjadi lebih berdikari dan yakin apabila berada di sekolah.
Peranan ibu bapa sebagai pendidik pertama di rumah sangat penting dalam memastikan anak lebih bersedia sebelum melangkah ke prasekolah.
Latihan awal yang konsisten dalam aspek emosi, komunikasi, tumpuan dan kemandirian dapat membantu anak menjadi lebih yakin apabila berada dalam persekitaran baharu.
Persediaan ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan pada hari pertama sekolah, malah menjadikan pengalaman memasuki prasekolah lebih menyeronokkan anak.
BACA LAGI: Ditinggalkan Secara Tidak Sengaja Dalam Kereta, Kanak-Kanak Perempuan Lima Tahun Maut!
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia, American Academy of Pediatrics & Centers for Disease Control and Prevention (CDC)