
Pejam celik, kita sudah pun memasuki bulan Oktober. Ini bermakna hanya berbaki sekitar tiga bulan sahaja sebelum melangkah ke tahun 2027.
Berdasarkan maklumat yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sesi persekolahan tahun 2027 akan kembali bermula pada bulan Januari.
Jadi daripada menunggu sehingga hujung Disember baru kelam-kabut membuat persediaan, Oktober boleh dijadikan masa terbaik untuk mula menyusun satu demi satu.
1. Mula Buat Bajet Persekolahan 2027
Ibu bapa sudah boleh menyediakan anggaran untuk pakaian seragam, kasut, beg, alat tulis, buku tambahan, yuran atau keperluan lain.
Jika jumlah yang diperlukan agak besar, pecahkan simpanan kepada Oktober, November dan Disember supaya perbelanjaan tidak terasa terlalu berat sekaligus.
2. Periksa Barang Sekolah Yang Masih Boleh Digunakan
Periksa keperluan sekolah anak seperti beg sekolah, bekas pensel, botol air, kasut sukan atau pakaian yang masih elok.
Cara mudah ini bukan sahaja menjimatkan wang, malah membantu mengelakkan pembelian barang yang sebenarnya masih ada di rumah.
3. Semak Saiz Pakaian Anak
Kanak-kanak membesar dengan cepat dan pakaian yang dipakai pada awal tahun mungkin sudah tidak sesuai menjelang hujung tahun.
Cuba semak lebih awal saiz uniform, kasut dan pakaian sekolah anak agar dapat pengesahan lebih awal untuk keperluan berbelanja.
4. Susun Semula Kewangan Keluarga
Tiga bulan terakhir tahun ini juga masa yang baik untuk melihat semula keadaan kewangan keluarga.
Semak komitmen bulanan, hutang kecil yang masih berbaki, langganan yang jarang digunakan serta jumlah simpanan kecemasan.
5. Semak Dokumen Penting Anak
Antaranya salinan sijil kelahiran, dokumen sekolah, rekod berkaitan pendidikan dan dokumen lain yang kerap diperlukan.
Simpan semuanya dalam satu fail khas supaya mudah dicapai apabila diperlukan nanti.
6. Bincang Rutin Baru Dengan Anak
Jika anak bakal memasuki darjah atau tingkatan baharu, ibu bapa boleh mula berbual tentang perubahan rutin yang bakal berlaku.
Contohnya waktu tidur, waktu belajar, penggunaan gajet atau tanggungjawab di rumah.
7. Buat ‘Checklist’ Keluarga Sebelum Disember
Bahagikan mengikut kategori seperti sekolah anak, kewangan, rumah, kesihatan dan urusan keluarga.
Apabila semuanya ditulis, lebih mudah untuk nampak perkara yang perlu diberi keutamaan berbanding cuba mengingati semuanya dalam kepala.
Jangan Tunggu Hujung Tahun Baru Kelam-Kabut
Persediaan awal tidak bermaksud semuanya perlu diselesaikan pada Oktober.
Cukup sekadar mula sedikit demi sedikit supaya apabila Disember tiba, ibu bapa tidak perlu mengejar terlalu banyak perkara dalam satu masa.
Tambahan pula, KPM telah menerbitkan Surat Siaran KPM Bil. 3 Tahun 2025: Kalendar Akademik Tahun 2026 Bagi Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan, yang boleh dijadikan rujukan rasmi ibu bapa berkaitan takwim persekolahan.
BACA LAGI: Tangani Isu Buli, 333 Sekolah Berasrama Dipasang CCTV Tahun Ini
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Surat Siaran KPM Bil. 3 Tahun 2025