Pilot beri duit raya pada penumpang. “Niat saya nak kongsi rezeki, gembirakan mereka. “Saya hanya mahu berkongsi rezeki dan menggembirakan mereka sempena Hari Raya, lebih-lebih lagi kerana tahun ini saya bertugas,” ujar Kapten Mohammad Ghazi Mohamed Azri, seorang juruterbang berusia 37 tahun.
Pilot Beri Duit Raya Pada Penumpang-“Niat Saya Nak Kongsi Rezeki, Gembirakan Mereka”
Tindakan beliau menarik perhatian ramai selepas sebuah video tular memperlihatkan beliau menghulurkan duit raya kepada penumpang cilik sebelum meninggalkan pesawat.
Menurut Kapten Ghazi, rakaman tersebut dibuat pada hari ketiga Aidilfitri, sejurus pesawat yang dipandunya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Ads
Melihatkan ramai penumpang yang pulang ke kampung untuk berhari raya, beliau mengambil inisiatif keluar dari kokpit dan menunggu di pintu pesawat bagi menyampaikan sampul duit raya kepada kanak-kanak.
“Kebiasaannya kru kabin yang menyambut penumpang di pintu pesawat, tetapi kali ini saya sendiri mengambil tempat mereka kerana memang berniat untuk memberi duit raya kepada anak-anak kecil.
“Mereka kelihatan terkejut dan tidak menyangka, malah ibu bapa mereka juga mengucapkan terima kasih,” jelasnya.
Ads
Kapten Ghazi menyatakan rasa syukur kerana berpeluang menyebarkan kegembiraan dan ini merupakan kali pertama beliau memberi duit raya kepada penumpang sepanjang 17 tahun bergelar juruterbang.
Ads
Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan amalan ini sehingga penghujung Syawal.
Fazley Yaakob dan Azrene Soraya kekal rutin makan bersama anak-anak walaupun sudah berpisah. Perceraian adalah isu yang sensitif dan melibatkan pelbagai aspek emosi, sosial, serta undang-undang. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan suami isteri tetapi juga anak-anak.
Dalam sesebuah perkahwinan, perceraian dianggap sebagai jalan terakhir apabila segala usaha untuk memperbaiki hubungan gagal. Bagaimanapun perceraian bukan alasan untuk hubungan kekeluargaan terjejas hingga anak-anak menderita.
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, berkata biarpun dia dan Azrene Soraya Abdul Aziz tidak lagi bergelar suami isteri, hubungan mereka harmoni seperti keluarga.
“Saya percaya perceraian itu tidak bermakna berakhir sebuah kasih sayang. Ia juga bukan bererti berakhir hubungan kekeluargaan. Perceraian juga bukan bermakna anak-anak perlu menderita disebabkan perpisahan.
“Ungkapan yang kami pegang adalah tidak semuanya pahit itu racun dan tidak semua yang manis itu madu.
“Kehidupan perlu diteruskan dan anak-anak faham serta hormat keputusan kami,” katanya menerusi rakaman suara yang dikongsi kepada media.
Fazley atau nama sebenar, Ahmad Fazley Yaakob, 46, menambah sejak bercerai, tiada yang berubah.
“Saya, Azrene dan anak-anak keluar pergi makan bersama. Saya ziarah Azrene dan kami tengok wayang bersama.
“Walaupun kami berpisah dalam akad dan tiada lagi perkataan yang melambangkan kami adalah suami isteri, tetapi hubungan kekeluargaan itu masih utuh seperti 18 tahun lalu ketika kami bersama.
“Anak-anak juga tidak berasa apa-apa kekangan mengenai hubungan antara saya dengan Azrene. Semuanya masih sama, kumpulan Whatsapp kami masih sama. Hendak jumpa pun masih bersama dan tempat makan pun serupa.
“Apa yang membezakan kami adalah perhubungan yang bukan lagi berlandaskan suami isteri,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Cerita Asmara itu mengucapkan terima kasih kepada media kerana memahami perasaan mereka sekeluarga dengan tidak menulis laporan yang boleh mencetuskan spekulasi.
“Terima kasih kerana melaporkan seadil-adilnya kisah dan kebenaran mengenai perpisahan kami ini,” katanya.
Fazley membuat kejutan apabila mengumumkan sudah pun bercerai dengan Azrene beberapa bulan lalu dengan tempoh edah sudah pun berakhir menerusi kenyataan media.
Bagaimanapun, butiran terperinci termasuk tarikh dan punca perceraian tidak didedahkan.
Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 2006. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak, Ahmad Fariedz Shah, 15; Ahmad Fieradz Shah, 14; Ahmad Fierudz Shah, 13, dan Alayna Selma, 7.
Jodoh di tanah perkuburan, Marinah dan Norhisham bina rumah tangga bersama selepas ‘hilang’ pasangan. Siapa sangka lelaki dan wanita ini bertemu jodoh semula ketika menziarahi pusara pasangan masing-masing di tanah perkuburan.
Marinah Mohd Beseri, 48, kehilangan suami pada Mei tahun lalu. Isteri kepada Norhisham Mohd Nor, 64 pula meninggal dunia pada April tahun sama. Kedua-duanya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan.
Marinah berkata, sejak arwah suaminya meninggal dunia, boleh dikatakan setiap hari dia menziarahi pusara itu sebelum wujudnya komuniti dalam kalangan waris.
“Kebetulan suami baharu saya (Norhisham) juga baru kehilangan isteri dan dia juga kerap menziarahi kubur isterinya. Apabila kerap berjumpa di tanah perkuburan, beberapa waris mewujudkan kumpulan WhatsApp.
“Daripada situ saya mula kenal waris lain termasuk Norhisham. Selain kerap ziarah kubur, kami turut mengadakan gotong-royong dan tahlil bersama dan semua mulai saling mengenali dan rapat,” katanya.
Marinah yang kehilangan suami akibat kanser pankreas berkata, sepanjang mengenali dan berurusan dengan Norhisham dia mendapati lelaki itu mempunyai persamaan dengan arwah suaminya.
“Selepas enam bulan kenal, Norhisham menyatakan hasratnya dan kami melangsungkan perkahwinan pada November tahun lalu,” kata usahawan produk kecantikan dan kesihatan itu.
Mengulas mengenai pertanyaan beberapa rakan dan saudara mara bahawa dia seolah mencari pengganti terlalu cepat, Marinah berkata, sebenarnya dia mengalami kemurungan lebih sebulan selepas kematian suami.
“Itu antara sebab saya ke kubur suami setiap hari dan kehadiran Norhisham sedikit sebanyak mengubati kehilangan ini. Malah sehingga kini kami masih lagi sama-sama menziarahi kubur pasangan masing-masing.
“Orang boleh cakap apa sahaja, tetapi kena ingat, ini juga aturan Allah, sudah jodoh kami bertemu dengan cara ini, kami terima,” katanya.
Sementara itu, bagi Norhisham pula, matanya mula terpaut pada Marinah ketika kali pertama melihat wanita itu di tanah perkuburan berkenaan.
“Pada waktu itu mungkin dia dalam kesedihan dan sebagainya jadi saya hanya pendam perasaan itu. Selepas beberapa bulan, saya berbincang dengan lima anak dan adik-beradik mengenai hasrat saya.
“Mereka bersetuju dan anak-anak saya rupanya saling kenal dengan anak Marinah. Difahamkan juga saya dapati Marinah juga mempunyai pertalian dengan arwah isteri.
“Bergelar ibu tunggal satu cabaran bagi wanita dalam berhadapan dengan masyarakat dan kehidupan. Dengan adanya lelaki disampingnya, sekurang-kurangnya ada yang membimbing dan melindunginya,” katanya.
Jodoh beza umur 18 tahun – “Ada yang kata saya ‘gilakan’ harta sebab kahwin wanita berusia.” Apatah lagi isteri seorang doktor dan juga anak orang berada.
“Dituduh kahwin sebab harta, tapi saya pilih kerana keperibadiannya. Hakikatnya, saya tak cari pasangan berdasarkan rupa atau harta tapi semua aspek, paling penting keperibadiannya,” kata usahawan tudung, Mohd Shahril Tuah atau lebih dikenali sebagai Aril.
Nama Aril, 38, menjadi sebutan ramai di TikTok apabila sering memuat naik video siaran langsung bersama isteri tersayang, Dr Zahida Datuk Mohamad Zahudi, 56. Aksi spontan mereka yang santai dan mesra sebagai pasangan suami isteri sering membuatkan ramai penonton tersentuh dan kagum, lebih-lebih lagi dengan perbezaan usia yang agak ketara iaitu 18 tahun.
Menurut Aril, dia dan isterinya sudah 11 tahun mendirikan rumah tangga dan bersyukur kerana ikatan perkahwinan itu kekal utuh hingga hari ini. Bekas wardar penjara dan pramugara ini berkata, pertemuan mereka bermula secara tidak dirancang ketika dia menemani ibunya mendapatkan rawatan di klinik milik Dr Zahida.
“Kami masih ‘old school’ (cara lama) iaitu kenal secara fizikal selepas jumpa depan-depan.
“Kali pertama jumpa isteri waktu bawa emak datang berubat di kliniknya, di situlah permulaan kami berkenalan.
“Saya nampak kelembutannya (isteri) selepas lihat cara dia terangkan dan beri nasihat kepada emak mengenai kesihatan jadi itu yang membuatkan saya tertarik,” katanya.
Dari situlah bibit perkenalan bermula. Ketika itu, masing-masing membawa kisah luka – Aril baru putus tunang, manakala Dr Zahida pula kehilangan suami tersayang.
“Waktu itu, dia baru kehilangan suami yang kembali ke Rahmatullah manakala saya pula baru putus tunang.
“Bila berkawan, nampak peribadi isteri yang baik, matang, kemas dan disiplin… paling suka dan banyak belajar dengannya adalah sikapnya yang tidak berprasangka buruk dengan orang lain.
“Dalam tempoh perkenalan, kami tunjukkan keikhlasan dalam perhubungan dengan ahli keluarga masing-masing dan syukur dapat restu kedua belah keluarga untuk berkahwin selepas tiga tahun berkawan,” ujar Aril yang berasal dari Kuching, Sarawak.
Bagi Aril, apa yang paling dihargainya sepanjang lebih sedekad hidup bersama isterinya adalah ketenangan yang wujud dalam rumah tangga mereka.
“Nikmat yang saya syukuri sejak berkahwin dengan isteri adalah ketenangan dalam rumah tangga disebabkan keperibadiannya.
“Terima kasih banyak sebab ada dengan honey (nama panggilan) waktu susah senang dan jatuh bangun termasuk ketika fasa tak diterima orang luar hingga masuk ke dunia ‘content creator’ (pencipta kandungan).
“Kalau ada pun yang kata tak baik, saya maafkan dan doakan semoga Allah SWT buka hati untuk terima dengan tenang. Semoga mereka jadi husnudzon,” katanya lagi.
Sementara itu, Dr Zahida mengakui tidak pernah menyangka akan kembali berkahwin selepas hidup sendirian selama tiga tahun. Sebelum itu, beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang lebih tua enam tahun, namun menjadi balu selepas sembilan tahun perkahwinan.
“Waktu kahwin, saya berusia 45 tahun dan dia (suami) 27, tapi fikirannya tak macam budak-budak kerana saya yang lebih kebudak-budakan.
“Cara dia cakap pun teratur, tak ada borak kosong dan boleh diajak bersembang. Kami berdua tak terlalu mencuba nak tarik perhatian satu sama lain tapi cuba cari titik tengah supaya dapat bertolak ansur.
“Walaupun dia lebih muda, saya tetap anggap dia suami, kena hormat, terima apa dia tegur dan bukan fikir nak menang kerana saya pun ada banyak kekurangan.
“Tapi suami banyak bimbing terutama dalam soal agama kerana dia lebih arif.
“Apa yang penting kena jujur dengan satu sama lain dan semoga kami berbahagia di dunia hingga akhirat,” katanya yang sudah hampir tiga dekad berkhidmat sebagai doktor.
Pasangan ini membuktikan bahawa perbezaan usia bukanlah penghalang kepada kebahagiaan jika ada keikhlasan, saling menghormati dan pengertian dalam rumah tangga.