
Pushbike terapi kanak-kanak istimewa kini semakin mendapat perhatian ibu bapa apabila aktiviti ini bukan sekadar riadah biasa, malah dilihat memberi kesan positif kepada perkembangan fizikal dan emosi anak-anak.
Bagi sesetengah ibu bapa, pushbike menjadi alternatif terapi santai untuk membantu anak berkeperluan khas dan anak yang mempunyai masalah kesihatan. Aktiviti ini membantu mereka melepaskan tenaga, membina fokus, melatih keseimbangan badan serta meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar.
Seorang bapa, Azhari Mohd Daud, berkata anak autistiknya, Samiun Mateen, mula mengikuti latihan pushbike sejak Mac tahun lalu sebagai alternatif kepada Terapi Cara Kerja. Menurutnya, latihan itu bukan sahaja membantu anaknya aktif bergerak, malah belajar mendengar dan mengikut arahan jurulatih.
Berbeza dengan basikal beroda latihan, pushbike melatih keseimbangan badan secara semula jadi kerana kaki anak sentiasa mencecah tanah. Ini sekali gus mengurangkan risiko kecederaan akibat terjatuh.
Azhari turut berkongsi perubahan positif pada anaknya selepas menjalani latihan dua kali seminggu, termasuk semakin kurang melakukan flapping hand dan tidak mudah jatuh sakit.
Kesan baik sukan ini turut diakui jurulatih KL Rocket Team, Mohamad Ady Kurniawan Saprizal atau Coach Ewan. Beliau berkata anaknya, Mohamad Rohan Mikhael, yang sebelum ini mengalami masalah hidung berdarah dan asma kronik, menunjukkan peningkatan ketara selepas aktif berlatih pushbike.
Menurutnya, pushbike membantu membina stamina dan daya tahan badan anaknya. Malah, Rohan berjaya menduduki tempat kesembilan daripada 38 peserta dalam kejohanan RSR Runbike Songkhla di Thailand tahun lalu.
Seorang ibu, Farisya Wafa Ab Aziz, turut berkongsi perubahan anaknya, Muammad Iyaad Farkhan Izzat Emir, yang sebelum ini sering mengalami sakit sendi serius. Selepas konsisten berlatih pushbike selama enam bulan, stamina dan antibodinya semakin baik, malah kini mampu bersaing dalam kelompok tiga teratas kategori tujuh tahun dalam acara Hari Sukan Negara.
Jelas, pushbike terapi kanak-kanak istimewa bukan sekadar aktiviti bermain, tetapi menjadi medium yang membantu anak membina stamina, disiplin dan keyakinan diri. Setiap kayuhan kecil bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal, malah membentuk kekuatan emosi dan sosial anak.
Fenomena pushbike kini semakin berkembang dalam kalangan komuniti ibu bapa kerana ia mudah, selamat dan menyeronokkan. Selain membantu perkembangan fizikal, aktiviti ini juga membuka ruang interaksi sosial dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak.
Bagi ibu bapa, setiap kayuhan kecil anak membawa harapan besar untuk masa depan mereka. Dengan pendekatan santai tetapi berkesan, pushbike menjadi salah satu alternatif terapi yang praktikal dan memberi impak positif jangka panjang.
Sumber : Bernama